Thursday 12 May 2016

Komunikasi dan kesan terhadap penduduk bandar dan luar bandar

          Tiada seseiapa pun di dunia ini dapat menafikan kepentingan komunikasi dalam kehidupan seharian kita. Walau di mana kita sedang berada, kepakaran dan pengetahuan untuk berkomunikasi amat penting bagi menjamin kesefahaman antara satu sama lain. Komunikasi berlaku apabila apa-apa maklumat yang penting dapat dipindahkan daripada diri kita kepada orang sekeliling kita yang menerima maklumat yang ingin disampaikan. Kedua-dua pihak perlu mempunyai kesefahaman agar maklumat tersebut dapat dikongsi bersama. Asas perhubungan interpersonal adalah satu komunikasi untuk menghubungkan antara seseorang individu dengan individu yang memerlukan maklumat tersebut.
           Verdeber & Verdeber (2002) and Hybels & Weaver (2001) mendefinisikan komunikasi adalah proses membentuk dan berkongsi makna, perasaan dan idea dalam ucapan, interaksi kumpulan bertulis atau ucapan awam. Proses biasa melibatkan individu dan interaksi mereka dengan konteks, mesej, saluran, bunyi bising (gangguan) dan maklum balas digunapakai.
            Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, komunikasi dapat ditakrifkan sebagai perhubungan (secara langsung atau dengan perantaraan surat, radio, telefon, dan lain-lain); ~ massa komunikasi atau perhubungan dengan atau yang sampai kepada orang ramai amnya; berkomunikasi berhubungan (secara langsung atau dengan perantaraan surat, radio, telefon, dan lain-lain), mengadakan perhubungan (ber­cakap, berbincang, bertukar-tukar pendapat, dan lain-lain)
            Melalui beberapa definisi ini, kita dapati bahawa komunikasi adalah satu proses apabila seseorang individu yang mempunyai kepentingan menyampaikan maklumat secara verbal atau non verbal yang akan mempengaruhi tingkah laku orang lain.
   
     
Elemen Dalam Komunikasi
1. Penghantar 

            Komunikasi berlaku apabila terdapat dua atau lebih orang yang terlibat dalam proses penyampaian maklumat tersebut. Dalam situasi organisasi, setiap penghantar atau “encoder” akan menyampaikan mesej secara bertulis atau secara lisan. Penghantar mesej juga  perlu mengambil langkah dengan menghantar mesej pada masa yang sesuai dan mendapat perhatian daripada penerima agar mesej tersebut sampai kepada mereka. Kita juga perlu mengetahui gangguan-gangguan sebelum atau semasa mesej disampaikan supaya dapat mengurangkan gangguan tersebut. Penerima mesej tersebut perlu menerima dan faham maksud maklumat yang disampaikan sama ada melalui telinga iaitu mendengar atau secara melihat iaitu membaca kandungan maklumat yang disampaikan. Seterusnya, penerima mesej perlu meneliti dengan baik mesej yang akan diterima. 

2. Mesej ( Maklumat)
 

            Elemen penting dalam komunikasi yang berlaku adalah maklumat yang cuba disampaikan oleh pengirim. Apa-apa maklumat yang disampaikan oleh pengirim perlu mudah difahami agar penerima mengetahui apa yang cuba disampaikan. Maklumat tersebut sama ada melalui pendengaran, penglihatan, sentuhan, bau dan rasa yang dikatakan mempengaruhi penerima. Proses perpindahan maklumat yang disampaikan boleh berbentuk bukan lisan iaitu lebih kepada pandangan mata, mimik muka, gerak geri badan, sentuhan, isyarat atau kelantangan nada suara.  Biasanya maklumat komunikasi secara lisan lebih berkesan sekiranya dilakukan bersama-sama dengan komunikasi bukan lisan.
3.Saluran
            Dalam komunikasi, saluran adalah satu alat untuk menghubungkan penghantar maklumat dan penerima maklumat. Sebagai contoh, dalam situasi komunikasi antara pasangan, saluran yang digunakan lebih kepada bersemuka.  Ini lebih melibatkan penglihatan dan pendengaran. Kedua-dua saluran ini penting dalam sebuah perhubungan agar kedua-dua dapat berkomunikasi dengan berkesan dan saling memahami antara satu sama lain.  Dalam komunikasi bersemuka ini, antara saluran yang boleh digunakan adalah seperti telefon bimbit atau melalui komputer yang sering digunakan pada zaman ini.  Saluran ini lebih cepat dan mudah digunakan tanpa perlu bertulis. 

4.Gangguan
            Gangguan dalam berkomunikasi adalah situasi yang menghalang komunikasi yang sedang berlaku. Gangguan boleh menyebabkan mesej yang sampai tidak jelas dan tidak sampai maksudnya.Gangguan ini disebabkan penghantar mesej tidak bersedia untuk menyampaikan mesej melalui saluran yang jelas. Ini akan menyebabkan penghantar dan penerima mesej tidak dapat mengenal pasti sama ada mesej yang disampaikan kepada penerima memenuhi maklumat yang disampaikan oleh penghantar. Dalam mentafsir mesej, penerima dikatakan akan mentafsir mesej tersebut secara tidak tepat dengan menggunakan komunikasi tidak lisan.  Penghantar  menggunakan enkod yang tidak tepat dan menyebabkan penerima dekod mesej tersebut secara tidak tepat. Seterusnya akan menimbulkan prasangka terhadap mesej yang disampaikan yang menyebabkan maklumat tersebut tidak tepat. Apabila mesej tersebut tidak tepat,ia boleh menyebabkan maklum balas yang tidak berkesan daripada penerima. Ini akan menyebabkan komunikasi tidak berlaku dengan berkesan. 
            Terdapat empat jenis gangguan dalam komunikasi sama ada  secara fizikal iaitu bunyi bising, atau psikologi iaitu berkenaan pendengaran dan penglihatan yang kurang, anggapan pertama iaitu prasangka mengenai mesej yang disalurkan dan gangguan semantik iaitu tiada kefahaman dalam mesej yang disalurkan oleh penghantar. 

5.Konteks
            Setiap mesej yang disampaikan oleh penghantar melalui saluran yang betul akan dipengaruhi oleh kandungan tetap mesej tersebut. Kandungan setiap mesej yang disampaikan ini boleh berbentuk keadaan yang kita tidak sangka kerana kandungan mesej akan mempengaruhi tingkahlaku pengantara mesej atau penerima mesej yang disalurkan. Kandungan mesej yang disalurkan boleh berlaku secara formal mahupun secara tidak formal.
            Kita perlulah bijak dalam menghantar mesej yang disalurkan dan mengirim kandungan mesej tersebut agar komunikasi berkesan berlaku. Terdapat pula empat dimensi dalam kandungan mesej iaitu fizikal, pemilihan masa kandungan disampaikan, secara psikologi iaitu hubungan kedua-dua pihak dan budaya.

6.Maklumbalas
            Dalam membincangkan tindak balas komunikasi pula, seseorang penerima perlu memahami dan menerima mesej yang disalurkan. Terdapat dua bentuk saluran yang digunakan iaitu secara lisan atau bukan lisan. Komunikasi akan membentuk dua jenis maklum balas iaitu secara positif atau negatif. Maklumbalas secara positif akan memudahkan komunikasi dapat diterima bagi memudahkan penghantar dan penerima mesej tersebut manakala maklumbalas secara negative akan menggagalkn komunikasi berkesan.
             Kedua-dua maklumbalas positif dan negatif ini boleh berlaku secara maklumbalas internal iaitu dengan melihat kepada diri sendiri sebagai akibat dari mesej yang disampaikan. Maklumbalas external pula melibatkan pihak lain yang perlu diambilkira bagi mentafsir maklumbalas tersebut adalah positif atau negatif. Apabila maklumbalas secara negatif berlaku, komunikasi tersebut perlulah diperbaiki. Mimik muka berserta senyuman dari penghantar  akan menyebabkan satu maklumbalas daripada penerima yang kandungan maklumat yang disalurkan adalah perkara yang positif. 

7.Kesan
            Setiap kandungan dalam mesej yang disalurkan oleh penghantar kepada penerima mesej yang berlaku akan menyebabkan kesan kepada komunikasi tersebut. Kita akan melihat kesan tersebut melalui emosi seseorang, secara fizikal atau kognitif iaitu kebolehan seseorang untuk berfikir. Dalam komunikasi, mesej tersebut akan memberi kesan dalam emosi, fizikal dan cara kognitif penerima mesej itu dan juga boleh menjadi positif atau negatif.

Fungsi komunikasi di alaf baru
            Pada era langit terbuka di mana maklumat yang begitu pantas tersebar ke seluruh pelosok dunia, tentunya juga memberi penekanan khusus kepada kaedah berkomunikasi di Malaysia amnya. Begitu juga apabila kempen  ''sebuah komputer di sebuah rumah'' menjadi kenyataan, TV atau radio bukan lagi menjadi menu yang menentukan arus pemikiran manusia. Ini kerana manusia amnya telah menerima media baru yang boleh mengambil alih pengaruh TV menerusi bidang multimedia dan teknplogi komunikasi.
            Sebelum perbahasan tentang fungsi komunikasi diperhalusi, ingin diperjelaskan tentang fungsi komunikasi menurut beberapa pakar yang ada. Ramai sarjana yang mengemukakan pendapat tentang fungsi dan di antaranya adalah seperti:
Thomas M. Scheidel
Kita berkomunikasi terutama untuk menyatakan dan mendukung identiti diri, untuk membangun hubungan sosial dengan orang di sekitar kita, dan untuk mempengaruhi orang lain untuk merasa, berpikir, atau berkelakuan seperti yang kita inginkan
Gordon I. Zimmerman et al
Tujuan komunikasi boleh di bahagi menjadi dua kategori. Pertama, kita berkomunikasi untuk menyelesaikan tugas-tugas yang penting bagi keperluan kita seperti  memberi nafkah  , memuaskan kehendak kita dan keluarga, dan menikmati hidup. Kedua, kita berkomunikasi untuk menciptakan dan memupuk hubungan dengan orang lain
Judy C. Pearson dan Paul E. Nelson
            Komunikasi mempunyai dua fungsi umum. Pertama, untuk kelangsungan hidup diri sendiri yang meliputi: keselamatan fizikal, meningkatkan kepercayaan diri, menampilkan diri kita sendiri kepada orang lain dan mencapai impian peribadi. Kedua, untuk kelangsungan hidup bermasyarakat, atau lebih tepat untuk memperbaiki hubungan sosial dan mengembangkan kewujudan dalam suatu masyarakat.
            Dalam tempoh beberapa dekad terdapat satu revolusi dalam pengkomputeran dan komunikasi, dan ini adalah petanda bahawa perkembangan teknologi dan penggunaan teknologi maklumat akan terus berkembang dengan pesat. Dengan peningkatan drastik dalam penggunaan teknologi maklumat, ia telah menurunkan kos komunikasi disebabkan oleh penambahbaikan teknologi dan peningkatan persaingan.
            Setiap manusia memerlukan maklumat yang mencukupi dalam menempuh perjalanan seharian.Lebih-lebih lagi ketika kita sedang membuat keputusan penting. Tanpa maklumat yang mencukupi,adalah sukar untuk sesuatu keputusan dan ia akan mengambil masa. Pada alaf baru ini, mencari maklumat bukanlah sesukar seperti masa dahulu. Pelbagai gajet dan sumber yang boleh diakses dalam memperolehi sesuatu maklumat. Seperti contoh jika kita ingin membeli tiket kapal terbang untuk ke sesuatu destinasi, satu ketika dahulu, kita hanya bergantung kepada  agensi pelancongan tetapi kini, hanya dengan telefon pintar yang disambungkan ke internet, bukan sahaja tiket dapat dibeli, malahan kita boleh mengetahui pelbagai maklumat tentang tempat yang ingin dilawati dan membuat perbandingan harga antara sesuatu agensi dengan agensi yang lain. Perkara ini amat sukar dilakukan sedikit masa dahulu.
            Proses pembelajaran juga menjadi lebih mudah dan pastinya lebih menarik.Pelbagai program yang dirangka, sesuai dengan perkembangan teknologi zaman ini. Siaran interaktif dan teknologi satelit memungkinkan penembusan teknologi yang ketara terutama kepada pelajar di bahagian pedalaman. Sesuatu maklumat juga dapat dihantar atau diproses dengan kadar yang amat cepat dan ia boleh dikongsi dengan ramai orang didunia ini. Jika terdapat sesuatu penemuan atau ujikaji yang berjaya di mana-mana ceruk di dunia ini, dengan cepatnya ia tersebar dan dikongsi oleh semua. Bukankah ini sesuatu yang baik dan tidak mustahil, tidak lama lagi, tahap pencapaian pelajar di pedalaman adalah setanding dengan pelajar di bandar hasil dari penambahbaikan teknologi penyaluran maklumat dan ilmu pengetahuan.
            Komunikasi memainkan peranan yang penting di dalam proses memujuk. Fungsi memujuk bertindak bagi mengubah pandangan, kelakuan dan sikap seseorang agar selari dengan kehendak kita. Walaupun ia bermaksud memujuk, tetapi ia tidak bermakna perkara ini dapat dilaksanakan hanya dengan proses komunikasi sahaja malahan ia juga bergantung kepada beberapa factor yang lain, tetapi komunikasi memainkan peranan utama. Lihat sahaja iklan-iklan yang dimainkan di tv, radio, media sosial atau papan tanda di jalanan. Proses memujuk sedang berlaku agar kita membeli produk yang diniagakan dan lihatlah hasilnya. Semakin banyak yang dilaburkan untuk pengiklanan, kebiasaannya hasil jualan juga semakin meningkat.  
            Pada zaman ini, proses memujuk amat senang dilaksanakan. Penggunaan media sosial hampir menembusi setiap lapisan masyarakat dan proses memujuk ini dapat dilaksanakan hanya dengan duduk di rumah sahaja. Dengan mengiklankan contoh gambar kek yang sedap dan menarik di grup-grup ‘Facebook’, penjualan kek tersebut dapat dilaksankaan dengan amat mudah sekali, tanpa perlu membuka kedai dan mengharap orang datang untuk membelinya. Malahan kos modalnya tidak seberapa kerana Facebook tidak mengenakan apa-apa caj perkhidmatan bagi mengiklankan perniagaan, berbanding modal yang lebih besar untuk membeli atau menyewa sebuah lot kedai.
             Salah satu fungsi yang paling ketara kini  dengan perkembangan teknologi maklumat adalah merancakkan aktiviti perdagangan melalui Internet iaitu kaedah baru untuk menjalankan aktiviti perniagaan. Walaupun hanya beberapa tahun,  ia telah merubah secara radikal aktiviti ekonomi dan persekitaran sosial. Malahan, ia memberi kesan kepada pelbagai sektor besar seperti komunikasi, kewangan dan perdagangan runcit dan kemungkinan besar akan merebak  kepada sektor lain seperti pendidikan dan juga kesihatan. Ia akan menguasai dan merubah lanskap  seluruh dunia perniagaan dan sosial yang menjalankan aktiviti secara elektronik.
            Fungsi komunikasi pada alaf baru ini juga telah bertambah iaitu ia telah mengurangkan kepentingan jarak. Di dalam pelbagai industri, kedudukan geografi bukan lagi memainkan peranan utama dalam menetukan lokasi perniagaan yang akan dibina. Sebagai contoh, sebuah syarikat kejuruteraan perisian komputer boleh mengatasi kekurangan jurutera perisian tempatan dengan menghantar projek tersebut ke India atau mana-mana negara lain yang mempunyai kualiti hasil sama dengan kos upah yang jauh lebih murah. Selain dari itu, firma tersebut dapat mengambil kesempatan perbezaan masa sesebuah tempat supaya projek kritikal boleh dilaksanakan hampir 24 jam sehari dan 7 hari seminggu.
            Boleh dikatakan, fungsi komunikasi kini telah berubah dan akan terus berubah mengikut keadaan semasa. Fungsinya akan menjadi semakin penting dan lihat sahaja di dalam bidang hiburan. Jika dahulu, sesuatu persembahan atau program hiburan, kita perlu menunggu pada masa-masa tertentu sahaja kerana siaran tv yang terhad pada waktu itu. Kini tidak lagi, dengan siaran tv satelit yang berputar 24 jam, internet dengan kelajuan yang tinggi dan gajet-gajet canggih yang memberikan hiburan tanpa henti kepada manusia. Kanak-kanak juga tidak ketinggalan dengan rancangan pendidikan yang sangat interaktif dan disatukan dengan hiburan semasa atau lebih dikenali sebagai ‘edutainment’.

Implikasi teknologi kepada penduduk bandar

            Berjabat tangan dengan erat, melibatkan diri dalam perbualan dan beramah mesra dengan pelanggan, prospek atau rakan taulan boleh memainkan peranan penting dalam membentuk hubungan perniagaan yang lebih teguh, persahabatan yang lebih bermakna dan ia menguntungkan semua pihak.
            Kelihatannya kita semua hidup dan bernafas menggunakan media sosial. Jika diambil kesemua kemudahan ini selama dua hari ataupun cukup dengan sehari, ada kemungkinan yang kita akan mengalami suatu gejala yang serius. Kini jika kita dijalanan dan meminta maklumat untuk berhubung dengannya, kemungkinan besar yang ia akan respon dengan pertanyaan adakah anda mempunyai ‘facebook’ atau ‘tweeter’ ataupun lain-lain media sosial yang langsung kita tidak pernah dengar sebelum ini. Jika ini betul, benarlah bahawa teknologi komunikasi sedang berevolusi disaat ini.
            Perubahan ini masih boleh diterima tetapi kita perlu bertanya semula, di dalam dunia berteknologi ini, adakah kita sedang kehilangan pesona suara manusia dan sentuhan yang hangat?  Media sosial membunuh seni berkomunikasi secara peribadi, dan ia menjangkiti aktiviti harian kita sedikit demi sedikit.(© Utusan Melayu (M) Bhd) 
            Kaedah bersemuka merupakan asas di dalam komunikasi sesama manusia, dan apabila sesuatu ikatan terjadi, ia membolehkan terbinanya keyakinan, kepercayaan, penyaluran idea atau maklumat dengan lebih tepat dan meminimumkan kesalahan terjadi. Walau bagaimanapun, bagi kebanyakan kita, komunikasi secara bersemuka terutama kepada penduduk di bandar menjadi satu seni yang hampir mati, ia digantikan dengan sms, e mel dan media sosial. Komunikasi dan perhubungan antara manusia kini adalah mengikut acuan teknologi semasa.
            Adakah teknologi membantu atau menghalang keupayaan kita dalam penyampaian mesej dan maklumat? Mungkin ya dan mungkin tidak, tetapi jawapan yang lebih sesuai adalah ia telah mengubah kaedah tradisional dan merevolusikan kaedah berkomunikasi antara kita. Di arena komunikasi, terutamanya perhubungan awam, media, pengiklanan dan pemasaran, kita perlu peka kepada perkembangan teknologi komunikasi agar kita tidak ketinggalan jauh dibelakang.
            Pada sisi lain, komunikasi bersemuka mempunyai pelbagai kelebihan berbanding kaedah lain berkomunikasi. Sebagai contoh, kita akan lebih mampu untuk mengawal keadaan apabila berkomunikasi secara bersemuka. Kita dapat menyampaikan point satu persatu dan memastikannya ia difahami dengan jelas sebelum pergi ke poin yang berikutnya. Ia juga membantu untuk membina hubungan yang lebih erat disamping dapat mengenali dengan lebih rapat. Hubungan perasaan ini tidak mungkin akan didapati jika menggunakan media sosial sebagai pengganti.
            Lebih penting lagi, komunikasi secara bersemuka  membina kepercayaan. Setiap perniagaan atau hubungan dibina berdasarkan hubungan dan kepercayaan. Melalui kaedah penulisan, kita tidak dapat menangkap maksud sebenar kerana ketiadaan intonasi suara atau lenggok tubuh penyampai. Satu kesalahan pada tanda bacaan seperti noktah atau koma, dengan mudah ia telah mengubah keseluruhan ayat. Interaksi secara atas talian juga boleh dimanipulasikan melalui andangan orang lain terhadap kita. Setiap ayat yang ditulis, boleh mencerminkan diri kita dan ianya dinilai oleh pembaca. Realitinya ia tidak begitu ia berlainan dari yang dimaksudkan.


Strategi efektif meningkatkan kemahiran komunikasi di kawasan luar bandar

            Kemahiran berkomunikasi merupakan kemahiran yang amat penting dalam era kini. Perbezaan yang ketara dalam kemahiran berkomunikasi diantara penduduk bandar dan luar bandar amat jelas. Pendedahan kepada teknologi dan perhubungan intrapersonal dengan pelbagai lapiasan masyarakat yang luas di bandar menyebakan kemahiran ini bertambah dan semakin jitu. Manakala di luar bandar pula, pendedahan teknologi yang kurang dan perhubungan intrapersonal di dalam kelompok kecil menyebabkan kekurangan ini semakin menurun. (http://www.selfgrowth.com/articles/guidelines-for-rural)
            Menurut Boeke, (1953) masyarakat dibahagikan kepada dua iaitu masyarakat tradisional dan masyarakat moden. Masyarakat tradisional merujuk kepada luar bandar, mundur dan tidak membangun. Manakala mayarakat moden adalah masyarakat bandar, membangun dan industri. Kedua-dua golongan masyarakat ini mempunyai ciri-ciri yang tertentu. Pembangunan berlaku akibat jelmaan ciri-ciri suatu golongan kepada golongan yang lebih maju. Pendekatan ini mengandaikan bahawa keterbelakangan ekonomi, sistem pengeluaran, ragam tingkah laku adalah halangan kepada perkembangan ekonomi dan menimbulkan sikap konservatif terhadap perubahan, pemodenan dan pertumbuhan ekonomi (Rahimah Aziz 1989: 197).
            Strategi untuk memperbaiki kemahiran berkomunikasi adalah cabaran besar kerana kemahiran ini perlu disekalikan dengan pembangunan yang lain seperti pemodenan prasarana, menaikkan ekonomi setempat dan juga pembangunan sosial masyarakat. Bagi penduduk di luar bandar, ia perlu dilaksanakan oleh dua pihak yang terbabit iaitu kerajaan selaku pelaksana dan penduduk itu sendiri sebagai penerima.
            Modenisasi yang berlaku di dalam masyarakat luar bandar terjadi apabila penduduk luar bandar mula bersikap liberal dan tidak lagi ketat dan bebas bergerak. Contohnya dari luar bandar ke bandar, melibatkan diri dalam perdagangan dan mempunyai pekerja tetap. Modenisasi turut berlaku dalam diri individu masing-masing apabila seseorang individu boleh berfikir secara bebas, melalui pendidikan, celik huruf, terdedah kepada media massa dan boleh membuat pilihan sendiri. Melalui teori ini, masyarakat luar bandar perlu berubah dari tahap sedia ada ke tahap yang mampu merubah kehidupan mereka ke arah yang lebih membangun (Pengantar Pembangunan Dunia Ketiga, 2005 : 38,45).

Pelaksana
            Di pihak kerajaan, pemberian bajet bagi tujuan pembangunan seperti komunikasi dan lain-lain pembangunan di luar bandar adalah sangat besar. Jika dilihat semasa sesi pembentangan bajet, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah mendapat peruntukan yang amat besar berbanding kementerian yang lain. Ini menunjukkan hasrat kerajaan dalam merapatkan jurang perbezaan diantara bandar dan luar bandar amat jelas.
            Program pendidikan harus dibuat dengan lebih pesat. Setiap perubahan jangka panjang hanya boleh diatasi dengan memberikan ilmu yang mencukupi dan berkualiti. Mereka akan berilmu dan menurunkan ilmu itu kepada waris mereka pula, dan disebabkan itu, proses pendedahan kepada pelajar amatlah penting sekali. Masalah utama di sekolah-sekolah luar bandar disebabkan wujudnya kelemahan dan ketidakefisyenan. Jarak yang jauh antara pelajar dan sekolah juga memainkan peranan. Mereka perlu bangun lebih awal untuk mengejar bas atau duduk di asrama sejak kecil berjauhan dari ibubapa hanya untuk mendapatkatkan ilmu pengetahuan. Berbanding pelajar di bandar yang mempunyai segala-galanya, sekolah yang dekat, pengangkutan yang teratur dan kemudahan lain yang senang untuk diakses.
            Disamping proses pembelajaran, kemudahan perhubungan iaitu jalanraya dan pengangkutan juga memainkan peranan. Bagi membolehkan mereka berubah adalah dengan mendekati atau mereka sendiri mendatangi kemudahan yang ada di bandar. Mereka harus senang untuk keluar dari kelompok luarbandar dan bercampur dengan masyarakat di bandar. Apabila kemudahan perhubungan juga semakin baik, masyarakat di bandar juga senang untuk pergi kepada mereka dan secara tidak langsung akan membantu menaikkan ekonomi setempat melalui sektor pelancongan atau pelaburan perniagaan.
            Program pembangunan bandar pelancongan di luar bandar hendaklah melibatkan pelbagai faktor termasuk sistem komunikasi, institusi kebudayaan dan pendidikan serta sokongan padu di peringkat kerajaan tempatan, nasional dan antarabangsa. Selain itu, faktor pengetahuan dan pengalaman penduduk tempatan sebagai sumber maklumat tentang kepercayaan, budaya dan kesenian juga amat penting. Misalnya, penduduk di jajahan Hindu Kush-Himalayan menjadi sumber atau 'bank-pengetahuan' pelancong tentang adat resam dan kesenian penduduk tempatan yang beragama Hindu di kawasan pergunungan Himalaya.
            Di Malaysia, bandar pelancongan di luar bandar boleh juga memainkan peranan penting dalam pembangunan sosio-ekonomi negara. Keindahan semulajadi yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T juga telah membolehkan Malaysia menjadi tarikan pelancong domestik dan luar negara. Keindahan ini meliputi keunikan flora dan fauna terutama sekali di kawasan-kawasan luar bandar. Dalam setiap negeri di Malaysia terdapat banyak kawasan-kawasan pelancongan luar bandar yang sentiasa menjadi tarikan pelancong.
            Wawasan ke arah menjadikan Malaysia negara maju pada tahun 2020 boleh memanfaatkan konsep bandar pelancongan di luar bandar. Bandar pelancongan di luar bandar tidak memerlukan infrastruktur bandarnya pesat seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Bandar pelancongan luar bandar boleh diwujudkan dengan memanfaatkan sumber semula jadi yang ditadbir secara berkesan. Kriteria-kriteria ini dikira dalam pembangunan bandar pelancongan di luar bandar. Beberapa kawasan pelancongan di Langkawi boleh dijadikan model bagi membangun bandar pelancongan di luar bandar di negara ini.

Penerima
            Pembangunan kemahiran komunikasi harus menjadi satu proses yang berterusan. Ia memerlukan kerja keras, ketekunan dan keazaman. Penduduk dengan kemahiran komunikasi yang baik biasanya  cemerlang dalam kerjaya mereka dan boleh mempengaruhi orang lain. Seiring dengan dasar kerajaan untuk merapatkan jurang perbedaan antara luar bandar dan bandar, penduduk harus mengambil peluang yang disediakan untuk berubah.
            Penduduk merupakan modal insan kepada negara, mereka perlu mempunyai jati diri dan kemampuan menghadapi cabaran semasa. Cabaran kini semakin memerlukan tahap pemikiran yang tinggi bagi mengharungi cabaran ini maka belia perlu bersedia. Bagi meningkatkannya ialah dalam ilmu pengetahuan teknogi maklumat amat penting kini. Perdana menteri kita mahu melahirkan modal insan kelas pertama bagi menerajui negara bagi masa hadapan. Mengikut model ini, lima elemen terpenting dalam melahirkan modal insan kelas pertama ialah pembangunan modal insan secara holistik, pembudayaan sikap progresif, kemantapan ilmu pengetahuan, kemahiran, modal intelektual dan nilai akhlak yang tinggi. Malaysia ingin melahirkan insan yang berkualiti, berpengetahuan, kreatif dan sebagainya yang dilahirkan mengikut acuan atau cara Malaysia sendiri.
            Proses memperbaiki kemahiran komunikasi ini akan mengambil masa dan tenaga yang banyak, tetapi ia akan terus berlangsung dan diharapkan satu masa nanti ia akan merapat sendiri jurang yang sedia ada. Strategi yang berkesan merupakan strategi yang merangkumi banyak perkara tentang pembangunan. Tidak guna jika hanya membangunkan kemahiran komunikasi, tetapi ketinggalan dalam segi ekonomi atau runtuhnya nilai sosial di pedalaman. Ia harus bergerak seiring demi mencapai matlamat negara maju tidak lama lagi.

Kesimpulan
            Kesimpulannya, pembangunan luar Bandar perlu dipergiatkan bagi meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup penduduk luar bandar. Bagi menigkatkan pendapatan dan kualiti hidup ini, masyarakat luar bandar perlulah membangun dari segenap bidang yang diceburi. Contohnya dalam bidang pendidikan, mereka perlulah setanding dengan masyarakat bandar supaya jurang ketidaksamaan dapat dikurangkan. Transformasi dalam pembangunan luar bandar diperlukan untuk menjadikan kawasan luar bandar yang menarik, maju dan menguntungkan melalui penduduk yang dinamis dan kreatif. Nilai ini amat bertepatan dengan pembangunan dalam sektor pelancongan di kawasan luar bandar. Pembangunan sektor pelancongan di luar bandar ini akan memberikan banyak faedah kepada masyarakan itu sendiri. Masyarakat luar bandar juga haruslah memiliki kualiti yang kompetitif setanding dengan masyarakat bandar terutama dari segi penguasaan ilmu pengetahuan, perancangan strategik, kebolehan penyelesaian masalah dan keyakinan untuk berjaya.
            Pembangunan luar bandar ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pencapaian pembangunan fizikal yang menyeluruh, menuju ke arah negara maju tahun 2020. bagi mencapai hasrat besar ini penduduk desa mesti berubah sikap dari mentaliti subsidi kepada individu yang mempunyai daya saing dan daya maju tanpa menunggu bantuan dari kerajaan.
Pembangunan kemudahan komunikasi juga sedang dilaksanakan di seluruh negara. Kampung wifi, pusat internet desa, RTC (rural transformation centre) dan pelbagai inisiatif lain telah diambil bagi merapatkan lagi jurang telekomunikasi di luar bandar.

            Semua pihak harus bersedia dan bergerak seiring dengan hasrat kerajaan dan semoga Malaysia terus maju dan makmur.

No comments:

Post a Comment

Secebis Kenangan

Make your own slideshow with music at Animoto.