Sunday 12 July 2015

thinking skills (kemahiran berfikir)

PENGENALAN

            Kehilangan pesawat MH 370 merupakan satu tragedi kepada Malaysia dan seluruh dunia. Sehingga kini usaha sedang dipergiat untuk mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac 2014 yang lepas.
            Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) yang berpangkalan di Perth, Australia dan mengendalikan SAR pada 9 April memberi laporan positif pesawat malang itu akan dapat dikesan “tidak berapa lama lagi”. Ini berikutan isyarat yang dikesan kapal Ocean Shield yang turut terlibat dalam misi mencari MH370 disahkan daripada perakam data penerbangan sebuah kotak hitam.
            Walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac, laluan penerbangan pesawat itu berakhir di selatan Lautan Hindi, nasib pesawat, 227 penumpang dan 12 anak kapal yang berada dalam pesawat itu terus menjadi tanda tanya.
Ini memandangkan usaha mencari dan menyelamat (SAR) yang melibatkan banyak negara termasuk Amerika Syarikat, Australia, United Kingdom, Jepun dan China masih belum menemui bangkai atau serpihan pesawat yang hilang itu.
            Bagaimanapun, sepanjang SAR dijalankan, pelbagai spekulasi dibuat berhubung kehilangan pesawat MH370 termasuk yang disebarkan oleh media asing dan media sosial di Internet. Terlalu banyak teori yang diketengahkan, namun yang pasti kehilangan pesawat MAS MH370 sejak lebih tiga bulan akan dicatat dalam sejarah penerbangan sebagai paling misteri dan usaha mencari dan menyelamatnya (SAR) mungkin menelan kos ratusan juta.
            Pesawat malang itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 tengah malam 8 Mac, dan pesawat ini hilang dari radar Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) pada jam 1.30 pagi ketika berada 120 batu nautika dari timur perairan Kota Baharu, Kelantan.  Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari sama.
            Operasi menyelamat telah digerakkan pada jam 5.30 pagi melibatkan pelbagai aset negara seperti kapal, helikopter dan kapal terbang. Pada hari yang sama iaitu pada jam 7.30 pagi, ketua pegawai eksekutif MAS telah mengumumkan kehilangan pesawat tersebut dan usaha pemberitahuan kepada keluarga mangsa di 14 buah negara dijalankan.
            Melihat sedikit kronologi dan gambaran keseluruhan tragedi ini, pelbagai andaian boleh dibuat, tetapi bagaimanakah kita menerima dakwaan dan huraian dari sumber yang tidak diketahui latar belakangnya. Apakah sumber maklumat yang boleh dipercayai dan dipegang bagi mengelakkan dari tertipu dan diperdaya oleh individu yang sengaja mahu melakukan provokasi dan berniat jahat.
            Penerimaan sesuatu kenyataan amatlah penting. Ia melibatkan proses menilai data yang diterima dan membuat keputusan dari maklumat yang telah diproses. Seseorang yang mengutarakan sesuatu idea atau maklumat akan memujuk kita supaya menerima idea mereka, dan adalah menjadi kemestian untuk kita menganalisis maklumat tersebut sebelum melaksanakan sesuatu keputusan. Dalam maksud yang lain kita mahu membuat keputusan yang tepat dan juga betul berpandukan data dan juga maklumat yang diterima.
            Persoalan yang timbul ialah adakah alasan yang diberikan mampu menyokong kenyataan yang dikeluarkan beserta bukti yang disertakan. Persoalan ini amat penting  kerana kita perlu menganalisis kenyataan tersebut bagi memastikan ianya benar dan kredebiliti penyampai  juga memainkan peranan yang penting.
            Melalui tugasan ini, saya akan mengupas kaedah dan konsep menilai kebolehterimaan sesuatu tuntutan.  Untuk mencari nilai kebolehterimaan sesuatu tuntutan, kita perlu melaksanakan kajian atau mencari informasi berkenaal hal itu untuk memastikan kenyataan tersebut. Saya akan menerangkan empat kebolehterimaan dari kenyataan yang dikeluarkan oleh Y.A.B Perdana Menteri berkenaan hal MH 370.
           




















BAGAIMANA IA DIPASTIKAN

            Ketika Y.A.B Perdana Menteri mengumumkan bahawa penerbangan MH 370 berakhir diselatan Lautan Hindi, seluruh dunia gempar dengan kenyataan tersebut. Pengumuman ini mesti dibuat berdasarkan data yang telah dianalisis kerana ia merupakan keputusan yang amat kritikal.
            Jika bercakap megenai perbincangan tentang sesuatu perkara yang tidak boleh dinilai seperti politik, moral atau agama yang bukan berpaksikan hukum, kita tidak dapat mencapai 100%  kepastian mengenai ucapan tersebut. Seperti contoh tentang perlakuan sesuatu yang jelas amat salah iaitu membunuh manusia, kita pasti dapat mencari contoh yang bertentangan dengan kenyataan tersebut. Walaupun begitu, hanya kerana kenyataan yang diberi tidak mencapai 100% kepastian, ia tidak bermakna kita harus menolak kesemuanya sekali. Sebaliknya, kita harus memperhalusi dan menimbang secara berhati-hati kesan logikal dalam menerima sesebuah kenyataan.
            Penerimaan banyak bergantung kepada bukti yang diberi. Penerimaan kenyataan atau bukti perlu melalui dua standard am (general standards) iaitu adakah khalayak ramai menerima kenyataan tanpa bukti dan bukti yang dinyatakan munasabah kepada semua. Dari perspektif standard am tersebut, kita perlu lagi bertanya tentang adakah kenyataan tersebut dapat diterima oleh khalayak tanpa mereka meminta mengemukakan bukti tambahan dan tiada lagi informasi yang berlawanan dengan kenyataan diberi, dan jika ke dua-dua jawapannya adalah ya, maka kenyataan tersebut adalah diterima tetapi jika jawapannya adalah tidak maka timbullah bebanan untuk kemukakan lebih banyak bukti supaya ia dapat menyokong kenyataan itu.
            Di dalam kenyataan Y.A.B Perdana Menteri, apabila diumumkan bahawa pesawat MH 370 telah berakhir, beliau telah mengemukakan bukti bukan fizikal yang menyokong kenyataan beliau. Walaupun tragedi ini dibayangi dengan pelbagai persepsi dan bayangan yang kadangkala agak melampau, pembuktian melalui data yang diterima dari pelbagai sudut telah menyokong kenyataan ini. Alasan atau bukti yang diberikan menyokong kenyataan beliau itu dan tiada hujah atau pertimbangan lain yang boleh digunapakai.
            Daripada sumber luar, kita dapat mengenalpasti sumber data yang diperolehi oleh Y.A.B Perdana Menteri sebelum beliau membuat kenyataan tersebut. Bermula pada 15 Mac 2014, telah dapat dipastikan bahawa pesawat tersebut sebenarnya bergerak kearah barat semenanjung Malaysia samada dibahagian koridor utara yang melibatkan ruang udara utara Thailand hingga menjangkau ke Kazakhstan dan Turkemenistan ataupun ke koridor bahagian selatan iaitu dibahagian Indonesia dan selatan Lautan Hindi. Serentak dengan itu, pencarian di kawasan Laut China Selatan dihentikan serta merta. Dakwaan ini berdasarkan hubungan terakhir antara pesawat dengan satelit. Persoalan yang timbul iaitu kenapa dan bagaimana pesawat ini dapat melintasi semenanjung Malaysia dari jadual perjalanan asal menuju ke Beijing tanpa dapat disedari oleh pihak tentera amat mengejutkan. Jawapan yang diberi bahawa pesawat tersebut tidak mendatangkan ancaman kepada negara amat mengecewakan sekali. Sehingga kini, persoalan kenapa pesawat tersebut di bawa hingga ke selatan lautan Hindi masih menjadi tanda tanya kepada dunia.
            Rentetan dari kenyataan bahawa pesawat berada di antara dua koridor tersebut, bukti yang diberikan amatlah tepat kerana ia berpandukan data dari satelit yang mengimbas kawasan tersebut iaitu Inmarsat. Isyarat Ping yang dihantar oleh pesawat pada setiap jam membolehkan mereka mengira dan mengaagak kedudukan pesawat yang berkemungkinan melalui diantara dua koridor itu. Syarikat satelit dari Britain ini mempunyai kepakaran dan teknologi yang diperlukan bagi menganalisis data tersebut. Maka laporan dari pihak Inmarsat ini amat tepat untuk digunakan oleh Y.A.B Perdana Menteri bagi menjelaskan kedudukan pesawat yang hilang itu.
                       





















MENILAI KEBOLEHTERIMAAN TUNTUTAN

            Daripada kenyataan kehilangan pesawat tersebut, dakwaan itu bersandarkan kepada data yang diambil dari pelbagai sumber yang boleh dipercayai. Siasatan yang bermula dari Laut China Selatan, seterusnya membawa kepada pencarian di dua bahagian koridor dan akhirnya di bahagian selatan Lautan Hindi.
            Apabila berbicara tentang kebolehterimaan sesuatu tuntutan, kita tidak boleh dari dari mengkajinya melalui enam peringkat kebolehterimaaan.

            1. Kepastian Dakwaan

            Dakwaan berkenaan kehilangan pesawat ini di koridor selatan Lautan Hindi boleh dipastikan melalui data yang diterima dari system satelit Inmarsat. Kaedah “Doppler” yang digunakan bagi mengesan isyarat Ping dari pesawat malang tersebut boleh disahkan. Perkara ini ada dilaporkan oleh Jonathan Sinnat, ketua komunikasi Inmarsat kepada syarikat agensi berita antarabangsa, Reuters.

            2. Adakah Kandungan Dakwaan Mempengaruhi Kebolehterimaan

            Tiada apa-apa kandungan di dalam dakwaan tersebut yang boleh mempengaruhi kebolehterimaannya. Kesemua data yang diberi oleh Y.A.B Perdana Menteri adalah bertepatan dengan analisis dan situasi semasa yang mana tiada kemungkinan pesawat tersebut dapat mengisi minyak yang diperlukan di pertengahan jalan bagi meneruskan penerbangan.

            3. Adakah Dakwaan Memerlukan Kajian Pakar

            Setiap kenyataan yang diucapkan semasa siding akhbar tersebut sudah dipastikah kesahihannya oleh pakar yang terlibat. Pakar satelit dari setiap Negara yang membantu seperti Thailand, China, Britain dan juga Australia bersetuju dengan kenyataan tersebut berdasarkan data yang diperolehi. Malahan Perdana Menteri Australia berkata bahawa ayat digunakan oleh Y.A.B Perdana Menteri adalah tepat dalam menerangkan maksud kehilangan pesawat tersebut. Jika merujuk kepada keadaan geografi kawasan tersebut, memang tiada lapangan terbang yang berdekatan bagi membolehkan pesawat tersebut mengisi bekalan bagi meneruskan penerbangan. Berpandukan status bahan api yang diisi di KLIA, adalah mustahil pesawat tersebut dapat meneruskan penerbangan melebihi jam yang dianggarkan untuknya mengisi semula.

            4. Adakah Ia Diketahui Ramai

            Data umum mengenai isi kandungan minyak, keadaan geografi dan serba sedikit data satelit memang dapat diakses oleh khalayak ramai. Tragedi ini merupakan pengajaran dan juga malapetaka kepada seluruh dunia. Tiada data yang terselindung atau cuba diselindungi oleh pihak kerajaan. Semuanya sudah tersebar sehinggakan data mentah dari “Primary Radar” iaitu system radar ketenteraan juga sudah terdedah.

            5. Bagaimana Dakwaan Menepati Kepercayaan Kita

            Sentimen berkaitan kehilangan pesawat ini sudah berakhir memang menepati kepercayaan masyarakat. Adalah sesuatu yang mustahil bagi sebuah pesawat untuk terus hilang selama-lamanya tanpa diketahui duduk letaknya. Seluruh dunia sedang mencari dan kenyataan bahawa pesawat itu hilang di selatan Lautan Hindi amat bertepatan dengan kepercayaan sebahagian besar masyarakat.

            6. Adakah Dari Sumber Yang Sahih

            Sumber kenyataan tersebut memang dating dari sumber yang boleh dipercayai. Pakar dari seluruh dunia, ketua-ketua kerajaan serta para penganalisis dan ketua tentera mengesahkan dakwaan itu. Perdana Menteri Australia, Perdana Menteri India serta beberapa negara lain juga bersetuju dengan kenyataan tersebut.













MENILAI KREDEBILITI SUMBER

            Di dalam persoalan menilai kredibiliti sumber, terdapat lima kaedah yang digunapakai bagi menunjukkan kebolehterimaan sesuatu kenyataan. Jawatan beliau selaku perdana menteri juga boleh digunapakai bagi menunjukkan kredebiliti sumber yang boleh dipercayai.

            1. Persoalan mengenai individu atau sumber

            Tiada individu yang lebih layak untuk membuat kenyataan yang penting seperti ini. Dengan jawatan sebagai Perdana Menteri, membolehkan kita mempercayai kenyataan tersebut dan sudah tentu kenyataan yang dibuat berdaasrkan analisis dan kajian yang telah dilaksanakan. Selaku Perdana Menteri, setiap kenyataan yang dikeluarkan haruslah sudah dikaji dan boleh dijadikan sandaran. Tiada Perdana Menteri di dunia yang mahu memberi jawapan palsu terutama dalam hal penting seperti ini yang melibatkan kedaulatan,keselamatan dan kesejahteraan negara.

            2. Persoalan mengenai  keadaan atau isi kandungan kenyataan.

            Walaupun kenyatan yang dibuat cuma berdasarkan data dan tiada bukti fizikal terlibat, adalah dapat dipastikan bahawa kenyataan beliau adalah benar pada masa kini sehingga bukti yang lain diperolehi kelak. Kesemua data yang diambil memang menunjukkan pesawat tersebut berakhir di koridor Selatan Lautan Hindi. Berakhir disini bukan bermaksud 100% ianya terhempas, tetapi disitulah berakhirnya hubungan diantara pesawat dan satelit.

            3. Persoalan mengenai bidang kuasa yang menyokong kenyataan

            Kenyatan yang dibuat adalah berdasarkan maklumat dari mereka yang benar-benar terlibat dengan kes ini. Pihak berkuasa seperti kerajaan Malaysia dan juga pihak yang lain seperti AAIB, Boeing, kerajaan Australia dan juga pihak Inmarsat mempunyai maklumat kukuh dan mereka mempunyai kredebiliti bagi menyokong kenyataan yang dikeluarkan.






            4.  Persoalan mengenai  sifat tuntutan yang mempengaruhi kredebiliti

            Kenyatan tersebut dapat diterima dengan tenang dan mudah untuk dipercayai. Selain dari kredebiliti penyampai, faktor masa dan keadaan yang tidak memungkinkan pesawat tersebut hilang begitu sahaja juga memainkan peranan. Tiadak mungkin pesawat yang besar dan canggih seperti itu boleh hilang tanpa diketahui oleh sesiapa di dunia ini.

            5. Adakah terdapat sokongan atau pengesahan

            Kenyataan tersebut disokong oleh semua pihak yang terlibat dalam misi mencari pesawat ini. Seperti contoh, Perdana Menteri Australia dan Perdana Menteri India juga menyokong kenyataan tersebut dan penggunaan ayat tersebut adalah yang paling tepat.
























MENILAI KESIMPULAN YANG DIBUAT

            Apabila terjadinya sesuatu konflik, kebolehan individu untuk menilai kesimpulan daripadanya amatlah diperlukan. Apabila Y.A.B PerdanaMenteri  mengumumkan pesawat MH 370 hilang di Selatan Lautan Hindi, kita perlu menilai kenyataan tersebut berpandukan kaedah dan cara yang sesuai. Pada kebiasaannya, sesuatu kenyatan atau perbalahan yang terjadi mengandungi pembuktian dan juga kesimpulan awal, dan apa yang perlu digunakan oleh kita dalam mencari jawapan adalah mengikut bukti yang disebut dan kesimpulan awal yang telah dibuat.
            Dalam menilai kesimpulan tersebut, ianya adalah berdasarkan data yang boleh diragui. Ia bukan dibuat berdasarkan bukti fizikal cuma ianya berdasarkan pemerhatian melalui corak perjalanan pesawat tersebut adalah terdapat kemungkinan pesawat terbabit berada di kawasan yang berlainan. Kesimpulan yang dibuat adalah merujuk kepada kemungkinan besar dan bukannya kepastian.
            Pembuktian yang dibuat melalui ucapan tersebut telah mengambil masa selama 18 hari dan ia melalui pelbagai fasa kajian.  Bermula dari pencarian secara fizikal iaitu mencari bangkai pesawat terbabit berpandukan hubungan terakhir antara pesawat dan menara kawalan hinggalah kepada data dari satelit yang membuat cerapan dikawasan terbabit.  Kenyataan yang dibuat itu  perlulah dinilai dan dikenalpasti samada ianya benar, mungkin benar, tidak pasti, kemungkinan salah ataupun benar-benar salah.
            Berpandukan data dari satelit Inmarsat dan juga data dari pihak AAIB, yang mengkaji tentang corak laluan penerbangan pesawat malang terbabit menunjukkan ia melalui di bahagian koridor Selatan Lautan Hindi. Terdapat ‘handshake’ iaitu Ping dari bahagian enjin pesawat malang tersebut dengan satelit kepunyaan Boeing pada setiap jam ia beroperasi. Kesimpulan yang dibuat adalah berdasarkan data yang diterima tanpa bukti fizikal kerana pesawat malang tersebut masih tidak ditemui sehingga kajian ini dibuat.
            Bagi mereka yang mengikuti kes ini, data tersebut adalah kemungkinan benar kerana ianya masih boleh dipersoalkan berikutan tiada bukti fizikal yang ditunjukkan. Data yang dikaji adalah berklasifikasi sulit dan bersifat sensitif iaitu ianya tidak disebarkan kepada umum dan ianya cuma untuk mereka yang mempunya kepentingan sahaja seperti pemimpin negara yang terlibat, syarikat pengoperasi pesawat, syarikat pengoperasi satelit dan juga ketua-ketua ketenteraan.
            Data yang diambil dari satelit geostrategic Inmarsat menunjukkan pesawat malang tersebut telah terputus hubungan (handshake) di bahagian tengah Lautan Hindi. Jika dikaji bentuk muka bumi dikawasan yang didakwa, tiada lapangan terbang yang berdekatan bagi tujuan mengisi bekalan minyak bagi pesawat malang tersebut meneruskan perjalanannya. Mengikut maklumat dari pihak MAS, pesawat tersebut cuma boleh beroperasi selama 8 jam jika diukur melalui kandungan bahan api yang dibawa dari KLIA. Penerbangan yang sepatutnya cuma mengambil masa 6 jam dan adalah logik bagi setiap pesawat membawa kandungan bahan api rezab bagi tujuan kecemasan. Dari segi ekonomi, memang patut pesawat tersebut membawa kandungan bahan api yang sesuai dengan jarak perjalanannya memandangkan adalah satu pembaziran berat membawanya secara berlebihan kerana ia tidak digunakan. Maklumat mengenai keadaan geografi ini boleh dikatakan benar kerana memang tiada lapangan terbang di kawasan tersebut dan pesawat tidak mempunyai bahan api yang mencukupi bagi meneruskan perjalanan.
            Perdana Menteri membuat kesimpulan awal ini berpandukan data yang diterima kerana tiada bukti fizikal yang boleh ditunjukkan. Pencarian bukti yang lain bagi menyokong kenyataan ini sudah hampir tiada cuma hanya boleh dibuktikan melalui bukti fizikal itupun selepas bangkai pesawat ini ditemui.























RUMUSAN
            Daripada kajian yang dibuat di atas,kenyataan Y.A.B Perdana Menteri, bolehlah dikenalpasti sebagai kesimpulan awal sahaja dan bukannya kenyataan berdasarkan fakta. Pada kenyataan yang berdasarkan fakta, kenyataan yang dibuat tidak boleh lagi dipertikai kerana sudah terbukti ianya benar. Kenyataan yang dibuat pada 24 Mac 2014 itu, boleh dibuktikan salah sekiranya terdapat bukti baru terutama bukti fizikal pesawat tersebut.
            Pendekatan yang diambil bagi menilai kebolehterimaan kenyataan tersebut adalah berdasarkan bahawa ianya dibuat mengikut bukti dan data yang diperolehi. Kepastian dan pembuktian mengenai perkara ini masih dicari dan sehingga itu, kenyataan ini masih boleh disanggah.
            Apabila diumumkan pesawat tersebut berakhir, kajian ini beranggapan bahawa maksud berakhir bukanlah bermaksud ianya terhempas. Maksud berakhir adalah dimana hubungan diantara pesawat dan satelit putus disitu dan memandangkan tiada lapangan terbang terdekat, perkataan berakhir adalah amat sesuai digunakan.
            Mengikut sisatan terkini, pihak berwajib masih mencari-cari sebab musabab kenapa pesawat ini diterbangkan tidak mengikut jadual yang ditetapkan. Teori mengenai militant, keadaan mental dan teori-teori yang lain tidak dapat dipastikan sehingga pesawat ini ditemui. Terdapat banyak kemungkinan yang boleh berlaku jika kita meneliti ucapan yang diberi. Pembuktian yang boleh dikatakan tiada dan cuma mengharap pada kredebiliti perdana Menteri dan juga syarikat yang terlibat.
            Selepas dikaji ucapan ini melalui kaedah menilai kebolehterimaan, kesimpulan yang dapat dibuat hanya berdasarkan data yang ada sahaja. Pembuktian perlu dicari dan sehingga kini, kenyataan Y.A.B Perdana Menteri boleh dikatakan benar sehingga ada bukti baru yang menunjukkan sebaliknya. Semasa kenyataan ini dibuat, beliau sendiri selaku perdana menteri  yang melaksanakannya dan tidak mahu menyuruh menteri yang bertanggungjawab membuat kenyataan akhbar. Melihat kepada scenario tersebut, dengan kredebiliti beliau selaku perdana menteri adalah boleh disimpulkan bahawa kenyataan tersebut adalah benar. Bagi mengeluarkan kenyataan penting seperti itu, kita sendiri tidak mahu pegawai rendah yang mengucapkannya dan disitu kita boleh melihat bahawa terdapat perkara yang memerlukan penglibatan pihak tertinggi bagi menunjukkan keseriusan.
           




            Dengan kawasan pencarian yang teramat luas dan keadaan iklim serta cuaca yang tidak menentu, pencarian pesawat MH 370 ini menjanjikan pencarian yang sukar dan mencabar. Kenyataan  Perdana Menteri hanya boleh dinafikan sekiranya bukti fizikal ditemui dan kotak hitam pesawat dianalisis. Semoga pencarian ini membuahkan hasil dan keputusan dan sudah tentu ia akan mengubah seluruh lanskap penerbangan dunia.

-PRAY FOR MH 370-

No comments:

Post a Comment

Secebis Kenangan

Make your own slideshow with music at Animoto.