Sunday 12 July 2015

konsep asas teknologi maklumat

Di dalam buku’Power Shift’ tulisan Alvin Toffler iaitu seorang yang mengkaji tentang pengetahuan, kekayaan dan keganasan menjelang kurun ke 21 mengatakan bahawa zaman maklumat di alaf baru akan menggantikan zaman perindustrian dan juga zaman pertanian yang telah berlanjutan selama beberapa kurun.
            Menyedari hakikat kini, teknologi maklumat telah menjadi wadah baru bagi banyak negara di dunia. Mereka menjadikan industri teknologi maklumat sebagai pemangkin pertumbuhan negara. Di Singapura contohnya, mereka menetapkan tahun 2000 sebagai permulaan sebuah pulau bistari dengan kempen IT2000 nya.
            Bagi Malaysia, Projek Koridor Raya Multimedia (Multimedia Super Corridor) merupakan flagship ke arah dunia multimedia dan diumumkan secara rasminya di Persidangan Multimedia Asia pada 1 Ogos 1996. Pengumuman ini menjadikan Malaysia tidak ketinggalan dalam merebut dan membina infrastruktur berasaskan multimedia dalam menuju alaf baru dunia. Ia juga membuatkan Malaysia sudah bersedia dalam menghadapi era baru teknologi maklumat.
            Koridor Raya Multimedia merangkumi kawasan seluas 750 km persegi yang melebar ke selatan Kuala Lumpur, bermula dari Pusat Bandaraya Kuala Lumpur (PBKL) di utara hinggalah ke Lapangan Tebang Antarabangsa Kuala Lumpur (LTAB) di selatan. Ia disempadani oleh Lebuh Raya Utara-Selatan di sebelah timur dan Lebuh Raya Persisiran Pantai di sebelah barat .
            Di antara pusat bandaraya Kuala Lumpur dan lapangan terbang antarabangsa Sepang, terdiri dua identiti mega di tengah-tengahnya, iaitu pusat pentadbiran baru kerajaan, Putrajaya dan Bandar Cyberjaya. Antara kewujudan bangunan mega itu, terbangun pula industri multimedia dan syarikat utama yang menerajui perkembangan infrastruktur dan teknologi maklumat. Selain itu, keseluruhan MSC juga akan dilengkapi dengan rangkaian optik gentian digital, 2.5 hingga 10 gigabit yang akan menghubungkannya secara langsung dan interaktif dengan negara Asean, Jepun, Amerika Syarikat, Eropah dan negara membangun yang lain.
            Penubuhan MSC ini membawa cabaran baru kepada Malaysia. Matlamat utama yang ingin dicapai adalah supaya ia membawa ledakan teknologi dan seterusnya memakmurkan lagi negara dalam menuju wawasan 2020. Malaysia perlu meneroka persekitaran baru berasaskan teknologi maklumat seperti ekonomi berasaskan pengetahuan (k-ekonomi) jika ingin menjadi negara maju setaraf dengan negara asing yang sudah lama menceburi bidang ini.
            Dengan tertubuhnya MSC ini, mereka diberi tanggungjawab untuk memperkembang dan memajukan lapan aplikasi khusus demi kemajuan negara. Kelapan-lapan aplikasi ini merangkumi sector utama negara dan diharap akan mempercepatkan perkembangan teknologi di kalangan rakyat Malaysia. Kesemua aplikasi tersebut adalah seperti :
1. Pembangunan dan Penyelidikan.
Penubuhan kelompok institusi kajian serta institusi pendidikan di MSC untuk meningkatkan kemahiran sumber manusia tempatan serta menjalankan kajian teknologi maklumat yang canggih.

2. Pusat Pembuatan Sedunia.
Dengan menyediakan kemudahan pembuatan kepada syarikat antarabangsa dengan menawarkan sumber manusia yang berdaya saing dalam peringkat antarabangsa dan murah dari segi bayarannya.

3. Pusat Pemasaran Tanpa Batasan.
Berdasarkan hakikat bahawa keunikan budaya rakyatnya, Malaysia dapat membekalkan perkhidmatan telemarketing kepada populasi 2.5 billion orang penduduk di rantau Asia.

4. Pusat Kewangan bercirikan Multimedia.
Lokasi MSC yang strategik dengan hubungan multimedia ke semua pusat kewangan sedunia dapat menarik minat syarikat yang ingin menyokong MSC secara melabur di syarikat-syarikat dalam MSC.

5. Pendidikan
Sekolah di Malaysia mempunyai akses kepada internet dan menjadi sekolah pintar dimana setiap sekolah mempunyai hubungan diantara satu sama lain dan pendidikan yang ke arah melahirkan lebih ramai pakar. Penubuhan Multimedia Universiti (MMU) merupakan kemuncak kepada sektor ini.


6.Teleperubatan.
Hospital akan menggunakan teknologi maklumat yang canggih untuk berhubung antara hospital di rantau ini serta di seluruh dunia. Dengan itu, kepakaran doktor di seluruh dunia dapat dikongsi oleh doktor tempatan.

7. Kerajaan elektronik.
Pentadbiran kerjaan yang berhubung secara rangkaian komputer dengan mengutamakan konsep kurang kertas (paperless). Semua jabatan kerajaan akan dihubungkan dengan pangkalan data sepunya untuk memudahkan aliran maklumat. Dengan itu kecairan maklumat (information solvency) akan meningkat.

8. Kad Bistari yang serbaguna .
Kad bistari yang serbaguna akan dikeluarkan dan akan berfungsi sebagai kad pengenalan, dompet elektronik, kad kredit, kad telefon dan seumpamanya.

            Jika dilihat dari asasnya projek MSC menunjukkkan kejayaan apabila sejumlah 1,208 syarikat telah diberi status MSC, penjanaan 19000 pekerjaan berasaskan pengetahuan, penjualan produk berasaskan ICT sebanyak RM 68 juta dan sejumlah RM 522 juta telah dibelanjakan untuk pembelajaran dan pendidikan. Disamping itu, MSC juga telah memainkan peranannya dalam usaha memupuk penginovasian dan perkembangan syarikat yang berasaskan ICT di mana pada hari ini apa yang boleh dilihat lebih 70 peratus daripada syarikat sekuriti MASDAQ berstatus MSC.
            Melalui tugasan ini, saya akan memberikan empat contoh bidang industri yang berkait rapat dan terkesan dengan penubuhan MSC ini. Bagaimana mereka mengaplikasikan teknologi ICT ke dalam industri masing-masing dan bagaimana MSC membantu memperkembangkan industri ini.


PENDIDIKAN
            Ini merupakan inisiatif keraajaan semasa membangunkan Multimedia Super Corridor (MSC). Kerajaan Malaysia meyasarkan agar bidang pendidikan meng;ambil kesempatan ke atas kehadiran teknologi canggih dan pembangunan MSC untuk mula membangunkan teknologi IT dan diterapkan di sekolah-sekolah di Malaysia. Perkara ini akan dimulakan dengan kelompok 90 buah sekolah sebagai permulaan dan akan menjadi ‘pilot projek’ sebelum diterap ke semua sekolah dalam menyajikan sistem pembelajaran menggunakan teknologi IT.
            Malaysia ‘Smart School’merupakan institusi yang diolah yang menekankan kaedah pembelajaran secara praktikal  serta pengurusan yang mantap dalam menyediakan pelajar ke arah dunia informasi. Sekolah ini akan berevolusi sepanjang masa membangunkan kakitangan yang professional, sumber pembelajaran dan pengurusan yang cekap. Ini akan menyediakan sebuah sekolah yang boleh berubah mengikut keadaan semasa sambil menyediakan pelajar agar bersedia dan berubah seiring dengan kemajuan era berinformasi.
            Untuk ia beroperasi secara efektif, ‘smart school’ memerlukan kakitangan yang mahir dan sumber sokongan yang mantap. Dalam meyediakan para pelajar ke arah era informasi, ia bergantung kepada beberapa strategi yang bersepadu seperti di bawah:

            1. Menyediakan pembangunan menyeluruh yang menyasarkan kebolehan individu,            menyediakan kurikulum bersepadu yang terbuka kepada semua dan merangkumi kepelbagaian disiplin ilmu.
            2. Menekankan pembangunan intelek, emosi, rohani dan pertumbuhan fizikal serta             menumpukan kemahiran pemikiran disamping menggunapakai nilai yang baik di   seluruh kurikulum.
            3. Menghasilkan tenaga kerja celik teknologi yang boleh berfikir secara kritikal,      menggalakkan pemikiran dan kreativiti merentasi kurikulum dan menggunakan           teknologi secara berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran.
            4. Mendemokrasikan pendidikan, menawarkan akses yang sama kepada peluang    pembelajaran disamping tahu menilai kebolehan pelajar, gaya dan rentak mereka.
            5. Meningkatkan penyertaan pelajar, mewujudkan kesedaran mengenai peranan dan           tanggungjawab mereka dan membangunkan kemahiran yang mereka perlukan.



            Teknologi memainkan peranan di persekitaran ‘smart school’, dari segi fasiliti mengajar dan kaedah pembelajaran. Sekolah pintar yang lengkap mengandungi :

            1. Bilik kelas lengkap dengan peralatan multimedia, peralatan bantu mengajar dan email secara kumpulan bagi kerja yang melibatkan perbincangan.
            2. Perpustakaan yang dilengkapi dengan perlatan multimedia, akses kepada internet           dan mempunyai pengkalan data yang luas.
            3. Setiap sekolah mempunyai makmal komputer yang canggih yang akan mengajar             subjek mengenai komputer dan perlatan multimedia lengkap.
            4. Bilik guru yang dilengkapi kebolehan mengakses pengkalan data, sumber, informasi      dan perisian bagi menjadi alat bagi bantuan mengajar.
            5. Pejabat pentadbiran pula, berkebolehan untuk mengurus pengkalan data murid dan        guru, memantau prestasi mereka dan juga mengedar notis atau pengumuman secara elektronik.
Persekitaran yang canggih ini akan menjadi pemangkin kepada kebolehupayaan sesuatu sekolah dalam meningkatkan pencapaian kurikulum mereka dan mendidik para pelajar supaya mereka tidak ketinggalan dalam arus perdana dunia tanpa sempadan ini. Penubuhan sekolah pintar ini juga, bakal menyajikan pembelajaran yang efektif dan seperti hadis Rasul Allah bahawa ‘didiklah anak mengikut zaman mereka’. Para pelajar akan menjadi manusia yang penuh dengan informasi dan tahu dimana untuk mencarinya. Bagi negara pula, para pelajar ini merupakan antara penggerak ekonomi Malaysia yang  menuju ke arah k-ekonomi.


INDUSTRI KECIL SEDERHANA (SME)
            Industri kecil dan sederhana (IKS) memainkan peranan penting dalam pembangunan dan perkembangan ekonomi negara. Lebih penting, pertumbuhan sektor pembuatan yang amat memberansangkan sejak 1980-an telah meletakkan IKS sebagai industri penggerak utama dalam mempelbagaikan aktiviti di sektor ini.
            Peranan dan sumbangan ini dijangka menjadi semakin penting dalam mencapai wawasan 2020 dan menjadikan negara ini sebagai sebuah negara perindustrian. Malah IKS boleh dijadikan sebagai asas, tulang belakang dan pendokong dalam memenuhi hasrat dan cita-cita wawasan pembangunan ekonomi negara selepas 2020.
            Dewasa ini sumbangan IKS semakin terserlah dan ini dapat dilihat dalam beberapa bidang seperti jumlah pertubuhan, jumlah pekerjaan, nilai keluaran dan harta tetap. Pada tahun 2012 misalnya, IKS terdiri 84.1% dari jumlah keseluruhan pertubuhan pengilang dalam sektor perkilangan di Malaysia.
            Bidang perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah dan IKS tidak terkecuali dalam mendepani cabaran yang banyak yang perlu dihadapi bagi menjamin kelangsungan sesebuah identiti perniagaan. Antara cabaran yang dihadapi termasuklah mendepani pasaran tempatan yang terhad berikutan lemahnya kita dalam bidang IT. Seperti saranan bekas perdana menteri Malaysia iaitu Dr. Mahathir Mohamad, IKS di Malaysia perlu belajar dan menguasai ilmu IT sekiranya ingin terus kekal bersaing dalam arus kemodenan dunia.
Peranan MSC dalam pembangunan IKS
            Program MSC merancang untuk menarik firma IT terkemuka dan syarikat-syarikat kecil dan sederhana tempatan beroperasi di dalam wilayahnya dengan tujuan untuk membolehkannya beroperasi secara efisyen dan membentuk kelompok perniagaan yang kukuh.
            IKS tempatan perlu meningkatkan penggunaan teknologi maklumat bagi membolehkan mereka meneroka dan bersaing secara sama tara di pasaran global. Walaupun kos penggunaan teknologi maklumat tidaklah murah, tambahan pula untuk mendapat kakitangan yang terlatih di bidang ini agak sukar, sektor IKS perlu menyedari bahawa hal ni merupakan pelaburan yang tidak boleh dielakkan.
            Statistik menunjukkan hanya 25.6 peratus produk perkilangan IKS Malaysia yang dieksport. Selain faktor luaran, kadar yang rendah ini adalah berkaitan dengan set minda syarikat IKS itu sendiri.Walaupun kerajaan dan badan yang berkaitan berusaha gigih menggalakkan IKS tempatan meneroka pasaran global, bilangan IKS yang berbuat demikian amat kecil. Oleh hal yang demikian, mereka perlu melakukan anjakan set minda, melakukan inovasi,  pembangunan teknologi dan adaptasi model perniagaan yang baharu. Hanya dengan mengambil langkah tersebut mereka akan dapat meningkatkan daya saing dan berpeluang meraih faedah daripada arus globalisasi.
            Bagi pembangunan IKS di Malaysia, setiap kementerian atau jabatan mempunyai program khusus bagi mereka. Bermula dari penerapan ilmu keusahawanan hingga kepada membantu mereka mendapatkan pembiayaan dan seterusnya memasarkan produk masing-masing ke dunia luar.
            Antara program yang dirancang pada setiap tahun dan ia menjadi KPI kepada setiap kementerian dan jabatan yang bertnggungjawab ialah pembangunan modal insan, akses kepada pembiayaan dan juga akses kepada pasaran.
            Bagi sektor pembangunan modal insan, setiap jabatan perlu menyediakan kemudahan bagi tujuan pendidikan dan juga latihan kepada pihak IKS bagi membolehkan mereka sentiasa berdaya saing dan mempunyai ilmu yang mencukupi tentang keusahawanan. Melalui sektor ini, pihak operator IKS mendapat sumber maklumat terkini tentang dunia keusahawanan dan bantuan yang boleh diperolehi.
            Seperti contoh bagi Kementerian Pertanian serta Industri Asas Tani,  mereka perlu menyediakan latiahan yang membantu meningkatkan pengeluaran makanan dan kualiti makanan. Mereka juga perlu menyediakan bantuan infrastruktur seperti IT dan dana bagi pelaksanaan amalan pertanian baik. Kesemua ini boleh diperolehi dengan mengikuti kursus dan bimbingan yang dianjurkan oleh mereka dari masa ke semasa. Begitu juga dengan sektor akses kepada pembiayaan dan akses kepada pasaran. Setiap jabatan mempunyai strategi tersendiri dalam membantu operator IKS memperolehinya.
            Antara yang dicipta dan digunakan oleh industri kecil ini ialah e-commerce. E-commerce merupakan satu aktiviti jual, beli, penghantaran, dan juga penerimaan sebarang produk, servis mahupun informasi melalui jaringan internet. E-commerce juga adalah jenis perniagaan yang semakin disebut-sebut kerana ianya bakal menggantikan perniagaan yang realiti kerana seperti mana yang kita ketahui e-commerce adalah perniagaan yang dijalankan secara maya (atas talian). Sesuai dengan masa sekarang, masyarakat tidak perlu keluar membeli belah kerana dengan adanya teknologi komputer dan internet ianya sudah memadai untuk melakukan urusan jual beli.
            Pekembangan ini juga akan mengubah cara pembelian daripada secara tradisional (realiti) kearah lebih canggih ( secara maya). Kebanjiran laman-laman web telah memberi peluang pekerjaan kepada umum. Laman web ini juga turut memudahkan lagi organisasi-organisasi besar, sederhana atau kecil yang ingin menawarkan peluang pekerjaan kepada orang awam. Di samping itu, portal jawatan kosong juga turut menyediakan maklumat pekerjaan secara automatik. Dengan adanya laman web ini, masyarakat dapat membuat permohonan mengikut kelayakan mereka. Syarikat perniagaan di Malaysia kini mempunyai pelbagai saluran baru untuk mengadakan perangkaian dengan membuat pelancaran gerbang perniagaan. Gerbang ini juga bukan sahaja memberi manfaat kepada syarikat-syarikat tempatan, malahan ia dapat membantu pelabur-pelabur asing untuk menjalankan perniagaan di Malaysia serta menyediakan platform bagi mengurangkan jumlah penganggur di Malaysia. Dengan adanya pelabur-pelabur ini, ia dapat memperbanyakkan lagi syarikat-syarikat multinasional di Malaysia.




TELEKOMUNIKASI
            Kemudahan infrastruktur telekomunikasi merupakan salah satu kelebihan daya saingan MSC.  Multimedia Super Coridor(MSC) merupakan satu projek mega yang amat berkait rapat dengan perkembangan telekomunikasi di Malaysia.  Memandangkan MSC dibangunkan di tempat yang baru yang sebelum ini merupakan kawasan luar bandar maka soal menggantikan infrastruktur telekomunikasi yang lama tidak timbul.  Dengan ini, MSC dapat secara terus menggunakan teknologi terkini untuk perhubungan rangkaian.
            Keluasan kawasan MSC ialah 4500km persegi  bermula daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)  dan berakhir hingga ke  KLCC.  Wilayah Persekutuan Putrajaya telah menjadi Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan baru di mana konsep kerajaan elektronik diperkenalkan.
            Sebagai sebuah bandaraya bestari, Putrajaya akan menawarkan kemudahan perkhidmatan telekomunikasi yang canggih dan sesuai dengan kedudukannya di dalam lingkungan Koridor Raya Multimedia (MSC). Perkhidmatan telekomunikasi ini merangkumi perkhidmatan-perkhidmatan seperti telefon, pengaliran data, televisyen dan video kabel, sistem penyiaran radio dan televisyen kerajaan dan swasta, sistem kamera pengawasan (CCTV) dan jaringan data khusus.
            Pembangunan perkhidmatan telekomunikasi ini menyediakan penyaluran maklumat untuk memenuhi keperluan pengguna yang berbagai-bagai di Putrajaya.  Justeru itu, jaringan gentian optik digital berkeupayaan 2.5 hingga 10 gigabit digunakan dalam penyaluran maklumat untuk bandar raya ini. Jaringan penyaluran maklumat ini dikawal selia dengan menggunakan sistem berkomputer. Ini bertujuan memberikan perkhidmatan telekomunikasi yang terbaik dengan mengurangkan unsur-unsur gangguan dan penyaluran maklumat terputus.
            Pelaburan yang besar telah dibuat untuk menyediakan infrastruktur komunikasi yang mengandungi teknologi gentian optik, satelit dan selular bagi menyokong pembangunan telekomunikasi dalam negara.  Rangkaian gentian optik yang meluas telah dipasang iaitu 62,600 kilometer yang menghubungkan negeri dan bandar utama di seluruh negara.  Rangkaian gentian optik membolehkan jalur lebar yang berkeupayaan tinggi menghantar pelbagai bentuk trafik seperti data, suara dan video.  Berkaitan dengan teknologi satelit, Malaysia telah mempunyai empat laluan satelit iaitu di Kuantan, Labuan, Melaka dan Sematan yang menyediakan hubungan trafik ke negara lain dalam lingkungan lautan Hindi dan Pasifik. 
            Bagi MSC, rangkaian tulang belakang gentian optik yang merangkumi 360 kilometer telah siap dibina.  Pembinaan tulang belakang tersebut juga melibatkan pemasangan suis Mod Pertukaran Asinkroni (ATM) di Cyberjaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Bukit Jalil bagi menyokong penggunaan multimedia jalur lebar dan capaian Internet berkelajuan tinggi.  Infrastruktur jalur lebar MSC terdiri daripada empat jalur utama di mana setiap satu mempunyai lebarjalur antara 2.5 ke 10 gigabit sesaat (Gbps). 
            Internet dan teknologi tanpa wayar merupakan dua teknologi terpantas yang dibangunkan dalam bidang telekomunikasi.  Enam ISP telah diberikan lesen tetapi hanya tiga yang telah mula menyediakan perkhidmatan Internet kepada pelanggan.  Bagi melengkapkan ISP, Pembekal Khidmat Capaian (ASP) juga turut diberikan lesen.  Terdapat 43 ASP di seluruh negara yang kebanyakannya beroperasi di Lembah Klang dan Pulau Pinang.  Dengan kemajuan teknologi tanpa wayar, peranti capaian jenis baru yang berpatutan harganya telah tersedia untuk capaian Internet.  Peralatan ini termasuklah peranti Aplikasi Protokol Tanpa Wayar (WAP) seperti telefon mudah alih, peranti pegang dan petak kotak.
            Di Malaysia, Internet kini menjadi alat berkomunikasi terpenting untuk bertukar emel, melayari World Wide Wide (WWW), menghantar, mewujud dan membaca mesej-mesej dalam kumpulan perbincangan ataupun papan buletin (BBS), dan yang paling digemari, bersembang di bilik chatting. Namun, di negara-negara maju, nampaknya mereka lebih suka membeli-belah menggunakan teknologi ini.
            Tidak dinafikan juga kebanyakan pengguna internet menggunakan komputer peribadi untuk megakses internet, tetapi kini internet boleh diakses menggunakan televisyen dengan penambahan alatan tertentu tanpa perlu penggunanya memiliki sebuah komputer, dan inilah sebenarnya yang dinamakan teknologi.
            Untuk perkhidmatan yang lebih komersial, internet sebenarnya disediakan oleh beribu Penyedia Khidmat Internet atau Internet Service Provider (ISP) yang menyediakan perkhimatan mengakses internet di seluruh dunia. Ada yang terdiri daripada syarikat telekomunikasi, syarikat suratkhabar dan ada juga perkhimatan yang ditawarkan oleh syarikat tv kabel. Di negara kita ada empat Penyedia Khidmat Internet (ISP), bermula dengan perkhidmatan Jaring yang disediakan oleh MIMOS Berhad, TM Net oleh Telekom, Maxis serta TimeDotCom. 
            Secara asasnya WAP merupakan teknologi yang membolehkan pengguna mencapai aplikasi interaktif seperti melayari Internet dari telefon selular.  Melalui WAP, kandungan yang disedia khusus bagi aplikasi ini akan dapat dilayari walaupun dengan menggunakan input melalui papan kekunci kecil dan monitor terhad di telefon selular. WAP juga dapat memberikan kebolehan lebih dari sekadar perkhidmatan pesanan pendek atau Short Messaging System (SMS) seperti mana yang ditawarkan oleh telefon selular digital sekarang ini.  Jika SMS membenarkan pesanan teks statik sepanjang 160 aksara sahaja, aplikasi WAP pula boleh disediakan dalam bentuk grafik, teks dan bersifat interaktif.
            Protokol Internet (IP) hanya merupakan salah satu dari paras prorokol dalam suatu rangkaian. Dalam bahasa paling mudah, apa-apa sahaja yang dihubungkan dengan IP bermaksud melaksanakan komunikasi melalui Internet.   IP merupakan teknologi yang baik untuk komunikasi data. Sekarang ini banyak syarikat di negara maju, tidak ketinggalan di Malaysia, sedang membina rangkaian IP dengan matlamat untuk menawarkan perkhidmatan suara dan data bersepadu.  IP adalah satu paras prorokol dalam rangkaian.
            Bagaimana komunikasi melalui IP terjadi? Secara teorinya, suara dimampatkan dan dipindahkan dalam bentuk paket menerusi Internet, seperti mana kandungan e-mel dipindahkan.  Paket IP pergi dan kembali dalam Internet, dan membolehkan pengguna bercakap dan mendengar pada masa yang sama. Dengan proses pemampatan suara menjadi paket, syarikat penyedia perkhidmatan IP boleh mengendalikan jauh lebih banyak panggilan VoIP dalam satu masa berbanding dengan panggilan telefon.
            Terkini dalam pasaran ialah perkhidmatan pra-bayar kad Flexicall JARING (www.flexicall.net). Perkhidmatan ini menggunakan teknologi VoIP dengan menggunakan rangkaian tulang belakang optik fiber Internet yang dipunyai oleh JARING.  Para pengguna boleh menggunakan telefon PSTN di rumah dan dari mana-mana pondok telefon awam.  Ia sememangnya murah untuk membuat panggilan jauh, khususnya panggilan ke sebarang laut.

PEMBUATAN
            Pembuatan didefinisikan sebagai sesuatu aktiviti yang dilakukan untuk menghasilkan sesuatu produk daripada bahan mentah dan faktor pengeluaran lain dengan menggunakan proses, mesin dan teknik yang terancang sepenuhnya. Proses dan teknik yang digunakan dalam proses tersbut sentiasa disokong oleh teknologi yang sentiasa berubah dari semasa ke semasa.
            Pembuatan memainkan peranan penting dalam pembangunan sesebuah negara. Malah terdapat anggaran bahawa lebih daripada satu pertiga daripada nilai bagi semua barangan dan perkhidmatan  yang dihasilkan oleh sesebuah negara industri telah disumbangkan oleh aktiviti pembuatan.
            Bagi pendapat saya, kemajuan sesuatu negara tidak juga boleh diukur pada kcanggihan penggunaan teknologi tetapi penilaian perlu dilihat kepada keupayaan untuk mengeluarkan teknologi yang canggih. Dengan sumber semulajadi yang terdapat didalam sesebuah negara kemungkinan untuknya memperolehi kekayaan dan membeli teknologi dari negara lain. Sebagi contoh, negara-negara Asia Barat yang banyak membeli dan menggunakan teknologi dari negara lain tetapi tidak berupaya menggeluarkan teknologi itu sendiri. Kebanyakan belanjawan mereka diberikan kepada membeli teknologi terutama teknologi dalam pertahanan dan senjata. Di negara-negara seperti ini, rakyatnya akan menderita dan sengsara. Mereka seolah-oleh dijadikan eksperimen kepada teknologi dari luar.
            Untuk mengeluarkan teknologi yang canggih adalah memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Sebagai contoh, negara Jepun dan Rusia benyak membelanjakan belanjawan mereka untuk kajian dan penghasilan teknologi. Bagi negara- negara seseprti ini, rakyatnya digalakkan menerokai teknologi . Rakyatnya juga akan mendapat kesan dari penghasilan teknologi tersebut seperti peluang pekerjaan dan keadaan ini akan secara langsung akan meningkatkan taraf hidup mereka.
            Aplikasi IT di dalam sektor ini memainkan peranan penting bagi kesinambungan perniagaan. Menurut Laporan Produktiviti 2011, IT digunakan secara meluas bagi fungsi-fungsi pentadbiran dan majoriti syarikat menggunakan IT secara intensif bagi membantu fungsi-fungsi itu. Semua sektor kecil mencatat pertumbuhan mantap, mencapai lebih 90 peratus dalam penggunaan IT bagi fungsi-fungsi pentadbiran, khususnya dalam perakaunan dan kewangan (99 peratus).

            Selain itu, sebahagian besar industri menggunakan IT dalam bahagian pembayaran gaji, rekod kakitangan, dan proses urusan. Bagaimanapun, masih banyak industri yang tidak menggunakan IT walau sedikitpun dalam aktiviti sokongan atau aktiviti asas mereka. Sementara itu, sektor kecil elektrik dan elektronik menunjukkan peratus tertinggi syarikat yang menggunakan IT dalam aktiviti sokongan dan aktiviti asas.






PENUTUP

Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-9), usaha gigih diambil untuk menyediakan landasan yang lebih kukuh bagi membolehkan negara beralih ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan. Menjurus kepada matlamat ini, tumpuan diberikan kepada usaha menggalakkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai pemacu strategik bagi menyokong dan menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kualiti hidup penduduk. Pelaburan yang besar telah dibuat untuk menyedia infrastruktur komunikasi bagi meningkatkan kebolehcapaian serta menambah baik institusi dan persekitaran kawal selia yang berkaitan. Penekanan yang lebih diberikan kepada usaha meningkatkan tahap penggunaan ICT dalam pelbagai sektor ekonomi, antara kawasan bandar dengan luar bandar serta di kalangan pelbagai lapisan masyarakat
            Sektor pendidikan memainkan peranan yang penting kerana ia merupakan satu wadah perjuangan jangka panjang bagi memastikan negara mempunyai tenaga kerja yang pakar dan terlatih di dalam bidang teknologi maklumat. Ini merupakan sumber ‘capital’ kepada negara  bagi menjana lebih banyak peluang dan seterusnya peluang pekerjaan.
            Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mempersiap masyarakat umum menghadapi cabaran dalam ekonomi berasaskan pengetahuan, penekanan yang lebih diberikan bagi memastikan akses yang lebih menyeluruh kepada perkhidmatan dalam talian dan kemampuan memiliki PC. Kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang digital dengan menyedia, melaksana dan menggalakkan penggunaan perkhidmatan dalam talian ke seluruh negara bagi membolehkan rakyat mendapatkan capaian dan menggunakan pengetahuan berasaskan Internet dan sumber maklumat sebagai sebahagian daripada kehidupan.



No comments:

Post a Comment

Secebis Kenangan

Make your own slideshow with music at Animoto.