Sunday 12 July 2015

etika professional

1.0  PENGENALAN
            Kehidupan manusia di dunia ini adalah berdasarkan kepada etika yang diamalkan dalam kehidupan mereka bagi menentukan kejayaan dalam hidup seseorang. Individu yang beretika akan melahirkan masyarakat, bangsa dan negara yang beretika. Masyarakat yang beretika adalah masyarakat yang  berpegang teguh kepada falsafah moral dan etika  untuk menjamin  kesejahteraan dan keharmonian negara.  Penghayatan kepada falsafah moral dan etika dan seterusnya mengamalkannya adalah penting kerana kemajuan dari segi material semata-mata akan menyebabkan sesebuah masyarakat dan negara itu pincang.
            Selain etika yang diterapkan dalam diri individu, etika dalam bentuk kolektif juga perlu diamalkan dalam sesebuah organisasi. Perkara ini bagi menjamin keberlangsungan sesebuah organisasi. Jika sesebuah organisasi mempunyai sekumpulan pekerja yang mengamalkan etika profesional, maka tidak ada alasan untuk organisasi tersebut memperoleh kejayaan dan seterusnya memberikan keuntungan bukan sahaja kepada organisasi tersebut, malah kepada bangsa dan negara
            Negara kita semestinya mempunyai rakyat yang mengamalkan etika dan budaya yang positif dan unik yang membantu menaikkan industri pelancongan negara. Menurut Pengurus Besar  Sekretariat Tahun Melawat Malaysia 2014, Nor Yahati Awang Sehingga September 2013 yang lalu, Malaysia menerima  kedatangan 46 juta orang dan daripada jumlah berkenaan 23 juta orang adalah pelancong. Ia menjadikan negara mencatatkan kemasukan 25,032,708 pelancong asing, berbanding 24,714,324 pelancong asing yang direkodkan pada tahun sebelumnya .
            Kepentingan etika profesional juga dapat dilihat melalui aspirasi mantan Perdana Menteri ke empat Tun Doktor Mahathir Mohamad dalam Wawasan 2020. Pada cabaran yang ketujuh untuk  membentuk sebuah masyarakat berbudi yang berbudaya penyayang, sebuah sistem sosial yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri, dengan kebajikan rakyat tidak diasaskan kepada negara mahupun individu tetapi pada sistem kekeluargaan yang mantap.  Wawasan 2020 bertujuan mentransformasikan Malaysia kepada sebuah negara maju berdasarkan acuannya sendiri tanpa meniru negara-negara maju yang lain.  Kemajuan yang dicita-citakan ialah kemajuan yang sempurna mengikut acuan budaya tersendiri masyarakat kita dan tidak hanya diukur daripada sudut pembangunan materialistik sahaja.  Oleh itu, dalam gagasan ini kerajaan bertekad untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang sempurna berlandaskan kepada nilai-nilai moral dan etika yang tinggi. 
2.0  DEFINISI
            Kajian berkenaan etika telah lama menjadi perbahasan ilmuan.  Sebelum melangkah kepada perbincangan yang lebih mendalam berkaitan etika, adalah lebih baik untuk kita menyusuri definisi etika.
            Menurut Kamus Dewan (Edisi Keempat) mendefinisikan etika sebagai prinsip moral atau akhlak atau nilai-nilai akhlak yang menjadi pegangan seseorang individu atau sesuatu kumpulan . White (1993) mendefinisikan etika sebagai salah satu cabang falsafah yang berkaitan dengan kebaikan moral (virtue moral) dan menilai tindakan manusia.   Pendekatan secara peribadi kepada etika adalah menerusi kajian tingkah laku tentang moraliti melalui rasional yang dilihat kepada kehidupan manusia.  Menurut Sahakian et.al. (1993), etika berasal daripada bahasa Greek kuno iaitu ethos yang bermaksud “falsafah moral”.  Etika merupakan salah satu cabang utama falsafah yang merangkumi kelakuan betul dan kehidupan baik. .  Salah satu aspek utama etika ialah kehidupan yang baik, iaitu kehidupan yang bernilai atau memuaskan.  Pencarian summum bonum atau “kebaikan yang terbaik” merupakan salah satu isu utama dalam etika. 
           Kesimpulannya etika ialah prinsip-prinsip tingkah laku yang akan menentukan tindakan yang diambil oleh seseorang individu itu boleh diterima daripada segi moral atau sebaliknya.  Setiap individu perlu mempunyai etika yang boleh diterima oleh setiap anggota masyarakat di sekelilingnya.  Individu yang tidak mempunyai etika akan menyebabkan wujudnya konflik sosial seperti rasuah, pecah amanah, tidak bertanggungjawab, cuai dalam tugas dan sebagainya.
2.1  Etika Profesional
Bagi mendalami maksud etika profesional, maka kita hendaklah mengetahui pula apa yang dimaksudkan dengan profesional. Profesional bermaksud keupayaan dan kecekapan dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab berdasarkan ilmu, latihan dan kepakaran. 
 Etika professional pula merujuk kepada etika dalam sesuatu profesion dan bidang profesional.  Menurut Mohd Janib Johari (2001), etika profesional merupakan satu alat kawalan sosial terhadap golongan profesional yang membolehkan organisasi dan masyarakat mengawasi dan menilai tingkah laku mereka dari semasa ke semasa.  Secara ringkasnya, etika profesional boleh disimpulkan sebagai satu panduan dan tatacara yang menentukan kualiti moral, profesional dan nilai seseorang individu atau sesebuah organisasi.
            Dalam sesuatu profesion, etika profesional dijadikan sebagai panduan oleh setiap kakitangan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.  Etika tersebut mesti dipatuhi untuk memastikan tiada  sebarang masalah atau konflik sosial seperti jenayah ketika menjalankan tanggungjawab. 
 Kesimpulannya, etika profesional merupakan  penentukur dan garis panduan yang bertujuan untuk meningkatkan tahap disiplin, kualiti dan produktiviti seseorang kakitangan dalam sesebuah organisasi.  Etika profesional memberi penekanan terhadap semua aspek yang berkaitan dengan peraturan, peradaban, peranan nilai serta tingkah laku profesion. Oleh itu, prinsip etika ini perlu difahami dan diaplikasikan oleh setiap anggota masyarakat dalam apa juga perkara yang dilakukan.


3.0  FAKTOR-FAKTOR MEMPENGARUHI ETIKA INDIVIDU
Terdapat beberapa faktor yang mencorakkan etika seseorang.  Faktor-faktor tersebut adalah pengaruh ahli keluarga dan rakan sebaya, pengalaman hidup, nilai peribadi dan prinsip moral dan faktor keadaan atau situasi.   
3.1  Pengaruh Keluarga
Seseorang individu akan mula membentuk etika dalam diri mereka sejak zaman kanak-kanak melalui perbuatan meniru atau mencontohi perilaku ibu bapa mereka.  Pada waktu itu, peranan ibubapa dan ahli keluarga yang lain amat besar dalam mempengaruhi pembentukan etika kanak-kanak tersebut. Sekiranya ibubapa dan ahli keluarga banyak menunjukkan etika dan tingkahlaku yang baik, maka kanak-kanak tersebut akan membentuk nilai dan etika yang baik. Namun sebaliknya jika kanak-kanak tersebut membesar dalam suasana yang tidak beretika maka hasilnya lahirlah individu yang tidak beretika.
3.2  Pengaruh Rakan
Apabila kanak-kanak telah mula bersekolah, mereka akan dipengaruhi pula oleh rakan sebaya. Faktor pengaruh rakan merupakan salah satu faktor yang kuat mempengaruhi  pembentukan etika seseorang individu. Ini adalah disebabkan mereka bertemu dan bergaul sesama mereka untuk tempoh enam ke lapan jam hampir setiap hari  Mereka akan menunjukkan etika yang baik sekiranya bergaul dengan rakan sebaya yang baik dan begitulah juga sebaliknya mereka akan menunjukkan etika yang negatif  jika bergaul dengan rakan yang tidak beretika.
3.3  Pengalaman Hidup
Pelbagai pengalaman yang dihadapi dalam kehidupan seseorang. Pengalaman tersebut juga akan sedikit sebanyak mempengaruhi etikanya. Pengalaman tersebut samaada pengalaman yang menggembirakan atau menyedihkan, positif atau negatif akan membentuk kehidupan dan prinsip etika seseorang. Pengalaman ini akan membantu mematangkan seseorang untuk menjalani kehidupan mendatang.
3.4  Nilai Peribadi dan Prinsip Moral
Kedudukan dan status seseorang dalam sesebuah masyarakat juga akan menentukan etika seseorang.  Contohnya jika seseorang individu lebih mengutamakan keluarga, maka nilai peribadinya pasti berbeza dengan seseorang yang lebih mengutamakan kedudukan pangkat dan kewangan yang secara mudahnya  akan bertindak berdasarkan kepentingan peribadi tanpa mengira implikasinya terhadap individu lain.
3.5  Faktor Situasi
Etika seseorang individu juga boleh dipengaruhi oleh faktor situasi kehidupan yang dilaluinya. Walaupun sesuatu perilaku itu tidak beretika, tetapi faktor situasi boleh menyebabkan  seseorang melanggar etika tersebut.  Contohnya seseorang ibu tidak mungkin akan membiarkn anaknya dalam  kesusahan dan kelaparan, tetapi dalam situasi tertentu seperti tekanan emosi dan kedaifan boleh menyebabkan si ibu mengabaikan tanggungjawab terhadap anaknya.


4.0  TIGA FAKTOR YANG MEMBENTUK ETIKA INDIVIDU
            Daripada beberapa faktor yang mempengaruhi etika yang telah disebutkan di atas, tiga faktor yang dianggap paling penting dalam mempengaruhi etika seseorang yang akan diterangkan dengan lebih jelas ialah faktor pengaruh keluarga, faktor pengaruh rakan sebaya dan factor situasi.
 4.1  Pengaruh Keluarga
            Ibubapa dan ahli kelurga merupakan perkara pertama yang dikenali oleh seorang bayi dan kanak-kanak. Oleh itu keluarga memainkan peranan yang sangat besar dalam mempengaruhi etika dalam diri seseorang. Perkara ini adalah disebabkan kanak-kanak amat cepat belajar dan salah satu cara mereka belajar adalah  dengan cara meniru perlakuan orang sekeliling mereka.
Menurut Prof. Madya Dr. Mastura Badzis, Pengarah Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) Universiti Pendidikan Sultan Idris, pernah menyatakan hakikat yang perlu kita tahu daripada fakta oleh pakar perkembangan dan psikologi kanak-kanak, pada peringkat umur 6 tahun pertama adalah peringkat paling utama dan paling laju perkembangan mereka berbanding dengan peringkat-peringkat  atau tahap umur yang lebih dewasa dalam kehidupan seorang insan.
Dapatan terbaru dari kajian yang dilakukan oleh pakar neurologi mendapati bahawa 80—85% perkembangan otak manusia berlaku dalam tempoh enam tahun pertama usia seorang kanak-kanak dan melaui peringkat perkembangan otak yang paling pesat. Justeru boleh dikatakan di sini bawa ketinggian kualiti pendedahan dan pendidikan awal seseorang kanak-kanak merupakan asas kepada keseluruhan perkembangannya yang akan datang.
 Sebagaimana yang kita ketahui kanak-kanak di bawah usia 6 tahun biasanya menghabiskan masa mereka bersama keluarga. Ahli keluargalah merupakan kumpulan individu yang paling hampir dengan kanak-kanak semasa mereka membesar. Oleh itu setiap ahli dalam sesebuah keluarga mempunyai pengaruh yang amat besar terhadap pembentukan etika kanak-kanak.  Segala kelakuan dan perbuatan yang diamalkan oleh ahli-ahli keluarga terutamanya ibu bapa akan ditiru dan diamalkan oleh kanak-kanak kerana meniru merupakan cara mereka belajar pada usia awal tersebut. 
Disebabkan itu, ahli keluarga terutama ibubapa mesti menyedari hakikat ini. Mereka mesti berusaha menanamkan etika yang positif dalam diri kanak-kanak dengan cara menunjukkan dan mengamalkan etika yang positif dalam kehidupan sehariaan mereka. Perkara ini amat penting kerana sekiranya ibu bapa mempunyai etika yang positif, maka kanak-kanak tersebut akan meniru dan mengamalkan etika positif tersebut.  Ibu bapa yang mengamalkan gaya hidup yang positif seperti menghormati orang lain, akan membina diri individu yang beretika, menghormati orang lain dan menjadi seorang warganegara yang berguna.
Tetapi sekiranya ibu bapa kanak-kanak tersebut mengamalkan etika yang negatif, maka kemungkinan besar kanak-kanak tersebut akan membesar dengan perilaku dan etika yang negatif.   Contohnya, seorang bapa yang sering mengeluarkan kata-kata yang kurang sopan akan menganggap bahawa perbuatan tersebut adalah baik dan kanak-kanak tersebut akan menjadikan tabiat bercakap kurang sopan sebagai etika dalam kehidupannya.  Oleh itu, ibu bapa sepatutnya menjadi seorang idola dan contoh terbaik kepada anak-anaknya dengan mengamalkan perilaku yang beretika.
            Berdasarkan pengamatan dan pengalaman dalam bidang kerjaya dan rumahtangga, amat jelas diihat kesan pendidikan daripada zaman kanak-kanak akan membentuk seseorang individu. Bagi pengalaman peribadi saya sendiri yang mempunyai adik beradik lelaki yang ramai dan hanya mempunyai seorang kakak menyebabkan ibubapa saya menunjukkan segala tugasan perlu dibuat secara bersama tanpa membezakan tugasan kepada anak lelaki atau perempuan. Hasilnya kami berlima beradik mampu menguruskan segala kerja rumah daripada mengemas, membasuh pinggan mangkuk, membersihkan rumah sehinggalah kepada memasak tanpa sebarang masalah berbanding dengan rakan-rakan yang tidak didedahkan dengan kerja-kerja rumah tersebut.
            Selain itu, saya juga mempunyai hobi membaca.. Ini disebabkan sejak saya kecil, saya sering melihat ibu dan bapa saya sering mempunyai buku di tangan mereka. Daripada pengamatan saya terhadap tabiat kedua ibubapa menyebabkan saya juga mempunyai hobi yang sama. Namun begitu seiring dengan perkembangan teknologi terkini,saya masih lagi suka membaca tetapi bahan bacaan saya sekarang adalah yang dimuatturun daripada perisisan telefon pintar. Oleh kerana telefon pintar yang sering berada di tangan menggantikan buku, maka saya melihat anak saya lebih gemar bermain dengan telefon pintar atau tablet berbanding dengan memegang buku yang dibelikan untuknya.
            Oleh itu, tidak dapat dinafikan lagi, pengaruh keluarga sangat membawa kesan yang besar dalam membentuk etika yang baik untuk kehidupan seseorang.
4.2  Pengaruh Rakan
Selain daripada faktor latarbelakang keluarga, faktor rakan sebaya juga merupakan faktor yang besar yang dapat mempengaruhi proses pembentukan etika.  Pengaruh keluarga akan berkurangan apabila kanak-kanak meningkat remaja.  Oleh kerana pada umur sebegini, kebanyakan remaja sudah mempunyai ramai kawan bahkan sesetengah mereka menjadi amat rapat dengan kawan berbanding dengan keluarga sendiri
Ahli sosiologi mengistilahkan rakan sebaya sebagai kumpulan kanak-kanak ataupun kumpulan remaja yang mempunyai lingkungan umur yang sama. Kumpulan rakan sebaya ini mempunyai peranan yang besar dalam aktiviti sosial. Ia adalah agensi tidak formal yang memberikan pengalaman yang tidak dapat diperolehi daripada keluarga dan juga di sekolah. Bagi para pelajar, rakan sebaya adalah tempat mereka mencurahkan masalah dan pengganti ibu bapa, terutamanya bagi golongan yang mempunyai masalah di rumah.
Remaja biasanya akan memilih rakan sebaya yang mempunyai persamaan tingkah laku, sikap dan identiti dengan mereka (Akers, Jones & Coyle, 1998; Hogue & Steinberg, 1995). Selain dipengaruhi, mereka juga didominasi oleh rakan sebaya (Brown, 1990).  Oleh kerana keperluan untuk diterima oleh kumpulan rakan sebaya amat penting, seseorang remaja akan menepati norma dan nilai yang ditonjolkan oleh kumpuan tertentu samaada ia positif ataupun negatif.  Contohnya, sekiranya rakan-rakan dalam sesebuah kumpulan rakan sebaya tersebut mempunyai standard etika yang tinggi seperti mementingkan disiplin diri dan pelajaran maka individu-individu dalam kumpulan tersebut juga akan menerima standard etika tersebut.
            Pengaruh rakan sebaya juga boleh mewujudkan tabiat yang negatif seperti ponteng kelas, vandalisme, merokok dan mungkin juga perbuatan jenayah sosial.  Golongan remaja biasanya lebih mudah meniru dan terpengaruh dengan rakan sebaya.   Kebiasaannya, golongan remaja yang melakukan salahlaku akan melakukannya secara berkumpulan.  Mereka belum mencapai tahap umur yang matang untuk menilai sesuatu perbuatan dan hanya ingin menurut kata hati sendiri.Apabila mereka berkumpul sesama mereka, maka akan timbullah pelbagai idea untuk melakukan sesuatu yang baru tanpa mengambilkira kesalahan di sisi undang-undang.
            Mengikut pengalaman saya sendiri ketika bersekolah dan tinggal di asrama, saya adalah individu yang amat berlainan semasa bersama keluarga dan rakan sebaya. Ibubapa dan keluarga telah membentuk diri saya menjadi seorang anak yang beretika, tetapi dengan rakan sebaya di asrama saya suka melakukan aktiviti yang negatif yang biasa dilakukan oleh pelajar di asrama seperti keluar ke bandar tanpa pengetahuan warden. Walaupun mengetahui perkara tersebut adalah salah, tetapi bersama dengan rakan sebaya, kami merasa bangga sekiranya dapat melakukan perkara tersebut.
Begitu juga dengan tabiat merokok yang sukar untuk dihentikan, walaupun bapa saya bukan seorang perokok, saya mempelajarinya daripada rakan sebaya ketika di alam remaja. Sehingga kini walaupun pelbagai cubaan untuk berhenti daripada tabiat yang saya sendiri mengakui sebagai tabiat yang buruk, ia adalah amat sukar sekali kerana kini saya bersama-sama pula dengan rakan sekerja yang mempunyai tabiat yang sama.
            Oleh itu, terbukti pengaruh daripada rakan sebaya juga merupakan faktor yang kuat yang yang akan mencorak sikap, tingkah laku dan etika individu terutamanya mereka yang berasal daripada keluarga bermasalah.

4.3  Faktor Situasi
Situasi merujuk kepada keadaan, suasana dan kedudukan sesuatu perkara. Situasi boleh mempengaruhi etika pula bermaksud keadaan hidup seseorang akan boleh memberi kesan kepada etika hidup yang diamalkan terutama ketika berdepan dengan sesuatu masalah atau dilema dalam kehidupan. Kadangkala seseorang secara tidak sengaja berada dalam situasi yang memerlukan mereka bertindak bertentangan dengan pertimbangan yang baik. Sebagai contoh, seorang pekerja yang mempunyai masalah kewangan menipu dalam akaun tuntutan mereka kerana mempunyai masalah beban kewangan pada ketika itu. Walaupun keadaan ini tidak memberi justifikasi yang tepat kepada ketidakjujurannya, namun ianya perlu dalam konteks memberi kefahaman mengapa seseorang boleh bertindak secara tidak beretika sekiranya mereka berada di dalam situasi tertentu seperti berada di dalam dilemma atau tertekan dengan masalah di tempat kerja atau di rumah.
Sepertimana yang kita maklum, baru-baru ini Malaysia digemparkan dengan berita seorang remaja Orang Kelainan Upaya (OKU) yang ditemui dalam keadaan yang menyayat hati akibat menjadi mangsa pengabaian ibu sendiri. Secara fitrah dan logiknya,  semua ibu menghendaki yang terbaik untuk anak mereka dan akan berusaha semampu yang mungkin untuk melindungi anak mereka. Semua manusia akan mengakui ibu mana yang tidak sayangkan anak. Namun, daripada kes ini, kita tidak dapat menerima hakikat perbuatan kejam seorang ibu yang sanggup meninggalkan anak dalam keadaan tidak terurus dari segi makan dan pakainya. Secara logiknya kita semua tidak mampu untuk memberi alasan mengapa si ibu sanggup memperlakukan anaknya sedemikian. Namun, sekiranya ditinjau dari aspek psikologi, situasi yang dialami ibu remaja tersebut memungkinkan dia bertindak sedemikian. Apabila diceraikan oleh suami, dan terpaksa menjaga anak istimewa yang memerlukan penjagaan rapi seorang diri mungkin menyebabkan ibu hilang kewarasan akal lantas bertindak mengabaikan anaknya. Ini jelas dilihat keadaan remaja tersebut sebelum ini yang kelihatan baik dan terurus sebelum berlakunya perceraian tersebut.
Melalui pengalaman saya sendiri ketika bertugas di Sierra Leone Afrika Barat, situasi negara itu yang belum stabil dari aspek ekonomi dan keselamatan, menjadikan saya seorang yang lebih bersyukur dan lebih berani dalam menjalani kehidupan sekarang. Melihat kepada keadaan mereka yang amat sukar meneruskan kehidupan kerana sumber makanan yang terhad dan tidak mampu dimiliki, menjadikan saya seorang yang mudah menawarkan bantuan dan amat sensitif terhadap mereka yang serba kekurangan.
Di negara tersebut juga saya melihat salahlaku rasuah berlaku di mana-mana sahaja. Ia menjadi satu kemestian apabila hendak berurusan dengan pihak berkuasa. Saya melihat perkara tersebut seolah-olah bukanlah satu kesalahan kerana pihak berkuasa sendiri yang melakukan salhlaku tersebut. Walaupun saya amat membenci rasuah dan tahu ia perbuatan yang tidak beretika, pada beberapa ketika saya terpaksa juga memberi rasuah terutama ketika berurusan di lapangan terbang bagi memudahkan urusan penerbangan saya untuk pulang ke Malaysia atau untuk memasuki negara tersebut.
Maka, boleh disimpulkan di sini bahawa situasi yang dialami oeh seseorang pada masa tertentu, boleh menjadikan seseorang itu lebih beretika atau terpaksa memilih cara yang tidak beretika untuk kepentingan dirinya.



5.0  UNDANG-UNDANG SEBAGAI PANDUAN UNTUK PILIHAN MORAL
Setiap orang akan sentiasa bebas untuk memilih agar menjadi seseorang yang beretika atau tidak. Maka , untuk memastikan semua orang mesti memilih cara hidup yang beretika, ia tidak boleh hanya bergantung kepada kekuatan dalaman seseorang . Oleh itu, undang-undang diperukan bagi menjadi panduan kepada pilihan hidup yang lebih bermoral.
Undang-undang merupakan satu set peraturan yang konsisten dan digubal oleh masyarakat untuk mengawal kelakuan masyarakat dan telah diterbitkan (published), diterima (generally accepted) dan dikuatkuasakan (enforced).  Secara ringkasnya, undang-undang adalah set peraturan yang dibina oleh masyarakat untuk menguasai atau mengawal kelakuan di dalam sesebuah masyarakat.  Undang-undang akan mengatur perjalanan hidup manusia tanpa mengira pangkat, warna kulit, agama, ideologi politik dan sebagainya agar perjalanan hidup mereka seiring dengan norma yang dibenarkan dan diterimapakai oleh masyarakat .
Di negara kita, badan kehakiman yang menjaga undang-undang terletak di hirarki yang tinggi dalam negara. Sebagai rakyat Malaysia, kita juga melafazkan ikrar untuk patuh kepada undang-undang dan perlembagaan dalam ikrar kita.Ini membuktikan undang-undang mengawal dan menentukan peranan institusi atau badan kerajaan dan rakyatnya.  Selain daripada itu, undang-undang juga berperanan sebagai agen keamanan dan kesejahteraaan.  Undang-undang mesti dilaksanakan untuk mengawal ahli-ahli masyarakat daripada melakukan sebarang tindakan yang salah dan memudaratkan diri dan orang ramai.  Individu yang melanggar peraturan undang-undang akan dikenakan hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka.  Hukuman tersebut dibuat bertujuan untuk memberi pengajaran kepada si pelaku dan orang ramai.  Oleh yang demikian, hak-hak dan kebebasan setiap individu akan terpelihara dan akhirnya satu bentuk kehidupan sosial dan poitik yang stabil dapat diwujudkan.
Inilah kepentingan undang-undang yang boleh kita lihat yang dapat menjadikannya  sebagai panduan untuk pilihan moral.  Ini bermaksud seseorang individu di dalam sesebuah masyarakat perlu merujuk kepada undang-undang apabila berhadapan dengan dilema etika. 
             Sebagai contoh, setiap individu yang tinggal di dalam negara Malaysia tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) yang bertujuan untuk melindungi rahsia keselamatan negara.  Ketika tugasan ini sedang disiapkan, negara digemparkan dengan kes berkenaan seorang diplomat yang didakwa membocorkan dokumen tidak sah berhubung jadual lawatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula 8 April lepas. Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa telah menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap penjawat awam yang didapati membocorkan rahsia-rahsia kerajaan.
            Selain itu, kes kemalangan jalan raya di negara kita semakin meningkat terutama ketika musim perayaan. Salah satu faktornya adalah keadaan pemandu yang tidak mematuhi etika di jalanraya. Rekod mencatatkan angka kematian kemalangan jalan raya di Malaysia adalah yang tertinggi di dunia, iaitu 19 kematian setiap hari. Oleh itu, kerajaan terus mengambil serius tentang perkara ini dengan melipatgandakan usaha dalam menangani kes ini, antaranya melaksanakan penggunaan kamera AES pada  kawasan yang sering menjadi lokasi kemalangan. Saman akan dikeluarkan bagi mereka yang melanggar had laju yang ditetapkan dan tindakan yang lebih tegas akan dikenakan. Saya sendiri pernah menerima saman berkaitan had laju. Disebabkan itu, saya menjadi lebih berhati-hati dan memastikan saya sentiasa mematuhi etika di jalan raya.



6.0 KESIMPULAN
            Dalam kehidupan kita di dunia ini, sudah pasti menyebabkan kita akan bekerja dan  berkomunikasi sesama manusia. Oleh itu, bagi mengekalkan komunikasi dan perhubungan yang baik  maka semua manusia perlu berpegang kepada cara hidup beretika. Etika merupakan prinsip moral atau akhlak yang mesti menjadi pegangan setiap individu. Etika yang baik akan membina seorang individu mulia dan berintegriti mempunyai sifat-sifat terpuji dan siasah diri yang unggul walau di mana sahaja dia berada kerana nilai etika telah membentuk falsafah hidup, gaya berfikir dan tindak- tanduknya. Perkara ini seterusnya akan membawa kejayaan kepada dirinya sendiri seterusnya kejayaan kepada masyarakat dan negara.
            Selain etika yang membentuk peribadi seseorang individu, bagi sesebuah organisasi, ia memerlukan setiap anggota dalam organisasi tersebut mempunyai etika professional. Ia merujuk kepada nilai dan etika yang  diperlukan dalam bidang professional. Pegangan kepada etika inilah yang akan memastikan seseorang menjalankan tugas yang telah diamanahkan mengikut peraturan yang digariskan bagi menjayakan kelangsungan organisasi tersebut. Pekerja yang mempunyai etika kerja yang baik pastinya akan memberi keuntungan kepada semua.
             Namun begitu etika tidak datang begitu sahaja Ia bukan satu perkara yang dianugerahkan kepada seseorang sejak ia lahir. Tetapi etika perlu dipuuk melalui didikan samaada formal atau tidak. Etika juga akan berubah bergantung kepada beberapa faktor. Antara factor yang mempengaruhi etika yang dibincangkan dalam tugasan ini adalah faktor ahli keluarga dan rakan sebaya, pengalaman hidup, nilai peribadi dan prinsip moral serta faktor keadaan atau situasi.
            Dalam tugasan ini, saya telah memfokuskan tiga faktor  utama yang mempengaruhi etika seseorang individu. Peranan ibubapa dan ahli keluarga merupakan faktor yang paling utama kerana pada peringkat  awal umur seseorang itulah paling banyak perkara yang dipelajari hingga menjadikan ia tabiat bagi seseorang. Jika keluarga mengamalkan nilai dan etika yang positif, maka sudah pasti individu yang terbentuk daripada keluarga tersebut akan mengamalkan etika yang baik sepanjang kehidupan mereka dan begitulah jika sebaliknya. Faktor pengaruh rakan sebaya juga memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam membentuk etika seseorang. Ini disebabkan apabila kanak-kanak beralih ke alam remaja, maka kebanyakan masa mereka dihabiskan bersama rakan sebaya mereka. Di sinilah rakan sebaya mengambil peranan yang besar dalam menentukan standard etika yang diamalkan. Jika mereka bersama dengan rakan sebaya yang menamalkan etika yang baik, sudah pasti akan melahirkan individu yang beretika. Faktor seterusnya yang mempengaruhi etika ialah situasi atau keadaan seseorang. Perkara ini biasanya berlaku apabila seseorang terjerat dalam situasi yang memerlukannya membuat pilihan yang beretika atau tidak untuk kepentingan diri sendiri.
            Oleh kerana banyak faktor luaran yang mempengaruhi etika seseorang, maka undang-undang diperlukan sebagai satu dorongan agar manusia sentiasa memilih cara hidup yang beretika. Undang-undang akan memastika setiap individu akan mematuhi nilai etika pada setiap masa dan dalam jua keadaan. Oleh itu sekiranya berlaku perlanggaran etika, maka sudah pastilah tindakan undang-undang akan dikenakan kepada mereka yang melanggar etika tersebut.
            Sebagai kesimpulannya, semua orang mesti mengamalkan etika yang baik pada setiap masa kerana ia merupakan satu kemestian bagi menjamin kesejahteraan negara. Adalah menjadi tanggungjawab semua untuk memastikan amalan etika yang baik sejak dari kanak-kanak hinggalah akhir hayatnya agar menajdikan masyarakat Malaysia terutamanya sebuah negara yang dipandang tinggi bukan sahaja kerana pencapaian kemajuan malah boleh dicontohi kerana rakyatnya mengamalkan etika hidup yang mulia.

1 comment:

Secebis Kenangan

Make your own slideshow with music at Animoto.