Wednesday, 9 December 2015

Akta Kontrak 1950 dan menjawap persoalan perlanggaran kontrak

Contoh situasi dan keadaan.

Pada 15 Oktober 2014, Nana membaca sebuah surat khabar tempatan bersama-sama dengan rakan sepejabatnya, Haikal. Mereka melihat ruangan iklan dan tiba-tiba terbaca satu iklan seperti berikut:

“Cepat! Cepat! Sebuah motosikal Kriss dengan harga hanya RM1,500.00 Dapatkan segera sementara stok masih ada”. Semboyan Trading Sdn Bhd, Selayang.

Pada keesokan harinya, Nana terus pergi ke Semboyan Trading Sdn Bhd di Selayang untuk membeli motosikal Kriss yang dimaksudkan. Jurujual di Semboyan Trading Sdn Bhd menyatakan harga bagi sebuah motosikal Kriss ialah RM2,900.00. Nana terus pulang ke pejabatnya, dengan kesal dan marah kerana terasa telah ditipu oleh Semboyan Trading Sdn Bhd. Lagipun, Nana dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan sebuah motosikal. Nana menceritakan perkara tersebut kepada Haikal dan mengatakan bahawa Semboyan Trading Sdn Bhd telah memungkiri kontrak.

Haikal yang mengetahui perkara tersebut terus menghubungi adiknya, Ira dan menceritakan perkara yang terjadi kepada Nana. Ira yang mempunyai kedai menjual motosikal di Pahang menawarkan kepada Nana untuk menjual motosikal Kriss dengan harga RM1,500.00. Ira menawarkan harga tersebut dengan syarat ianya perlu dibayar secara tunai dan Nana perlu menerima tawaran tersebut dalam masa dua minggu dari tarikh tawaran. Penerimaan Nana hendaklah dibuat secara bertulis dan di pos kepada Ira di alamat kedai beliau di Pahang.

Setelah berbincang dengan suaminya, Nana telah membuat keputusan untuk membeli  motosikal daripada Ira. Beliau telah menulis sepucuk surat kepada Ira dan mengeposkannya pada  25 Oktober 2014.

Oleh sebab pada masa itu merupakan musim perayaan, Ira telah menerima surat tersebut pada 5 November 2014. Pada 8 November 2014, Nana telah menerima sepucuk surat bertarikh 2 November 2014 daripada Ira yang menyatakan hasratnya untuk membatalkan tawaran berkenaan.

Nana dengan rasa terkejut lalu terus ke kedai Ira di Pahang. Apabila Nana ingin membayar RM1,500.00 kepada Ira bagi mendapatkan motosikal Krissnya, Ira menyatakan bahawa Nana tidak mengikut syarat-syarat yang ditetapkan dan tawarannya juga telah dibatalkan. 






PENGENALAN

            Undang –undang kontrak di Malaysia ditadbir oleh Akta Kontrak 1950 (AK 1950). AK 1950 mengandungi peruntukan mengenai pembentukan kontrak, pelaksanaannya dan peruntukan berkaitan dengan agensi, walau bagaimanapun ia tidak merangkumi segala aspek undang-undang kontrak. Oleh yang demikian, rujukan kepada undang-undang Inggeris dibenarkan apabila wujud kekurangan di dalam AK 1950 melalui peruntukan Seksyen 3 dan 5 Akta Undang-undang Sivil 1956.
            Kebanyakkan undang-undang di Malaysia termasuk undang-undang kontrak adalah dipengaruhi oleh common-law Inggeris. Ini tidak dapat dielakkan kerana pengaruh Inggeris yang wujud semasa tempoh penjajahan mereka di Tanah Melayu dan Borneo sebelum kemerdekaan Tanah Melayu dan terbinanya Malaysia. Kebanyakkan undang-undang Inggeris adalah dibawa bagi tujuan komersial atau perdagangan bagi memudahkan saudagar-saudagar British yang berdagang di sini. Antara yang terawal dibawa masuk dan digunakan adalah undang-undang kontrak mereka.
            Meskipun Malaysia kini mempunyai perundangan kontraknya sendiri iaitu Akta Kontrak 1950, namun secara asasnya prinsip undang-undang Inggeris yang digunakan. Namun begitu ia telah diubahsuai atau dimodifikasi agar sesuai dengan keadaan tempatan. Akta Kontrak ini adalah berasaskan Akta Kontrak India 1872 yang juga merupakan satu kodifikasi dari ‘common-law’ Inggeris. Akta 136 adalah satu perundangan terpenting bagi hal-hal komersial di Malaysia. Walaupun begitu, Akta Kontrak 1950 bukanlah suatu akta yang lengkap dan menyeluruh bagi mengawal selia semua elemen-elemen dalam undang-undang kontrak. Oleh sebab itulah rujukan pada common-law Inggeris adalah diperlukan. Jika terdapat percanggahan antara Akta Kontrak 1950 dengan ‘common law, maka peruntukan pada Akta Kontrak akan mengatasi ‘common law’ (Song Bok Yoong v Ho Kim Poui[1968] 1 MLJ 56.
                Selain daripada  Akta Kontrak 1950, mahkamah juga akan merujuk kepadaa keputusan-keputusan kes sebelum ini atau ‘judicial precedent’. Namun, penggunaan ‘case law’ ini adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan dalam Seksyen 5 Akta Undang-Undang Sivil 1956.
Definisi Kontrak
            Merujuk kepada seksyen 2(h) AK 1950 maksud kontrak ialah perjanjian yang boleh dikuatkuasakan oleh undang-undang.  Ia adalah perjanjian yang akan mengikat pihak-pihak yang berkontrak.  Jika ada pihak yang tidak menepati perjanjian ini, maka pihak lain boleh dan berhak mengambil tindakan melalui undang-undang.
            Bukan semua perjanjian merupakan kontrak, tetapi semua kontrak adalah perjanjian. Perjanjian akan menjadi kontrak sekiranya ia memenuhi elemen-elemen kontrak yang ditetapkan. Jika di dalam mana-mana perjanjian terdapat sesuatu yang tidak mematuhi atau bertentangan dengan mana-mana elemen tersebut, perjanjian itu bukanlah kontrak dan tidak boleh dikuatkuasakan.
Pembentukan Kontrak
            Sesuatu kontrak terbentuk samada secara mudah atau kompleks. Pembentukan kontrak mudah tidak melibatkan formaliti tertentu. Contoh kontrak mudah ialah kontrak yang dibuat secara lisan atau tersirat daripada perlakuan pihak-pihak yang berkontrak.
            Bentuk kontrak yang bersifat kompleks pula ialah kontrak yang dibuat dengan teliti dan secara bertulis. Contoh yang jelas ialah kontrak jual beli rumah yang dimasuki oleh pembeli dan pemaju perumahan di mana dokumen-dokumen tertentu diperlukan. Sebagaimana di dalam common-law, undang-undang kontrak di Malaysia turut menggariskan keperluan yang perlu wujud dalam sesuatu kontrak. Prinsip asas dalam undang- undang kontrak adalah bagi memastikan satu kontrak itu wujud, maka perlu wujud perjanjian yang sah dan boleh dikuatkuasakan oleh undang-undang terlebih dahulu.
            Untuk sesuatu kontrak itu menjadi sah dan boleh dikuatkuasakan undang-undang, elemen-elemen tertentu perlu dipenuhi. Elemen-elemen tersebut adalah:-
·         Tawaran 
Ia merupakan janji yang dibuat oleh pembuat tawaran kepada penerima tawaran dengan niat bahawa tawaran itu akan mewujudkan hubungan yang mengikat di sisi undang- undang apabila janji itu diterima oleh penerima tawaran. Elemen elemen tawaran mestilah jelas, lengkap dan muktamad serta mengandungi terma yang jelas dan nyata kepada siapa ia ditujukan
·         Penerimaan 
Sesuatu perjanjian penerimaan mestilah dibuat semasa tawaran masih terbuka. Ia merupakan elemen penting kerana sebaik sahaja ada penerimaan, maka kontrak akan wujud. Penerimaan merupakan pernyataan persetujuan kepada syarat syarat yang terkandung dlm kontrak.
·         Niat 
Perjanjian antara dua pihak tidak semestinya kontrak sah kerana undang- undang berkehendakkan bukti yang menunjukkan bahawa wujudnya niat untuk mengadakan hubungan yang mengikat di sisi undang-undang.


·         Balasan 
Merupakan suatu harga yang dibayar oleh satu pihak untuk beli janji atau perbuatan pihak yang lain. Sesuatu balasan mesti mempunyai unsur timbul balik, iaitu pihak-pihak pembuat janji mempunyai balasan masing-masing. Balasan tidak semestinya datang daripada penerima janji dan sesuatu balasan tidak semestinya berpadanan. Balasan yang diberikan oleh penerima janji tidak semestinya berharga dan mempunyai nilai yang berpadanan dengan sesuatu yang diberikan oleh pembuat janji.
·         Kepastian
Kontrak yang sah mesti mempunyai peruntukan nyata dan tidak samar.
·         Keupayaan
Ia merupakan keupayaan seseorang untuk layak membuat kontrak dan syarat nyatanya adalah ia mestilah dewasa iaitu di atas umur 18 tahun, mempunyai akal yang sempurna dan tiada halangan  atau tidak hilang kelayakan dalam membuat kontrak (muflis).

Ketiadaan elemen-elemen ini akan mengakibatkan sesuatu kontrak itu tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan. Oleh itu, elemen-elemen ini hendaklah dipenuhi terlebih dahulu sebelum sesuatu kontrak itu dapat dikuatkuasakan.






Nana Vs Semboyan Trading Sdn Bhd.      
Bagi melihat samada sesuatu kontrak itu adalah sahih atau tidak, proses pembentukan perjanjian hendaklah dilihat oleh kedua-dua pihak yang membuat perjanjian agar sebarang tindakan boleh dikuatkuasakan dengan proses tindakan undang-undang. Kefahaman tentang maksud kontrak yang sah perlulah difahami secara mendalam dan secara dasarnya kontrak boleh ditakrifkan sebagai 'perjanjian yang sah dan boleh dikuatkuasakan oleh undang-undang' sepertimana telah diperuntukkan dalam Seksyen 2 Akta Kontrak 1950 (disemak 1974). Berdasarkan kepada pengertian tersebut dapat difahami bahawa kesahihan sesuatu perjanjian itu penting untuk mengiktiraf perjanjian itu sebagai kontrak.
Tawaran dan Penerimaan
            Antara proses pembentukan perjanjian yang boleh dilihat adalah dengan melihat samada elemen-elemen kontrak telah dapat dipenuhi atau tidak dalam sesebuah kontrak. Antara elemen-elemen tersebut adalah terdapatnya tawaran dan penerimaan dalam sesebuah kontrak. Ini adalah kerana pendekatan umum yang akan digunakan oleh mahkamah dalam menentukan sama ada wujud atau tidak perjanjian antara kedua-dua pihak ialah dengan melihat samada, ada tawaran yang pasti dibuat oleh satu pihak yang diterima oleh pihak yang lain sebagimana contoh keputusan telah dinyatakan oleh Yang Arif Hakim Gopal Sri Ram dalam kes Elehardt Marine GMBH lwn Syerif Mahkamah Tinggi Malaya & Yang lain-lain [2001]3 CLJ 864.
Tawaran boleh didefinisikan dengan merujuk kepada Seksyen 2(a) Akta Kontrak 1950 di mana telah memperuntukkan bahawa:-
"apabila seseorang menyatakan kesediaannya kepada orang lain untuk melakukan atau menahan diri daripada melakukan sesuatu, dengan maksud memperolehi persetujuan orang itu untuk berbuat sesuatu atau menahan diri daripada berbuat sesuatu, maka bolehlah dikatakan bahawa orang itu membuat cadangan".
            Jika mengikut pandangan buku ‘Contract of Law’ (Visu Sinnadurai;T.N.Philip Koh,2003) telah mengesyorkan satu pendekatan umum untuk memudahkan kita mengenali perbezaan antara tawaran dan pelawaan tawaran. Ia berpendapat bahawa konsep pengiklanan samada secara media elektronik mahupun media cetak adalah bukan merupakan sebuah kontrak yang dilakukan oleh dwipihak. Ia menyatakan bahawa pengiklanan adalah merupakan kontrak satu pihak iaitu lebih dikenali sebagai unilateral kontrak yang mana umumnya diputuskan sebagai tawaran. Namun demikian, jika mengikut buku "The True Conception of Unilateral Contracts"(Maurice Wormser, The Yale Law Journal, 1916) telah menyatakan bahawa dalam kedua-dua keadaan samada secara dua hala mahupun satu hala tawaran tetap wujud dan harus dinyatakan bahawa kedua-dua kontrak ini bukanlah dibezakan atas tawaran tetapi atas dasar sama ada tawaran itu meminta janji sebagai penerimaan atau sesuatu perbuatan sebagai penerimaan.
        Melihat pada situasi di mana pihak Semboyan Trading Sdn Bhd telah membuat satu pelawaan tawaran atau ‘ invitation to treat’, apabila membuat satu iklan di akhbar tempatan yang mengatakan mereka akan menjual sebuah motorsikal Kriss pada harga RM 1500 sahaja dan sementara stok masih ada. Apabila pihak Semboyan Trading mengiklankan iklan tersebut, pihak Semboyan Trading telah bersetuju untuk menjual sebuah motorsikal pada harga yang diiklankan dan itupun sehingga stok masih ada. Mengikut kes Pharmaceutical Society of Great Britain lwn Boots Cash Chemist [1952]2 QB 795 di mana Lord Goddard telah memutuskan bahawa:-
"..pameran barang-barang adalah satu tawaran sahaja yang mempelawa orang
ramai membuat tawaran untuk membelinya. Mana-mana pelanggan yang
berminat membelinya akan membuat cadangan di meja pembayaran.
Maka di meja pembayaran itulah wujudnya cadangan yang boleh diterima
atau ditolak oleh juruwang".
            Mengikut kes di atas, bolehlah disimpulkan bahawa pihak Semboyan Trading telah membuat satu pelawaan tawaran (invitation to treat) dan Nana selaku pelanggan hanya boleh membuat cadangan semasa di meja pembayaran. Itupun bergantung kepada pihak Semboyan Trading untuk bersetuju atau tidak bersetuju dengan cadangan oleh Nana. Pihak Semboyan Trading mempunyai kuasa penuh untuk memberikan kepada Nana sebuah motorsikal dengan harga RM 1500 atau harga lain yang difikirkan sesuai. Lagipun jika mengikut iklan yang menyatakan sehingga stok masih ada, kemungkinan bahawa motorsikal yang boleh dijual pada harga RM 1500 adalah sebanyak sebuah sahaja dan ia sudahpun terjual. Ini membuatkan tawaran tersebut sudah tamat dan disebabkan itu pihak Semboyan Trading menyatakan harga baru adalah berkadar RM 2900 sebuah. Apa yang jelas kes ini telah mengemukakan dua isu yang utama. Pertama; samada terdapatnya penjualan yang muktamad telah berlaku? Kedua; adakah penawaran telah berlaku semasa Nana pergi kepada Semboyan Trading dan bertanyakan tentang motorsikal tersebut?
            Setelah dilihat dan dikaji maka ia jelas menyatakan bahawa di sini tidak terdapat kontrak penjualan yang muktamad. Motosikal yang diiklankan adalah bukan merupakan satu tawaran tetapi hanya pelawaan tawaran sahaja. Tawaran adalah datang daripada Nana selaku pelanggan sekiranya motosikal tersebut masih ada dan apabila bersedia untuk membuat pembayaran. Tawaran yang dibuat oleh Nana untuk membeli motosikal tersebut boleh diterima atau ditolak oleh pihak Semboyan Trading Sdn Bhd.
            Mengikut kes Coelho v The Public Services Commission [1964] MLJ 12,  mahkamah telah memutuskan bahawa:
' iklan yang ditawarkan adalah merupakan pelawaan kepada sesiapa yang berminat untuk memohon jawatan tersebut di mana pengeluar iklan itu berhak untuk menolak atau menerima permohonan yang diterimanya'.
            Berdasarkan kes di atas, Nana tidak berhak mendakwa pihak Semboyan Trading kerana pihak Semboyan Trading tidak membuat sebarang penawaran malah ia hanyalah pelawaan tawaran dan tiada ikatan kontrak yang wujud diantara beliau dan pihak Semboyan Trading. Mengikut Seksyen 2(g) Akta Kontrak 1950 – “sesuatu perjanjian yang tidak dikuatkuasakan dengan undang-undang adalah tidak sah“. Ini telah dijelaskan lagi dalam kes: Affin Credit (Malaysia) Sdn. Bhd v Yap Yuen Fui (1984) 1  MLJ 169, yang mana mahkamah berpendapat bila terdapatnya keadaan di mana keadaan tawaran yang tidak sah, maka perjanjian sewa-beli yang terdapat dalam kes itu diisytiharkan sebagai batal dari awal lagi. Jika Nana beranggapan bahawa Semboyan Trading telah membuat satu tawaran, ianya mestilah jelas kerana ia merupakan satu keperluan utama untuk menjadikan tawaran tersebut sah. Jika janji atau tawaran yang diberikan tidak dapat ditentukan, dengan menggunakan ayat yang kabur maksudnya seperti contoh apabila ayat ‘selagi stok masih ada’ digunakan maka ia tidak akan mewujudkan satu perjanjian yang mengikat dan secara langsung membuktikan tiada kontrak antara Nana dan Semboyan Trading Sdn Bhd.









Nana Vs Ira
Kronologi kes
16 Oktober 2014         :Nana menceritakan kepada Haikal tentang Semboyan Trading Sdn Bhd
                                    dan Haikal menghubungi adiknya Ira. Ira bersetuju untuk menjual                                                   motosikal pada harga RM 1500 dengan beberapa syarat.
25 Oktober 2014         :Nana membuat keputusan untuk membeli dan mengeposkan surat                                                  persetujuan pembelian.
2 November 2014       :Ira menulis surat pembatalan tawaran dan mengeposkannya pada hari                                            yang sama.
5 November 2014       :Ira menerima surat persetujuan dari Nana.
8 November 2014       :Nana menerima surat pembatalan tawaran dari Ira
                                    :Nana pergi ke kedai Ira untuk membuat pembayaran dan ianya ditolak                                           oleh Ira kerana Nana telah melanggar syarat dan menyebabkan tawaran  
                                     adalah terbatal.

Syarat Yang Dikenakan Terhadap Nana
1.      Pembayaran secara tunai
2.      Nana perlu menerima tawaran dalam masa dua minggu dari tarikh tawaran.
3.      Penerimaan perlulah dibuat secara bertulis.
4.      Ia perlu diposkan ke kedai Ira di Pahang.
           
            Mengikut syarat yang dikenakan kepada Nana, Ira berkehendakkan supaya Nana menerima tawaran tersebut secara bertulis dan pembayaran secara tunai dalam masa dua minggu dari tarikh tawaran dibuat. Memandangkan Ira membuat penawaran pada 16 Oktober 2014, boleh dikatakan penawaran itu bermula sehari selepasnya iaitu 17 Oktober 2014. Sekiranya Nana bersetuju untuk membeli motosikal tersebut, maka Nana perlu menjawabnya secara bertulis sebelum atau pada 31 Oktober 2014.
            Sebelum membicarakan kes ini lebih lanjut, perlulah difahami terlebih dahulu maksud tawaran, penerimaan dan pembatalan tawaran mengikut undang-undang.
Tawaran
            Mengikut S.2(a) AK 1950 tawaran boleh didefinasikan sebagai ‘ Apabila seseorang menyatakan kesediaannya kepada seorang yang lain untuk melakukan atau menahan diri dari melakukan sesuatu, dengan maksud untuk memperolehi persetujuan orang itu untuk berbuat sesuatu atau menahan diri daripada berbuat sesuatu itu, maka bolehlah dikatakan bahawa orang itu membuat cadangan’. Secara mudahnya adalah tawaran bermaksud kesediaan pembuat tawaran untuk menjalin suatu hubungan yang sah dan mengikat di sisi undang-undang apabila terma-termanya, sama ada secara nyata ataupun termaklum, dipersetujui oleh pihak penerima. Penawaran boleh ditujukan kepada sesiapa sahaja samada orang perseorangan, berkumpulan atau seluruh masyarakat di dunia ini dengan mengikut syarat yang tertentu yang boleh ditetapkan.
            Tawaran juga  mestilah dibuat dengan jelas, lengkap, terperinci dan muktamad bagi mengelakkan sebarang keraguan. Seperti contoh bagi kes
Guthing Vs Lynn (1831) 2B & AD 232, keputusan mahkamah ialah syarat yang diberikan adalah kabur untuk dijadikan satu ikatan kontrak.
           
Sesuatu tawaran itu juga adalah tidak sah melainkan telah diberitahu kepada bakal penerima tawaran untuk memberi peluang kepadanya sama ada hendak menerimanya ataupun tidak. Tawaran yang diberi perlulah dikomunikasikan kepada bakal penerima dan mengikut akta kontrak 1950, terdapat tiga seksyen yang membicarakan tentang komunikasi kepada penerima iaitu:-

            S.9 AK 1950                : Sesuatu tawaran boleh dibuat sama ada secara nyata atau tersirat.
            S.3 AK 1950                :Tawaran mesti dikomunikasikan kepada penerima janji. 
            S.4(1) AK 1950           : Komunikasi cadangan adalah lengkap, apabila cadangan itu                                                             sampai ke pengetahuan pihak kepada siapa cadangan itu dibuat.

Tawaran boleh dikomunikasikan secara 
1.              Lisan;
2.              Bertulis;
3.              Perbuatan atau gabungan
Sebarang pernyataan yang tidak mempunyai ciri-ciri tersebut bukanlah merupakan satu tawaran yang sah dan boleh terbatal.
Penerimaan
            Mengikut S.2(b) AK 1950 iaitu penerimaan boleh dimaksudkan dengan ‘Apabila orang kepada siapa cadangan itu dibuat menyatakan persetujuan dengan cadangan itu, maka bolehlah dikatakan bahawa cadangan itu diterima. Sesuatu cadangan, apabila diterima, adalah menjadi janji’. Penerimaan juga secara mudahnya bermaksud tanda kesediaan seseorang yang telah menerima cadangan untuk menjalin suatu hubungan kontrak dengan pihak yang membuat cadangan.



Syarat-syarat penerimaan
            Mengikut  S.7(a) AK 1950 : Untuk menjadikan sesuatu cadangan itu sebagai suatu janji, maka penerimaan itu mestilah mutlak dan tidak bersyarat.
             Mengikut S.7(b) AK 1950 pula: Untuk menjadikan sesuatu cadangan itu sebagai suatu janji, maka penerimaan itu mestilah dinyatakan secara biasa dan munasabah, melainkan jika cadangan itu menetapkan cara penerimaan. Jika cadangan itu menetapkan cara penerimaannya, dan penerimaan itu tidak dibuat menurut cara yang ditetapkan itu, maka pencadang, dalam tempoh yang munasabah sesudah penerimaan itu dikomunikasikan kepadanya, boleh menegaskan bahawa cadangan itu hendaklah diterima menurut cara yang telah ditetapkan dan tidak sebaliknya. Tetapi, jika dia mungkir berbuat demikian, maka, dia adalah menerima penerimaan itu.
Pembatalan Tawaran
            Mengikut S.6(a) AK 1950: Sesuatu cadangan adalah dibatalkan dengan mengkomunikasikan notis pembatalan oleh pencadang kepada pihak yang lain itu. Pencadang boleh membatalkan cadangannya pada bila-bila masa sebelum sesuatu penerimaan dibuat oleh penerima cadangan.
Maklumat Kes
            Berdasarkan pada Akta Kontrak 1950, apabila Ira telah membuat tawaran beserta syarat yang perlu dipatuhi oleh Nana, maka Nana hendaklah mematuhinya jika dia mahu membeli motosikal tersebut. Mengikut tarikh tawaran yang dibuat oleh Ira pada 16 Oktober 2014, Nana perlu melaksanakan semua syarat yang diberi sebelum atau pada 31 Oktober 2015.
            Mengikut S.4(1) AK 1950: Komunikasi cadangan adalah lengkap, apabila cadangan itu sampai ke pengetahuan pihak kepada siapa cadangan itu dibuat. Proses yang perlu dilalui oleh Ira selaku pencadang sudah lengkap apabila Nana menerima dan memahaminya.
            Jika dilihat pada syarat yang dikenakan kepada Nana, Nana perlulah membuat penerimaan secara bertulis dan diposkan ke kedai Ira di Pahang. Apabila Nana bertindak dengan menjawab tawaran tersebut pada 25 Oktober 2015, maka tanggungjawab Nana selaku penerima telah selesai. Ini selari dengan S.4(2)(a) AK 1950: Komunikasi penerimaan adalah lengkap terhadap pencadang, apabila komunikasi penerimaan itu telah dimasukkan ke dalam perjalanan pengiriman kepadanya, di mana ianya berada di luar kuasa penerima.  Pada kes Adams v Lindsell (1818) 1 B & Ald 681 keputusan mahkamah menunjukkan  kontrak telahpun terbentuk di antara plaintif dan defendan sebaik sahaja surat penerimaan diposkan.
            Bagi penerimaan yang dibuat secara pos, sebaik sahaja surat penerimaan diposkan, penerimaan tersebut adalah lengkap mengikat pencadang. Jika penerima dapat membuktikan pengeposan surat tersebut, maka pencadang adalah terikat untuk berkontrak dengannya walaupun surat tersebut hilang dalam perjalanan ataupun tidak sampai kepada pencadang atau lambat penerimaannya.
            Mengikut Entores Ltd v Miles Far East Corporation [1955] EWCA Civ 3 pula, ia menunjukkan keputusan kehakiman yang sama apabila keputusan hakim adalah proses penerimaan sudah sempurna sebaik sahaja surat penerimaan dimasukkan ke dalam peti pos dan disitulah kontrak dibuat.
            Pada 2 November 2014, Ira selaku pencadang telah menulis surat pembatalan dan diterima oleh Nana pada 8 November 2014 apabila Ira merasakan bahawa Nana telah melanggar syarat kontrak yang diberikannya pada 16 Oktober 2014.  Jika mengikut S.5(1) AK 1950: Sesuatu cadangan boleh dibatalkan pada bila-bila masa sebelum komunikasi penerimaannya adalah lengkap terhadap pencadang, tetapi tidak selepasnya. Maka Ira selaku pencadang boleh membatalkan kontrak pada bila-bila masa sebelum S.4(2)(a) AK 1950 berkuatkuasa iaitu sebelum Nana mengeposkan surat setuju terima.
            Pembatalan tawaran yang dibuat oleh Ira adalah sah walaupun penerimaan yang dibuat oleh Nana mengikut tarikh yang dipersetujui. Nana telah tidak melaksanakan satu lagi syarat yang ditetapkan oleh Ira apabila Ira meminta supaya bayaran dilakukan dalam bentuk tunai juga sebelum 31 Oktober 2015.  Ira berpendapat bahawa sehingga 2 November 2015, pihaknya masih belum menerima duit tunai dan disebabkan itu, dia merasakan kontrak tersebut adalah terbatal dengan sendirinya.
            Mengikut S.4(3)(a) AK 1950: Komunikasi pembatalan adalah lengkap terhadap orang yang membuat pembatalan, apabila komunikasi pembatalan itu telah dimasukkan ke dalam perjalanan pengiriman kepada siapa pembatalan itu dibuat, di mana ianya berada di luar kuasa orang yang membuatnya.
            Berdasarkan S.8 AK 1950 iaitu Penunaian syarat-syarat sesuatu cadangan adalah penerimaan cadangan itu, Nana selaku penerima telah tidak melaksanakan semua syarat yang perlu dilaksanakan olehnya. Terdapat dua syarat yang dikenakakan kepada belia selaku penerima iaitu persetujuan secara bertulis dalam masa dua minggu dari tarikh tawaran dan juga pembayaran secara tunai juga dalam jangkamasa yang sama. Walaupun Nana sudah melaksanakan syarat yang pertama tetapi Nana tidak melaksanakan syarat yang kedua kerana Nana hanya hendak membuat pembayaran pada 8 November 2014 iaitu selepas lapan hari dari tarikh tawaran tersebut tamat.

Rumusan
            Melihat pada kes tersebut, saya telah mengetahui tentang maklumat berkaitan Akta Kontrak 1950 dan beberapa kes-kes penting yang berkaitan dengan kes tersebut.  Terdapat pelbagai elemen yang perlu dipatuhi dalam mewujudkan sesebuah kontrak yang sah dan pelbagai kaedah lain yang boleh digunapakai.
            Terdapat lapan elemen utama yang menjadi asas kepada sesebuah kontrak yang sah dan boleh berkuatkuasa. Ini termasuklah penerimaan, penawaran, balasan, niat, kelayakan pihak yang berkontrak, ketentuan atau kejelasan, kerelaan bebas dan kesahihan. Saya juga mampu untuk mengetahui keperluan untuk berkontrak dan bagaimana untuk melaksanakan supaya sesuatu kontrak itu dapat dilaksanakan dengan jayanya.
            Kepelbagaian seksyen yang terkandung juga mampu melindungi penerima atau penawar kontrak dari pelbagai bentuk penipuan walaupun terdapat beberapa kelemahan yang saya fikirkan boleh ditambah baik. Salah satu yang saya fikirkan adalah mengenai pengaruh teknologi yang dialami oleh dunia kini. Jika dilihat melalui S.4(2)(a) AK 1950 iaitu Komunikasi penerimaan adalah lengkap terhadap pencadang, apabila komunikasi penerimaan itu telah dimasukkan ke dalam perjalanan pengiriman kepadanya, di mana ianya berada di luar kuasa penerima. Adakah penerimaan secara pos ini boleh diterjemahkan kepada perhubungan yang melalui media elektronik yang mana penawaran, penerimaan, syarat dan pelbagai lagi keperluan untuk berkontrak boleh mendapat jawapan dalam masa sebenar, seperti contoh penggunaan ‘WhatsApp’, mail elektronik dan lain-lain  boleh dikategorikan dalan seksyen ini, yang mana sesuatu proses seperti penerimaan dikira dari masa ia dikirim, semasa ia sampai ke peranti pencadang atau semasa pencadang membacanya dan bagaimana pencadang untuk membuat pembatalan apabila jawapan penerima boleh diterima pada masa sebenar.
            Walau bagaimanapun, Akta Kontrak 1950 ini juga boleh dipinda dan ditambah baik dengan mengaplikasikan akta undang-undang Islam yang sesuai selaras dengan Islam sebagai agama persekutuan agar ia dapat diterimapakai oleh variasi agama di Malaysia. Ini kerana hubungan kontrak boleh berlaku dengan baik dan berkesan melalui tukaran dan gantian yang mempunyai pelbagai bentuk dan cara seperti dalam teori kontrak. Teori inilah yang akan menentukan prinsip-prinsip perhubungan atau ikatan, kebebasan mengurus dan bertindak soal yang berkaitan dengan pertukaran barangan dan manfaat, dilaksanakan secara tertib, baik dan mendapat  kepuasan semua pihak.   Di dalam undang-undang kontrak Islam terdapat juga elemen-elemen seperti yang disyaratkan di dalam undang-undang kontrak biasa, iaitu tawaran dan penerimaan yang mengikat kedua-dua belah pihak, dan yang paling mustahaknya ianya melibatkan konsep pembalasan terutama di dalam bentuk harga(thaman). Menurut sistem muamalat Islam, sesuatu kontrak jual beli akan menjadi sah jika melengkapi rukun-rukun berikut:
·         Penjual iaitu pemilik barang atau wakilnya dengan syarat penjual itu seorang yang tidak safih, gila, kanak-kanak atau dipaksa.
·         Pembeli iaitu seorang yang berkelayakan mengurus tadbir(tasarruf) yakni bukan safih, gila, kanak-kanak atau dipaksa.
·         Barang yang dijual(muthamman) iaitu barang yang dimiliki, suci, bermanfaat, boleh diserah dan diketahui oleh pembeli walaupun secara deskripsi sahaja.
·         Sighah iaitu ijab dan qabul antara penjual dan pembeli.
·         Saling redha-meredhai (al-taradi) oleh kedua-dua pihak.
Sesuatu kontrak jual beli yang lengkap rukun dan syaratnya adalah sah dan boleh dipindah milik. Sebaliknya kontrak jual beli yang berlaku kecacatan pada salah satu rukun atau pada barang yang dikontrakkan adalah tidak sah dan tidak memindah milik. Contohnya seperti kontrak menjual arak oleh orang Islam.
            Keseluruhannya, kontrak merupakan keperluan yang amat penting dalam kehidupan manusia. Kepentingannya dapat dilihat dalam segenap bidang transaksi dan hubungan. Dengannya akan terjalinlah ikatan perjanjian di antara seseorang dengan yang lainnya dalam pelbagai urusan dengan keadaan kedua-dua pihak akan berpuas hati, terutama yang berkaitan dengan transaksi perniagaan dan perdagangan. Sejarah telah menunjukkan bahawa kejayaan peradaban manusia adalah terbina di atas landasan hubungan atau perjanjian yang kukuh yang boleh menyimpul dan menghurai sesuatu keperluan dengan baik, teratur dan berdisplin.
-Wallahuallam-
                                                                                                                        (3494 patah perkataan)
 












Rujukan
·         Akta Kontrak 1950
·         Contract of Law (Visu Sinnadurai;T.N.Philip Koh,2003)
·         The True Conception of Unilateral Contracts"(Maurice Wormser, The Yale Law Journal, 1916)
·         Malaysia Law Journal
·         Commonwealth Law Journal
·         Panduan Perbankan Islam: Kontrak & Produk Asas (Zaharuddin Abdul Rahman,2009)
·         Al Ahkam : Undang Undang di Malaysia Kini (Ahmad Ibrahim,1995)
·         Undang-Undang Kontrak Perbandingan Islam & Inggeris (Mohd. Ali Hj. Baharum)
·         Kontrak di Malaysia dan undang-undang (Sakina Shaik Ahmad Yusoff, Azimon Abdul Aziz(2003)

·         Undang-Undang Komersial Di Malaysia Edisi Kedua (Shaik Mohd Noor Alam S.M Hussain,2013)

1 comment:

  1. GOOD attempt at simplifying a difficult topic.
    Jeong c.p.

    ReplyDelete

Secebis Kenangan

Make your own slideshow with music at Animoto.