Wednesday 2 July 2014

Distance learner (apa itu pembelajaran jarak jauh)

Mutakhir ini terutama pada zaman moden yang serba mencabar, melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan merupakan satu kemestian bagi meningkatkan prestasi kehidupan. Bersesuaian dengan hadis Rasulullah SAW  yang diriwayatkan oleh Daruqutni Dari Umamah RA ia berkata: Rasulullah SAW bersabda: orang paling dekat darjatnya dengan para Nabi ialah ahlul ilmi (yang berilmu) dan pejuang, jika orang yang berilmu memberi petunjuk pada manusia melalui apa yang datang dari Rasul (ilmu), dan kalau pejuang berjuanglah dengan pedangnya, seperti yang ditunjukkan Rasul”. Hadis ini menerangkan tentang kepentingan bagi menuntut ilmu dan menyebarkannya.
            Sebagaimana yang semua sedia maklum bahawa proses menuntut ilmu itu adalah berterusan sepanjang hayat . Oleh itu, ilmu mesti dituntut dengan apa cara sekalipun. Tiada apa yang menjadi penghalang bagi seseorang yang berkeinginan menambahkan ilmu. Sejak zaman dahulu lagi manusi merantau ke serata tempat semata-mata untuk menambah ilmu di dada. Justeru peluang untuk menuntut ilmu harus diberi kepada semua dan jarak yang jauh bukanlah satu penghalang.
            Jika direnung kembali tentang perkembangan serta keagungan Islam, teknik penyampaian ilmu pengetahuan dan maklumat atau apa sahaja yang ingin disampaikan kepada seseorang atau kaum yang berjauhan pada jarak yang jauh telah diaplikasikan dengan jitu. Semasa kehangatan penyebaran agama Islam di seantero benua Arab, Rasullullah SAW menyampaikan tentang kebenaran dan keunggulan agama Islam secara bertulis kepada maharaja dan pemerintah kerajaan lain. Ini dapat dibuktikan melalui surat baginda kepada Raja Habsyi yang bernama An Najasyi dan maharaja kerajaan Rom ketika itu iaitu Hercules. Surat ini dibawa oleh para sahabat baginda dan ini menunjukkan bahawa sistem pembelajaran secara jarak jauh telah diamalkan sejak dahulu lagi. Jelaslah bahawa penyampaian maklumat atau penyampaian ilmu pengetahuan secara jarak jauh ternyata berkesan.
            Di kebanyakan negara maju, istilah pembelajaran jarak jauh bukanlah sesuatu yang asing. Sistem yang dibangunkan ini telah diterima di seluruh dunia sebagai pendidikan yang sah dan diakui setanding dengan bentuk pembelajaran yang lain.
            Pelbagai pendapat mengenai maksud pembelajaran jarak jauh dan kadangkala ia menimbulkan perbalahan mengenainya. Ada yang berpendapat bahawa ia merupakan kaedah yang mengasingkan pelajar dengan institusi yang menawarkannya. Bagi saya, ia tidak begitu tepat kerana kaedah pembelajaran jarak jauh telah mengalami pelbagai evolusi dari kaedah yang paling daif seperti yang diamalkan dahulu oleh Raffles College, Malaysia Correspendence College (MCC), Maktab Adabi dan Maktab Federal yang mengguna pakai pos sebagai medium penghantaran (Dr.Mansor Fadzil, OUM) kepada sistem canggih yang menggunakan internet pula sebagai medium perantaraannya.
            Melalui pendidikan secara jarak jauh ini, para pelajar perlu berdikari atau belajar kendiri dalam menelaah atau mengulangkaji pelajaran. Perhubungan yang minima di antara pensyarah dan pelajar dan pelajar dengan pelajar memaksa para pelajar untuk mencari bahan dalam membuat ulangkaji sendiri. Perhubungan secara maya mendekatkan jurang perbezaan ini tetapi masih tidak dapat menandingi perhubungan secara tradisional.
            Terdapat banyak kaedah perantaraan yang digunakan oleh institusi yang menawarkan program pengajian jarak jauh.  Ia bukan sahaja meliputi bahan bercetak malah dalam pelbagai spektrum perantaraan, dan antaranya adalah : (Mary Oakes Smith,2008)
Media cetak:
-Makalah
-Poster
-Akhbar
-Buku

Audio/Media Visual :
-Telefon dan fax
-Radio, Penyiaran Microwave
-Kaset audio

Komputer/Internet :
-E-mel
-Akses kepada World Wide Web
-Perisian program/CD ROM

Media Penghantaran Satelit :
-Radio atau televisyen digital
-Video atau Teleconferencing

            Pembelajaran secara jarak jauh lazimnya mengizinkan para pelajar mengambil bidang yang disukai pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Perkara ini membolehkan mereka menyesuaikan pendidikan dan latihan yang diterima dengan tanggungjawab atau komitmen yang sedia ada seperti keluarga, kerjaya malah hobi. Ini memberi kesempatan kepada pelajar untuk menyusun kehidupan bersesuaian dengan cara hidup, keterbatasan waktu, jarak dan dana yang diperlukan.
            Pembelajaran melalui kaedah ini ternyata sangat berkesan dan efektif, terutama kepada pelajar yang dewasa dan mempunyai motivasi yang kuat untuk mengejar kejayaan di dalam kerjaya atau kepuasan diri untuk melanjutkan pengajian. Mereka mempunyai sifat kendiri yang tinggi dan mampu memikul banyak  tanggungjawab dalam satu masa  sebagai pekerja, ahli keluarga dan sebagai mahasiswa.
Namun begitu terdapat pelbagai kelebihan dan kekurangan bagi mereka yang mengikuti pengajian secara kaedah ini.

Kelebihan.

  • Para pelajar boleh mengawal dan mengawasi waktu belajar sendiri tanpa perlu melalui jadual yang ketat berbanding pelajar yang belajar sepenuh masa mereka melalui waktu pembelajaran yang lebih panjang.
  • Ia amat menjimatkan masa dan tenaga dalam menempuhi alam pengajian kerana pembelajaran yang mengambil masa selama empat tahun melalui kaedah konvensional juga boleh diambil oleh pelajar jarak jauh dengan masa yang sama.
  • Pembelajaran secara jarak jauh juga membolehkan para pelajar belajar dengan cara dan kaedah tersendiri tanpa perlu mengikut rentak sedia ada. Setiap orang mempunya corak dan rentak yang berbeza dan kaedah ini bersesuaian dengan keselesaan dan keupayaan masing-masing.
  • Penghantaran kertas kerja atau tugasan juga amat mudah dan menyelesakan. Hanya dengan satu petikan butang, tugasan yang diterima sudahpun dihantar.
  • Akses kepada perpustakaan atau maklumat pada setiap masa dan ketika. Ia tidak tertakhluk kepada masa tertentu dan pastinya dengan keselesaan di rumah sendiri. Ini membolehkan seseorang melaksanakan beberapa tugasan dalam satu masa.


Kekurangan.

  • Kurangnya perhubungan antara fakulti, pensyarah dan pelajar lain. Menelaah sejumlah buku atau jurnal yang banyak dengan ketiadaan mentor untuk mengawasi adalah agak sukar bagi sesetengan pelajar. Kurang perhubungan dengan pensyarah boleh membawa kepada kurang penerimaan atau pemahaman bagi sesetengah tajuk.
  • Masalah disiplin yang dihadapi bagi meneruskan pengajian dan menelaah pelajaran. Tanpa pengawasan yang rapi dan peringatan dari pensyarah, bagi sesetengah pelajar akan ketinggalan dalam meneruskan pengajian. Masalah akan menjadi semakin rumait andai berlaku pertembungan antara kehendak kerjaya atau keluarga dan pembelajaran yang memerlukan komitmen dalam masa yang serentak
  • Kebergantungan kepada teknologi membataskan hubungan sesama mereka. Jawapan yang diperlukan pada masa yang cepat seperti pertanyaan kepada pensyarah tidak dapat diperolehi. Begitu juga dengan huraian mengenai sesuatu masalah juga tidak dapat diperolehi dengan kadar segera.
  • Akses kepada internet juga amat diperlukan bagi pelajar yang memilih pengajian melalui kaedah ini. Tanpa sambungan kepada internet, adalah hampir mustahil pelajar dapat meneruskan pengajian dan seterusnya berjaya hingga ke akhir. Bagi mereka yang tinggal di bandar mungkin hampir tidak mengalami masalah perhubungan internet berbanding dengan mereka yang tinggal di pedalaman dan mempunyai akses kepada internet yang terhad.

Dalam menempuh alam pengajian jarak jauh ini, pelajar haruslah mempunyai kemahiran tertentu bagi membolehkan mereka meneruskan kesinambungan pengajian masing-masing Antara kemahiran-kemahiran yang boleh diaplikasikan adalah :

1.      Kemahiran Mengurus Masa

. Kemahiran dalam mengurus masa amatlah penting sekiranya ingin berjaya menghabiskan pengajian. Pada waktu-waktu tertentu, kekangan masa amatlah membebankan, dengan komitmen kerja yang tidak pernah kunjung habis, dengan tanggungjawab yang memerlukan keberadaan di samping ahli keluarga dan ditambah dengan tugasan yang perlu disiapkan, ia amat berat kecuali bagi mereka yang amat komited dan pandai menguruskan masa dengan bijak.

Terdapat pelbagai perkara yang harus dikorbankan dan ditelan sepanjang pengajian dilaksanakan. Kerjaya haruslah diutamakan kerana itu periuk nasi untuk menjamin kelestarian hidup dan masa yang berkualiti bersama keluarga juga perlu dititikberatkan. Apa yang harus dikorbankan adalah masa untuk diri sendiri. Hobi yang membuang masa dan tidak berfaedah haruslah dikurangkan dan sebaiknya dibuang untuk sementara. Komitmen para pelajar amatlah dituntut bagi mengejar masa depan kerjaya yang lebih cemerlang.

Perkara pertama yang harus setiap pelajar pelajari adalah keupayaan untuk memberi tumpuan. Memberi tumpuan amatlah penting kerana ia amat menjimatkan masa tanpa kita perlu teruk untuk mengulangkaji. Bayangkan jika kita dapat memberi tumpuan sepenuhnya semasa sesi bersama tutor, saya percaya keciciran maklumat tidak akan berlaku dan pelajar dapat membuat kerja mereka yang lain selain dari mengulangkaji sahaja. Kebiasaannya, kita akan cepat hilang tumpuan dan hanya bertahan selama beberapa minit di dalam kelas. Teknik ini perlu diberi tumpuan dan dilatih dari semasa ke semasa. Jika kita dapat menjimatkan masa ulangkaji selama satu jam kerana kita memberi tumpuan di dalam kelas, bayangkan masa yang kita dapat jimatkan dalam satu minggu atau satu bulan. Ia cukup untuk membawa keluarga kita bersiar atau melakukan aktiviti bersama. (OsmanAffan, 2011)

Para pelajar juga boleh memfaatkan waktu senggang antara waktu kerja, sebagai masa untuk membaca nota kecil atau peta minda yang telah disediakan. Nota yang disediakan dalam bentuk peta minda amat membantu dalam aspek mengingat kerana kita lebih mudah untuk mengingat simbol atau kata kunci daripada membaca buku yang besar dan berat. Persediaan membuat nota kecil dan peta minda boleh dipraktikkan kerana ia bersesuaian dengan cara hidup pelajar yang mengambil kaedah jarak jauh. Ia mudah dibawa ke mana sahaja, mudah untuk diingat dan mudah juga untuk disesuaikan dengan sebarang situasi.

Selain itu juga, pelajar tidak boleh menangguh tugasan kerana perbuatan tersebut pasti akan mengundang masalah yang lebih besar. Apabila berlaku pertembungan antara kehendak kerjaya, keluarga dan pembelajaran sekaligus, maka pelajar perlu bijak mengutamakan perkara yang paling utama. Ini amat penting supaya tidak berlaku masalah gangguan emosi seperti tekanan perasaan dan sebagainya. Oleh itu kemahiran pengurusan masa yang bijak sangat penting bagi pelajar yang mengikuti program pembelajaran secara jarak jauh.

2.      Kemahiran Mengadaptasi Media

       Bagi pelajar yang mengambil kaedah pengajian jarak jauh, kemahiran menggunakan media amatlah diperlukan. Setiap pusat yang menawarkan pengajian menggunakan kaedah ini, cenderung untuk menggunakan media terutama elektronik bagi tujuan arkib, perhubungan dan komunikasi di antara universiti, fakulti, pensyarah dan pelajar. Pelajar mesti sentiasa seiring dengan dunia teknologi maklumat yang sangat cepat berkembang pesat agar tidak ketinggalan. Sekiranya pelajar dapat menguasai kemahiran menggunakan media dengan baik, sudah pasti tugasan dapat dilakukan dengan lebih mudah dan cepat.

       Di Universiti Terbuka Malaysia sendiri, penggunaan media elektronik seperti komputer, internet, email dan lain-lain adalah satu kemestian. Terdapat pelbagai pautan yang bersangkutan dengan bidang yang diambil perlu dirujuk atau dibuka menggunakan media ini. Penghantaran tugasan dan maklumat yang ingin dicapai di perpustakaan juga haruslah melalui email dan pautan.

       Oleh itu, kemahiran pelajar dalam mengadaptasi dan memahirkan diri dalam penggunaan media ini perlu dititikberatkan. Penggunaan yang menyeluruh dengan menjadikannya sebagai alat bagi membantu pelajar lebih memahami dan mempunyai peluang untuk meneroka ke seluruh alam maya bagi mendapatkan ilmu dan maklumat yang diperlukan.
      
Penggunaan pelbagai jenis media akan membantu pembelajaran yang lebih menarik dengan pelbagai aplikasi yang menjadikan sesuatu pembelajaran lebih efektif dan menarik. Seterusnya pelajar akan dapat meningkatkan kemahiran belajar di samping menguatkan ingatan bagi sesuatu topik kerana penggunaan pelbagai media boleh membantu meningkatkan cara berfikir secara kreatif dan kritikal. ( Renee William, 2010)

3.      Kemahiran Merancang

       Terdapat pepatah Inggeris oleh Sir Benjamin Franklin, yang mengatakan bahawa If you fail to plan, you are planning to fail” yang bermaksud bahawa jika kita gagal untuk merancang, sebenarnya kita merancang untuk gagal. Satu pepatah yang amat tepat dan amat bagus diaplikasikan dalam hidup sebagai pelajar.

                Banyak kajian telah dilakukan terhadap perancangan masa dan sememangnya pelajar yang dapat merancang masa dengan bijak lebih mencapai objektif pembelajaran berbanding mereka yang tidak merancang masa.( Alan R.Rooper, 2007)
       Membuat jadual adalah mudah, tetapi berdisiplin dalam mengikuti jadual yang telah dibuat adalah yang paling sukar. Penerapan disiplin dari diri individu harus disertakan dengan tekad dan sentiasa mengingatkan diri masing-masing tentang tujuan menyambung pelajaran.
       Pembuatan jadual yang lestari iaitu jadual yang menggabungkan penggunaan masa bagi tiga cabang penggunaannya iaitu kerjaya, keluarga, sosial dan pelajaran adalah amat praktikal. Penggunaan jadual haruslah seiring diantara satu sama lain. Jangan hanya menitikberatkan satu pihak dan yang lainnya ketinggalan. Pelajar hendaklah berusaha  untuk mengikut jadual yang disediakan sehabis baik dan beritahu kepada orang terdekat tentang jadual tersebut supaya dapat saling mengingatkan tentang apa yang perlu dilakukan pada masa tersebut kerana tiada gunanya kita membuat jadual jika kita sendiri tidak mahu mengikutinya.
4.      Menukar Tatacara Pemikiran (mindset)
Perkara ini sangat penting  untuk dikuasai kerana segala apa yang kita lakukan dikawal oleh otak. Jika sebelum ini kita hanya bergelar pekerja, majikan atau ketua keluarga, kini kita perlu menanam di dalam minda bahawa kita kini juga mempunyai komitmen sebagai seorang pelajar. Justeru sebagai seorang pelajar perlu mempunyai sikap dan kualiti tertentu seperti bersungguh-sungguh dan tekun agar dunia anda sebagai pelajar adalah seimbang dengan kehidupan seharian. Bukankah sebagai seorang pekerja juga, kita mesti bersikap bersungguh-sungguh dan tekun dalam melaksanakan kerja kita agar tugas dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Kita yang telah memilih untuk menjadi seorang pelajar secara pembelajaran jarak jauh sudah tentu kita telah memikirkan segala risiko dan cabaran yang akan dilalui. Apabila telah bergelar pelajar, haruslah sentiasa berkomunikasi dengan majikan, rakan sekerja dan ahli keluarga agar mereka di sekeliling kita dapat memberi semangat tatkala hambatan tugas datang berganda. Sokongan daripada orang sekeliling amat diperlukan agar kita sentiasa berada di atas laluan yang betul kerana cara pembelajaran jarak jauh ini memerlukan masa yang panjang. Jika tiada sokongan dari mereka, ditakuti semangat yang pada awalnya hangat membara akan hilang bersama peredaran masa.



Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, terdapat banyak lagi kemahiran yang perlu dikuasai oleh pelajar yang belajar secara pembelajaran jarak jauh seperti kemahiran berkomunkasi, kemahiran belajar dan sebagainya. Tetapi empat kemahiran yang saya telah jelaskan adalah yang lebih sesuai dengan cara pembelajaran secara jarak jauh. Setiap kemahiran tersebut mesti dikuasai bagi memastikan proses pembelajaran berjalan lancar.
Setiap kemahiran ini pasti bergantung antara satu sama lain kerana sekiranya pelajar mengabaikan salah satu daripadanya, ia akan menggugat masa depan pelajar tersebut. Sebagai contoh jika seorang pelajar hanya menguasai kemahiran menggunakan media tetapi tiada kemahiran pengurusan masa, maka proses pembelajaran atau proses menyiapkan tugasan pada masa yang ditetapkan akan terganggu.

Oleh itu, setiap pelajar yang mengikuti cara pembelajaran jarak jauh mesti menguasai empat kemahiran yang telah saya perincikan agar pembelajaran berjalan lancar dan akhirnya pelajar menikmati hasilnya apabila mereka berjaya kelak.

No comments:

Post a Comment

Secebis Kenangan

Make your own slideshow with music at Animoto.