Sunday 12 July 2015

prinsip mikroekonomi

1.0  PENGENALAN
Sistem Ekonomi Di Malaysia
Image result for mikroekonomi            Sebelum kita mendalami tentang sistem ekonomi di Malaysia, amat wajar untuk kita mengetahui maksud ekonomi itu sendiri. Perkataan ekonomi berasal daripada Greek iaitu Oikou dan nomos .Oikou membawa maksud isirumah, manakala nomos      bermaksud peraturan isi rumah. Oleh itu, dapat kita simpulkan ekonomi ialah bidang sains sosial yang mengkaji usaha-usaha manusia menggunakan sumber-sumber ekonomi yang terhad untuk memenuhi kehendak-kehendak yang tidak terhad.
Sistem ekonomi pula merujuk kepada satu set institusi sosial yang berkaitan dengan pengeluaran, pengagihan dan penggunaan barangan dan perkhidmatan dalam sesebuah masyarakat. Sistem ekonomi terdiri dari manusia dan institusi, termasuk hubungan mereka dengan sumber produktif seperti harta yang dimiliki. Ia cuba menyelesaikan masalah ekonomi melalui cara yang sistematik untuk pembahagian sumber yang terhad. Kesimpulannnya,  sistem ekonomi merujuk kepada cara sesebuah masyarakat membuat pilihan  mengagihkan sumber untuk menghasilkan barangan yang dikehendaki bagi menyelesaikan masalah. Oleh itu , sistem ini akan berbeza dari sebuah masyarakat ke masyarakat yang lain.
Jika ditinjau dari kacamata negara kita, sistem ekonomi di Malaysia pada abad ke-19 sehingga tahun 1963 boleh dikategorikan kepada dua bentuk yang utama iaitu sistem ekonomi sara diri dan sistem ekonomi komersil. Bentuk dan kegiatan ekonomi yang diamalkan pada ketika itu adalah dipengaruhi oleh sistem pemerintahan pada masa dahulu. Sebagai contoh, rakyat biasa menjadi petani, pedagang dan pembesar pula menjadi pemilik tapak perlombongan
Ekonomi sara diri ialah kegiatan ekonomi yang bertujuan atau sekadar mampu untuk menampung keperluan harian keluarga. Ini bermaksud , hasil kegiatan ekonomi hanya akan digunakan untuk keluarga mereka sahaja. Segala lebihan pengeluaran akan dijual, dan hasil jualan tersebut akan digunakan untuk membeli barangan keperluan yang lain. Kegiatan ekonomi sara diri yang utama ialah bercucuk tanam, menangkap ikan dan memungut hasil hutan. Kegiatan sebegini tidak memerlukan penggunaan mata wang yang banyak.
Apabila penjajah British datang menjajah negara kita pada abad ke-19 barulah sistem ekonomi 
komersil  mula bertapak di Tanah Melayu . Kehadiran mereka telah mempergiatkan lagi aktiviti  ekonomi tersebut  memandangkan  mereka mengutip cukai daripada rakyat, yang memaksa rakyat mendapatkan duit tunai. Ini kerana mereka yang gagal menjelaskan cukai akan dihukum. Salah satu perkembangan yang nyata semasa itu dapat dilihat dalam sektor perdagangan dan perlombongan.
Akibat penjajahan British tersebut, ekonomi  Malaysia sebenarnya bersifat ekonomi pasaran yang terikat kepada sistem ekonomi kapitalis antarabangsa, dengan mengutamakan dan menguntungkan para pelabur swasta asing dan hanya sebilangan kecil pengusaha tempatan . Kegiatan kapitalis moden berkembang dengan pengeluaran dan eksport bijih timah dan getah. Namun, seiring dengan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan, akhirnya sistem ekonomi kapitalis yang digunakan di Malaysia beralih kepada sistem  ekonomi campuran . Oleh itu, kini, pada dasarnya Malaysia mengamalkan Sistem Ekonomi Campuran.

Sistem Ekonomi Campuran

Menurut Wikipedea Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas, ekonomi campuran adalah sistem ekonomi yang menggabungkan lebih daripada satu aspek sistem ekonomi. Lazimnya, ekonomi campuran mengandungi unsur kapitalisme dan sosialisme . Tiada satu definisi khusus untuk ekonomi campuran tetapi aspek terpenting adalah kebebasan sepenuhnya ekonomi persendirian termasuk pemilihan industri secara persendirian  , ekonomi yang terancang termasuk campur tangan untuk kebajikan sosial , pemuliharaan alam sekitar atau pemilikan aset atau sumber pengeluran oleh negara.Untuk mencapai status negara maju sesebuah negara mesti menjalankan kesemua jenis ekonomi ataupun campuran beberapa jenis ekonomi .
Manakala menurut (Yearm 2006:24) sistem ekonomi campuran adalah satu sistem dimana pihak swasta dan kerajaan bersama-sama membuat keputusan ekonomi untuk menyelesaikan masalah asas ekonomi.
Sebagai contoh, Malaysia pada awal penubuhan FELDA dan FELCRA mengamalkan sistem ekonomi Komunisme iaitu tanah dan rumah peneroka adalah hak milik kerajaan sepenuhnya. Namun begitu keadaan ekonomi ini bertukar dari satu sistem ekonomi komunisme kepada sosiolisme dan bertukar kepada kapitalisme , yang mana pada masa sekarang tanah dan rumah di felda telah menjadi hak milik penoroka. Kejayaan Felda untuk menaiktaraf ekonomi peneroka telah membuka luas mata negara-negara luar dengan sistem ekonomi campuran yang telah diamalkan di Malaysia.


Ciri-ciri sistem ekonomi campuran.
            Untuk memahami sistem ini dengan lebih mendalam, amat wajar untuk kita mengetahui ciri-cirinya. Antara ciri-ciri sistem ekonomi campuran ialah:

i)                    Kegiatan ditentukan oleh pihak kerajaan dan swasta
Pihak kerajaan akan mengeluarkan barangan yang gagal disediakan oleh makanisme  harga bagi  meningkatkan taraf kebajikan rakyat.Manakala pihak swasta pula, menyediakan  barang yang dikehendaki oleh masyarakat bagi memaksimumkan keuntungan.

ii)                  Pilihan
Kedua-dua pihak sama ada pengguna dan pengeluar bebas membuat pilihan. Pengguna membuat keputusan ekonomi atas tujuan untuk memaksimumkan kepuasaan. Manakala, pengusaha pula membuat keputusan ekonomi atas tujuan untuk memaksimumkan keuntungannya. Pihak individu dan pihak swasta bebas menggunakan faktor pengeluran yang mereka miliki. Pihak kerajaan pula akan membuat pengawalan di pasaran supaya pihak swasta hanya mengeluarkan barangan yang memberi manfaat kepada pengguna.

iii)                Kegiatan Ekonomi Yang Terkawal
Segala kegitatan ekonomi akan dipantau dan dikawal oleh pihak kerajaan dengan mengadakan peraturan dan undang-undang.  Ini adalah untuk memastikan supaya kegiatan ekonomi  tidak mendatangkan  kesan luaran yang  negatif yang akan menjatuhkan sistem ekonomi negara.

iv)              Keputusan Ekonomi
Dalam sistem ini, semua keputusan ekonomi akan ditentukan oleh pihak kerajaan dan makanisma harga. Ini adalah kerana sumber ekonomi dimilki oleh pihak kerajaan dan swasta.  Keputusan kerajaan bertujuan untuk meningkatkan kebajikan masyarakat dan swasta pula bertujuan untuk memaksimumkan keuntungan.Semua firma bebas untuk  bersaing tetapi mestilah dalam kawalan kerajaan. Firma juga bebas menentukan jumlah barangan yang akan dikeluarkan, kaedah pengeluaran dan sasaran bagi barangan yang hendak dikeluarkan.Kerajaan hanya akan campurtangan  bagi  mengatasi kelemahan makanisma harga dan juga mengeluarkan barangan yang tidak dikeluarkan oleh pihak swasta.
Campur tangan kerajaan dapat dilihat dalam beberapa perkara antaranya:
a)      mengenakan cukai ke atas pengguna dan pengeluar.
b)      memberi subsidi kepada pengguna dan pengeluar
c)      terlibat dalam penawaran barang-barang dan perkhidmatan
d)     Mengadakan kawalan ke atas sektor swasta melalui perundangan.

Sebagai kesimpulannya, untuk menjadi sebuah negara maju , kebanyakkan negara mengamalkan dasar ekonomi campuran. Begitu juga negara kita,  mengamalkan konsep sistem ekonomi campuran dan sedang menuju pembangunan yang pesat , mengamalkan pasaran berorientasikan negara dan secara terbuka .


2.0  PENILAIAN TENTANG SISTEM EKONOMI MALAYSIA

Bagi menilai sistem ekonomi campuran di Malaysia, kita boleh melihat kepada beberapa kebaikan dan kelemahan sistem ekonomi campuran ini.

Kebaikan Sistem Ekonomi Campuran

Terdapat beberapa kebaikan dalam sistem ekonomi campuran ini. Di antaranya ialah;
a)      Pengguna mempunyai kebebasan dalam memiliki faktor-faktor pengeluaran.
b)      Pengguna mempunyai kebebasan dalam penggunaan barang dan perkhidmatan bagi memastikan bahawa mereka akan dapat memaksimumkan kepuasannya.
c)      Pengeluar pula boleh bertindak bebas dalam membuat keputusan untuk mengeluarkan sesuatu barang atau perkhidmatan, dan keputusan mereka adalah berdasarkan kepada objektif untuk memaksimumkan keuntungan.
d)     Sistem ekonomi ini dapat memastikan bahawa barang-barang awam akan sentiasa ditawarkan dalam ekonomi dan tanggungjawab ini akan dilaksanakan oleh kerajaan.
e)      Kerajaan akan memberi subsidi di sektor-sektor teertentu yang difikirkan mustahak untuk kebajikan rakyat negara tersebut.
f)       Kerajaan boleh memainkan peranan sebagai penstabil kepada keadaan ekonomi yang tidak stabil seperti keadaan inflasi dan kemelesetan, iaitu dengan menjalankan dasar-dasar fiskal dan kewangan.
g)      Kerajaan boleh menghasilkan keadaan taburan pendapatan yang lebih seimbangan di kalangan rakyatnya, iaitu melalui dasar cukai dan subsidi.

Sehubungan dengan itu, kita dapat melihat keadaan ini berdasarkan dasar-dasar kerajaan yang dirangka bagi melonjakkan ekonomi negara walaupun sering dilanda badai ketidakstabilan ekonomi disebabkan ketidakstabilan ekonomi dunia. Sebagai contoh dengan pengisytiharan Wawasan 2020 yang membayangkan Malaysia menjadi negara maju dengan acuannya sendiri pada tahun 2020 menandakan permulaan Dasar Pembangunan Negara (DPN) yang dibina atas gagasan Dasar Ekonomi Baru (DEB), meletakkan pembangunan seimbang sebagai teras utamanya. Dalam konteks ini, DPN memperkenalkan beberapa dimensi baru yang melibatkan perubahan fokus strategi pembasmian kemiskinan kepada pembasmian miskin tegar di samping mengurangkan kemiskinan umum, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,  meningkatkan penyertaan Bumiputera yang lebih bermakna di dalam sektor ekonomi moden melalui pengukuhan komuniti Perdagangan dan Industri Bumiputera; penglibatan sektor swasta yang lebih besar dalam proses penstrukturan penyertaan Bumiputera dan juga melibatkan pembangunan modal insan
Begitu juga ketika  Malaysia mengalami pertumbuhan ekonomi yang perlahan pada tahun 2001 akibat kejatuhan permintaan global bagi barangan elektrik dan elektronik serta peristiwa 11 September di Amerika Syarikat, namun ia kembali rancak pada tahun 2002. Ini adalah hasil daripada tindakan awal Kerajaan yang berkesan menerusi pelaksanaan Pakej Strategi Baru pada bulan Mei 2003. Di bawah Pakej ini, empat strategi telah digaris iaitu, menggalakkan pelaburan sektor swasta, memperkukuh daya saing negara, membangunkan sumber-sumber pertumbuhan baru, dan meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian. Pelaksanaan Pakej tersebut telah meningkatkan penyertaan sektor swasta dalam aktiviti ekonomi domestik serta disokong oleh permintaan luar yang lebih kukuh, pertumbuhan ekonomi telah mencatat pencapaian yang lebih baik daripada yang dijangkakan, iaitu berkembang sebanyak 5.8 peratus pada tahun 2003 dan 6.8 peratus pada tahun 2004.
Seterusnya,  Dasar Wawasan Negara (DWN) dilancarkan pada tahun 2001 merupakan pembangunan dekad kedua Wawasan 2020 yang menumpukan kepada meningkatkan keutuhan dan berdaya saing negara. DWN mengandungi strategi penting daripada dua dasar sebelumnya iaitu DEB dan DPN di samping beberapa dimensi baru. Dasar ini termasuklah membangunkan Malaysia sebagai sebuah masyarakat berasaskan berpengetahuan, menjana pertumbuhan ekonomi yang didorong oleh sumber dan kekuatan domestik, dan mencapai penyertaan Bumiputera yang berkesan serta pemilikan ekuiti sekurang-kurangnya 30 peratus pada 2010.


Kelemahan sistem ekonomi campuran.
 Walaupun sistem ekonomi campuran mempunyai beberapa kelebihan, tidak dapat dinafikan juga ia mempunyai beberapa kelemahan. Di antaranya ialah ;
a)      Sistem percukaian yang dilaksanankan oleh pihak kerajaan akan menganggu tingkat kebajikan rakyat di negara tersebut terutama bagi golongan kaya.
b)      Sistem percukaian ini juga akan menganggu aliran perjalananperdagangan yang wujud di sesebuah negara
Sebagai kesimpulannya, dengan mengamalkan sistem ekonomi campuran ini, Malayia terus dilihat sebagai negara yang terus membangun. Ini dapat dibuktikan pada tahun 2012, ekonomi berjaya mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan dan lebih tinggi. Sehingga kini, Malaysia berusaha dengan gigih untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi. Sememangnya kita boleh berbangga dengan kemajuan ekonomi yang dicapai oleh negara kita berbanding dengan negara lain yang sama usia kemerdekaannya dengan Malaysia tetapi masih dalam keadaan mundur.


3.0  Rasional sistem ekonomi Malaysia untuk pemaksimuman utiliti

Memandangkan antara kelebihan  sistem ekonomi campuran adalah memaksimumkan kepuasan pengguna dan pengeluar bebas memberikan khidmat untuk maksimum keuntungan, terdapat hubungan yang amat rapat antara rasionaliti dan utiliti.
 Rasionaliti di dalam ekonomi konvensional bermakna mana-mana pengguna akan selalu cuba memaksimumkan kepuasan material mereka dari penggunaan sumber pendapatan yang terhad yang mereka ada. Keputusan dibuat  berdasarkan pemikiran sendiri bagaimana mereka membelanjakan pendapatan mereka yang terhad untuk memaksimumkan kepuasan mereka. Keputusan yang dibuat mungkin dipengaruhi olehcitarasa, perubahan fesyen, harga, pendapatan, dan lain-lain.
Utiliti pula merujuk kepada kebolehan atau kuasa barangan atau perkhidmatan yang dapat memberikan kepuasan kepada apa yang dikehendaki oleh pengguna. Oleh yang demikian, utiliti boleh juga dimaksudkan sebagai menggambarkan tingkat kepuasan pengguna terhadap penggunaan sesuatu atau perkhidmatan . Utiliti yang berkaitan dengan kehendak yang dipenuhi sebagai  kepuasan material. Jadi,  di dalam ekonomi konvensional , pengguna dianggap rasional apabila mereka membelanjakan  pendapatannya dengan cara mereka memaksimumkan utiliti material atau kepuasan material.
Kegiatan ekonomi bagi individu pengguna dan pengeluar atau sekumpulan pengguna dan pengeluar dikenali sebagai pasaran. Dalam hal kelakuan pengguna, tumpuan diberi dalam persoalan bagaimana pengguna memaksimumkan utiliti atau kepuasan apabila diberi citarasa dan tingkat pendapatan. Kelakuan pengguna adalah berhubungkait dengan konseppermintaan dan penawaran. Pengeluar atau firma adalah merujuk kepada penawaran barang dan perkhidmatan dalam ekonomi tersebut. Persoalan yang ditumpukan oleh firma ialah bagaimana mereka dalam mengeluarkan barang-barang dan perkhidmatan dengan kos yang minimum supaya mereka dapat memaksimumkan keuntungannya. Kedua-dua pengguna dan pengeluar ini akan berinteraksi dalam pasaran bagi menentukan harga dan kuantiti bagi sesuatu barangan dan perkhidmatan, dan disamping itu juga akan menentukan harga faktor-faktor seperti buruh, tanah, modal dan keuntungan.
Sekiranya salah satu pihak samaada pengguna atau pengeluar tidak beinteraksi, ia akan mewujudkan  masalah pengangguran atau disebut juga sebagai masalah kemelesetan ekonomi dan juga masalah inflasi. Kedua-dua masalah pengangguran dan inflasi ini akan menganggu kehidupan dan seterusnya menggugat kebajikan rakyat.
Maka dalam perkara ini, peranan kerajaan adalah sangat penting dalam mengatasi kedua-dua masalah ini iaitu melalui Dasar Fiskal iaitu perbelanjaan kerajaan dan cukai dan Dasar Kewangan melalui perubahan penawaran wang. Kedua-dua dasar fiskal dan dasar kewangan ini adalah dua dasar yang asas dalam mengatasi masalah ekonomi. Dasar lain yang dijalankan oleh kerajaan ialah dasar campur tangan secara langsung ke dalam ekonomi, iaituseperti dasar kawalan harga, terutamanya ke atas barang-barang perlu seperti beras, gula, tepung dan sebagainya. Di negara kita  terdapat lebih daripada 100 barang-barang, terutamanya barang makanan yang berada di bawah Dasar Kawalan Harga dilakukan. Perlaksanaan Dasar Fiskal pula adalah melalui pembentangan belanjawaan di Parlimen pada setiap bulan September atau Oktober setiap tahun. Dasar Kewangan pula akan dijalankan oleh Bank Negara Malaysia kerana ia bertindak sebagai bank pusat.
Kerajaan juga melaksanakan langkah konsolidasi fiskal mulai tahun 2004 bagi memperbaiki kedudukan fiskal dan mengawal hutang Kerajaan.  Antaranya, melalui kawalan yang lebih ketat ke atas pelaksanaan projek pembangunan supaya mematuhi siling peruntukan, dan juga mempertingkatkan kecekapan pengurusan projek bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual. Usaha berterusan sentiasa diambil bagi memastikan perbelanjaan mengurus tidak melebih hasil Kerajaan. Di samping itu, Kerajaan juga komited untuk memperluas dan mengenalpasti sumber hasil baru bagi meningkatkan kutipan hasil Kerajaan.
Bagi memastikan inflasi tidak tercetus, lebih daripada 90 peratus sumber pembiayaan pembangunan dibiayai oleh pinjaman domestik. Malaysia juga merupakan antara negara yang mempunyai kadar tabungan yang tinggi yang mampu membiayai keperluan domestik. Di samping itu, pinjaman luar pada paras yang minimum dan diurus secara berhemat boleh mengelakkan risiko ketidakseimbangan luaran dan pertukaran matawang asing.
Selain itu, Kerajaan juga sentiasa mengamalkan dasar kewangan akomodatif bagi memastikan paras harga kekal rendah serta kestabilan kadar pertukaran asing untuk menyokong pertumbuhan ekonomi. Sejak akhir 1990an, Malaysia menikmati lebihan akaun semasa imbangan pembayaran berikutan prestasi eksport yang menggalakkan dan kemasukan pelaburan langsung asing.
Ini telah menyumbang kepada kedudukan rizab antarabangsa negara bersih yang kukuh.
Selain itu, Kerajaan juga sentiasa memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan untuk mewujudkan persekitaraan ekonomi yang kondusif bagi meningkatkan daya saing negara. Bagi tujuan ini, antara langkah yang telah dilaksanakan termasuklah mengurangkan karenah birokrasi, membanteras rasuah, memperkemas dan mempermudah prosedur bagi menjalankan perniagaan serta menyediakan tenaga kerja mahir yang menepati keperluan pasaran.
Kesimpulannya, tampak jelas, berasaskan pengalaman negara menghadapi situasi kegawatan ekonomi yang berlaku dalam banyak fasa, misalnya era awal 1980-an, krisis kewangan 1997 dan kini kelembapan ekonomi global, pengurusan negara mampu bertindak secara cepat, pantas, fleksibel dengan penekanan kepada langkah dasar fiskal dan bukan fiskal.

4.0  Rasional sistem ekonomi Malaysia pada mekanisme penetapan harga dalam pengedaran barang-barang dan perkhidmatan

Penentuan harga bermaksud  harga barang swasta dan faktor pengeluaran ditentukan oleh mekanisme harga iaitu kuasa permintaan dan penawaran. Harga barang awam adalah ditentukan oleh pihak kerajaan. Mekanisme pasaran melibatkan interaksi di antara kuasa permintaan dan kuasa penawaran di pasaran yang menentukan tingkat harga dan kuantiti barang di pasaran. Berdasarkan mekanisme pasaran, tingkat harga dan kuantiti keseimbangan pasaran ditentukan berasaskan titik keseimbangan pasaran, iaitu apabila kuantiti permintaan adalah sama dengan kuantiti penawaran di pasaran.
Dalam sistem ekonomi campuran, terdapat dua kaedah dalam menyelesaikan masalah-masalah asas ekonomi. Pertama ialah dengan menggunakan mekanisme harga seperti yang diamalkan  dalam sistem pasaran bebas dan kedua dengan campur tangan secara langsung oleh pihak kerajaan dalam menawarkan barang dan perkhidmatan seperti dalam sistem ekonomi terancang. Pembahagian di antara dua kaedah penyelesaian ini adalah bergantung kepada jenis barang dan perkhidmatan yang dikeluarkan.
Jika sekiranya barang yang dikeluarkan itu adalah barang persendirian atau barang ekonomi, yang mana untuk mendapatkan barang-barang ini pengguna adalah sanggup membayarnya, maka barang dan perkhidmatan jenis ini akan dikeluarkan dengan menggunakan mekanisme harga. Kedua, jika barang dan perkhidmatan itu dikelaskan sebagai barang awam, yang mana pengguna yang tidak membayar pun boleh menikmati faedah yang dihasilkan oleh barang tersebut, maka barang dan perkhidmatan ini hendaklah dikeluarkan oleh kerajaan. Contohnya perkhidmatan pertahanan dan keselamatan, jalan raya dan sebagainya.
Dalam hal ini, ia amat bergantung kepada permintaan, kuasa membeli yang akan membuatkan pengguna sanggup membayar , maka  pengeluar akan melihat sama ada barang tersebut mampu untuk dikeluarkan serta akan memberi keuntungan kepadanya. Apabila hal ini berlaku, maka akan produk atau khidmat tersebut akan dikeluarkan dalam bentuk ekonomi.
Dari segi realiti ekonomi di Malaysia, hargalah yang sering menjadi isu besar selain  bekalan barang makanan utama seperti beras, tepung gandum, gula dan minyak masak sehingga satu ketika bagaikan berlaku krisis bekalan gara-gara langkah peniaga yang sengaja menyimpan stok dengan niat mahu menaikkan harga. Memang di mana-mana negara yang membuka ekonominya, sejajar keperluan globalisasi, menghadapi tekanan apabila berlaku kenaikan harga minyak antarabangsa. Keadaan ini secara langsung meningkatkan tekanan harga terhadap harga barang keperluan di pasaran tempatan, berikutan peningkatan kadar inflasi yang meliputi empat perkara iaitu barang makanan, tenaga, pengangkutan dan sewa. Soal harga adalah juga berkaitan dengan bekalan dan pengedaran serta kos input. Oleh itu, isu inflasi perlu diteliti secara komprehensif dan strategi mengawalnya juga perlu menyeluruh dan meliputi aspek berkenaan.
Berdasarkan hakikat ini, kerajaan telah menubuhkan Majlis Harga Negara (MHN), yang dipengerusikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Tanggungjawab MHN antara lain untuk memantau, menasihati dan menyelia dasar harga, struktur pasaran kompetitif, kecekapan dalam skim subsidi serta pencegahan terhadap ketidakadilan bagi pihak kerajaan. Majlis ini juga akan bertanggungjawab membendung pakatan sulit perdagangan yang menjejaskan bekalan dan harga barang keperluan serta perkhidmatan dengan memperluaskan bidang tugas Jawatankuasa  Kabinet Mengenai Barang-Barang Perlu. Dengan itu, kewujudan MHN adalah bagi memastikan harga barang keperluan dan kenaikannya sentiasa dibuat mengikut garis panduan kerajaan serta mengatasi masalah kekurangan bekalan secara lebih berkesan.
Kini, Malaysia terus komited membangunkan ekonomi dengan memperkenalkan rasionalisasi subsidi dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan diperkenalkan mulai tahun 2015.  Kerajaan juga mengambil inisiatif untuk  meningkatkan kualiti pendidikan dan latihan penting untuk meningkatkan daya saing Malaysia
Langkah rasionalisasi seperti kenaikan harga petrol dan diesel, pemansuhan subsidi gula dan subsidi janakuasa elektrik bertujuan memastikan keseimbangan fiskal kewangan negara. Prinsip kerajaan adalah memastikan ekonomi negara berkembang dan pada masa sama tidak boleh mengabaikan kebertanggungjawaban ekonomi untuk mengurangkan bajet defisit dan mencapai bajet berimbang menjelang tahun 2020 .
Pelaksanaan GST akan  memberi kelebihan terutamanya kepada kerajaan dalam meningkatkan aliran pendapatan yang kemudiannya boleh digunakan bagi melaksanakan projek-projek untuk manfaat seluruh rakyat. Asas percukaian yang lebih meluas serta yang dikenakan pada satu kadar akan memudahkan kerajaan mengurus dan mentadbir sistem tersebut. Ia juga mudah difahami oleh rakyat berbanding cukai yang dikenakan pada kadar berbeza bagi perkhidmatan dan barangan yang berlainan. Ia juga dapat mengurangkan beban membayar cukai kerana jumlah yang membayar cukai pendapatan hanya beberapa peratus berbanding keseluruhan rakyat Malaysia.Itu antara kelebihan yang dinikmati oleh rakyat di negara yang sudah lama melaksanakan GST seperti di New Zealand, Australia dan Singapura. Di rantau Asia Tenggara ini pula, hampir seluruh negara sudah melaksanakan sistem cukai itu.
Kesimpulannya,setelah 57 tahun mencapai kemerdekaan, pencapaian Malaysia berada pada tahap yang boleh dibanggakan. Pengiktirafan demi pengiktirafan diberikan atas usaha gigih kerajaan membangunkan negara. Namun begitu, masih banyak lagi yang perlu dilakukan bagi memastikan pembangunan ekonomi terus bertahan demi kelestarian negara Malaysia.



















membuat keputusan berkumpulan

Pengenalan
Membuat keputusan adalah merupakan satu perkara penting yang akan dihadapi oleh setiap individu dalam melalui kehidupan ini. Cara membuat keputusan bagi sesuatu perkara adalah berbeza dari seseorang individu berdasarkan situasi yang dihadapi pada ketika itu. Adakalanya keputusan perlu dibuat sendiri sekiranya hanya melibatkan perkara berkaitan peribadi atau keluarga. Apabila seseorang pekerja yang bekerja di sesebuah organisasi, maka seseorang itu tidak dapat mengelak daripada membuat keputusan yang melibatkan skop yang lebih besar iaitu berkaitan dengan seluruh ahli organisasi tersebut yang melibatkan pekerja dan majikan.
            Oleh itu, dalam membuat keputusan yang tepat untuk menjamin kelestarian masa depan organisasi, setiap pekerja perlu didedahkan dengan kaedah membuat keputusan secara berkumpulan atau kolaboratif.
            Melalui tugasan ini, saya akan menerangkan teknik-teknik berkaitan kaedah membuat keputusan secara berkumpulan dan kemudiannya akan memilih satu kaedah yang biasa diaplikasikan dalam organisasi pekerjaan saya. Seterusnya saya akan mebincangkan beberapa kekuatan dan kelemahan yang terdapat dalam kaedah tersebut .

TEKNIK  MEMBUAT KEPUTUSAN BERKUMPULAN
Lazimnya tiga kaedah utama boleh digunapakai dalam membuat keputusan yang meibatkan sesebuah kumpulan atau organisasi. Kaedah-kaedah tersebut adalah teknik sumbangsaran, teknik kumpulan nominal dan teknik Delphi.
A.    Teknik  Sumbangsaran
Kaedah sumbangsaran ini dikenali dengan pelbagai nama antaranya Brainstroming, Perah Otak, Pecah Minda dan Percambahan Fikiran. Walaupun berbagai istilah dalam bahasa diterjemahkan, namun ia merujuk kepada perkara yang sama. Sumbangsaran ini adalah kaedah yang paling popular yang sering digunakan dalam teknik kreatif secara berkumpulan.
Elemen yang paling utama dalam  teknik ini adalah unsur kreativiti. Pengasasnya ialah Alex Osborn dan kaedah ini wujud pada awal tahun 1930an kemudian diperkenalkan pada umum secara rasmi pada tahun 1953 melalui bukunya berjudul ‘Applied Imagination’.
            Menurut Rowlinson (1981) di dalam Mohd. Azhar Abd. Hamid, Othman A. Kassim & Muhammed Fauzi Othman (2005) mentakrifkan kaedah sumbangsaran adalah satu pendekatan yang digunakan semasa aktiviti perbincangan dalam satu kumpulan untuk mendapatkan seberapa banyak idea dalam masa yang singkat
Sumbangsaran merupakan teknik yang menggalakkan penjanaan idea sebanyak yang mungkin tanpa melibatkan sebarang kritikan. Setiap individu di dalam organisasi tersebut berhak mengeluarkan idea tanpa dipersoalkan.  Ia adalah satu proses pembuatan keputusan secara berkumpulan yang mana maklum balas yang negatif terhadap idea yang dibentangkan adalah dilarang sama sekali sehinggalah semua pandangan telah didengari (Certo, 2000).
Sumbangsaran bertujuan untuk mengeluarkan idea-idea yang kreatif dan luarbiasa  daripada setiap ahli kumpulan secara terbuka. Suatu aktiviti kumpulan sumbangsaran yang berkesan biasanya terdiri daripada lima hingga tujuh orang individu .Secara ringkasnya, semua ahli kumpulan akan mencadangkan idea-idea mereka sendiri mengikut giliran. Menurut Stephen Van Valin, untuk menguasai teknik sumbang saran seseorang mesti menguasai asasnya bagi merealisasikan objektifnya. Asas-asas sumbangsaran tersebut ialah tidak sesekali menghalang proses pengeluaran idea agar tidak menghalang idea dan kreativiti seseorang.


Secara asasnya  kaedah sumbangsaran mengandungi enam prinsip yang utama :
a)      Semua ahli yang terlibat dalam sesuatu sesi sumbangsaran itu hendaklah mengemukakan penilaian yang hendak dibuat pada suatu idea. Ini bermaksud, setiap daripada seorang ahli tidak boleh mengkritik idea-idea yang di kemukakan oleh ahli-ahli yang lain.
b)      Tujuan akhir yang hendak diperolehi oleh di dalam sesuatu sesi sumbangsaran itu adalah untuk mendapatkan seberapa banyak kuantiti idea yang dibincangkan. Semakin banyak idea yang dihasilkan, semakin banyak pilihan idea yang boleh difikirkan oleh setiap ahli kumpulan itu. Setiap ahli kumpulan amat digalakkan memberikan idea.
c)      Setiap ahli kumpulan juga digalakkan berfikir secara bebas dengan menggunakan segala imaginasi yang ada pada diri mereka.
d)     Semua idea yang dihasilkan boleh digabung, diubahsuai, dikembangkan dan dibaiki bagi mendapat satu keputusan dan jalan penyelesaian yang terbaik.
e)      Jangka masa yang sesuai juga perlu diberi perhatian. Biasanya bagi sesuatu sesi sumbangsaran yang berkesan masa yang sesuai adalah antara 15 minit hingga 30 minit. Lebih lama masa yang digunakan untuk sesuatu sesi sumbangsaran itu, suasanan sesi berkenaan akan menjadi hambar dan ahli-ahlinya menjadi bosan serta letih. Ini secara tidak langsung mengakibatkan sesi sumbangsaran berkenaan tidak akan mencapai objektif.
f)       Bilangan ahli dalam sesebuah kumpulan juga perlu diambilkira. Untuk sesi sumbangsaran yang baik ahli-ahli kumpulan hendaklah tidak melebihi daripada lima belas orang. Sekiranya satu sesi sumbangsaran itu mempunyai ahli yang lebih daripada lima belas orang ianya akan menjadi satu sesi yang tidak terkawal. 

Pada peringkat awal, semua idea sama ada baik atau tidak baik, sesuai atau tidak sesuai akan diterima tanpa dinilai bagi tujuan menggalakkan semua ahli dalam kumpulan untuk menjana lebih banyak idea.Proses ini akan berterusan sehingga tiada lagi idea-idea yang dicadangkan. Setelah semua idea telah dikumpulkan, penilaian akan dibuat dengan membincangkan kelebihan-kelebihan dan kelemahan-kelemahan idea-idea yang diutarakan dari pelbagai aspek seperti kos dan masa .Kemudian, idea yang terbaik akan diterima.


B.     Teknik Kumpulan Nominal
Teknik kumpulan nominal adalah satu kaedah membuat keputusan yang memerlukan ahli  kumpulan tersebut mencadangkan dan menilai idea-idea mereka secara individu sebelum berkongsi idea tersebut dengan ahli-ahli kumpulan yang lain.Terdapat beberapa langkah yang melibatkan teknik ini iaitu :
Langkah1 :  Setiap ahli kumpulan mencatatkan idea mereka secara individu bagi keputusan atau masalah yang dibincangkan.
Langkah2 :  Setiap ahli akan membacakan idea-ideanya kepada semua orang dalam kumpulannya untuk berkongsi pandangan dengan mereka. Idea-idea tersebut biasanya ditulis di atas untuk dikaji semula dan rujukan oleh semua ahli kumpulan.
Langkah 3:  Satu perbincangan akan diadakan untuk menilai kelebihan-kelebihan dan kelemahan-kelemahan setiap idea.
Langkah 4: Ahli-ahli akan mengundi secara rahsia dan menulisnya di atas sekeping kertas. Idea yang menerima paling banyak undi akan diterimapakai dan dilaksanakan.
Kaedah membuat keputusan ini amat sesuai untuk menjaga kepentingan setiap pekerja teruatama apabila terdapat individu yang sering mendominasi sesuatu perbincangan.
C.     Teknik Delphi
Perkataan Delphi berasal dari bahasa Yunani yang bererti kuil yang dibina untuk menyembah Dewa Apollo, salah satu Dewa yang disegani oleh orang-orang Yunani selain Dewa-Dewa lain seperti Jupiter, Titan dan lain sebagainya.(Fahmi Hadianshah, 2012).  Teknik Delphi telah berkembang pada awal tahun 1950 untuk mendapatkan pandangan ahli. Objektif daripada cara ini  ini adalah untuk memperoleh keputusan yang paling sesuai . Teknik Delphi merupakan satu kaedah membuat keputusan yang memerlukan panel yang terdiri daripada beberapa pakar yang akan menjawab soalan-soalan dan bekerja bersama sehingga mencapai  objektif bagi isu tertentu. 
Teknik ini tidak memerlukan ahli-ahli panel untuk bersemuka. Mereka mungkin berinteraksi menerusi surat menyurat, e-mel dan sebagainya. Antara langkah-langkah yang terlibat dalam teknik ini adalah:
i.                    Pakar-pakar dalam sektor-sektor yang berkaitan akan dikenal pasti dan dipilih oleh ahli panel.
ii.                  Masalah-masalah akan diolah dalam bentuk soal selidik yang terdiri daripada soalan-soalan terbuka. 
iii.                Soal selidik tersebut akan diberikan kepada ahli-ahli panel bersama dengan permintaan agar mereka mengesyorkan penyelesaian-penyelesaian 
iv.                Setiap pakar akan melengkapkan borang soal selidik dan mengembalikannya kepada ketua organisasi.
v.                  Semua jawapan akan diringkaskan dan digabungkan dalam bentuk laporan. Ia kemudiannya dikembalikan kepada ahli-ahli panel bersama dengan borangsoal selidik yang lebih spesifik dan terperinci yang telah dikaji semula.
vi.                Ahli-ahli panel membaca laporan tersebut untuk mengetahui pendapat dan cadangan-cadangan ahli yang lain berkenaan masalah tersebut. Di samping itu, mereka juga melengkapkan borang soal selidik yang kedua.
Kesimpulannya ketiga-tiga teknik ini boleh diaplikasikan dalam sesebuah organisasi bagi mendapat keputusan yang terbaik. Bagi pendapat saya pula, saya akan memilih teknik sumbangsaran bagi menyelesaikan sesuatu masalah yang berlaku atau jika ingin membuat penambahbaikan serta mendapatkan idea baharu untuk organisasi saya.

Kelebihan teknik sumbangsaran
      Oleh kerana saya telah memilih cara ini sebagai satu cara yang produktif untuk mendapatkan penyelesaian dalam sesuatu keputusan, saya akan menerangkan beberapa kelebihan dan kelemahan teknik ini. Antara kelebihan daripada teknik ini adalah :
a)      Mendapatkan Seberapa Banyak Idea Daripada Sekumpulan Peserta Dalam Masa Yang Singkat.
Bagi sesebuah organisasi tidak dapat dinafikan kaedah ini amat baik untuk mendapatkan idea-idea yang baru dan segar dalam jangka masa yang pendek. Semua orang pasti bersetuju bahawa idea dari orang ramai lebih baik berbanding dengan idea yang datang dari seorang . Begitu juga dalam agama Islam, sistem syura yang mengambilkira pandangan daripada semua ahli amat diambil berat sejak daripada zaman pentadbiran Rasulullah dan para sahabatnya.
Dalam perjalanan sesuatu organisasi pasti kaedah ini lebih banyak digunapakai. Sebagai contoh yang berlaku dalam organisasi tempat saya bekerja, apabila timbul sesuatu persoalan atau isu, maka ketua jabatan saya akan memanggil semua pekerjanya untuk bermesyuarat. Di dalam mesyuarat tersebut, sesuatu isu akan dibincangkan dan semua ahli mesyuarat akan diberi  peluang untuk mengeluarkan idea bagi menyelesaikan isu tersebut. Ahli mesyuarat mungkin dapat mengeluarkan idea mereka berdasarkan pengalaman yang telah dilalui atau idea baru yang segar melalui pembacaan . Oleh itu, mesyuarat akan mendapat banyak idea baru dan dalam masa yang sama ia boleh dibuat dalam masa yang singkat.
b)      Tiada Istilah Idea Salah Atau Betul
Satu kelebihan untuk teknik ini ialah tiada istilah untuk idea itu salah atau betul walaupun kebiasaannya dalam kalangan kita ramai yang suka mengkritik. Semua yang terlibat mesti menerima idea terbut dengan perasaan ingin tahu. Ketika semua ahli mesyuarat mengeluarkan idea mereka, semua orang mesti menerima pendapat tersebut tanpa mengira idea tersebut boleh digunapakai atau tidak. Ini kerana ketika proses mengeluarkan idea, semua  pendapat akan didengar dan diterima pada peringkat awal. Oleh itu setiap individu di dalam organisasi tersebut tidak akan merasa rendah diri atau terpinggir kerana  buah pandangan mereka ditolak atau tidak diambil peduli bahkan ia akan meningkatkan semangat dan motivasi untuk memajukan organisasi mereka.

c ) Semua Orang Bebas Mengeluarkan Idea Dan Menghasilkan Idea Baru Dan Segar
Melalui teknik ini pasti akan terhasil idea yang baru dan segar yang mungkin dianggap tidak logik atau mustahil untuk dilaksanakan. Ini adalah  kerana setiap manusia adalah individu yang unik dan cara berfikir adalah berbeza dari seorang ke seorang lain. Jika perkara begini tidak dilakukan pastinya sesuatu perkara akan menemui jalan buntu.
Teknik ini juga membantu setiap individu melibatkan diri secara aktif untuk memberikan sumbangan idea mereka semasa proses sumbangsaran dijalankan. Oleh itu tiada sesiapa akan terasa dipinggirkan. Ia juga akan membuatkan sesi mesyuarat akan menjadi lebih menarik dan rancak apabila semua orang bebas mengeluarkan idea tanpa sekatan.
Apabila lebih banyak idea disumbangkan, mungkin ada dia antaranya tidak relevan digunakan pada ketika itu tetapi ia mungkin akan menjadi sumber ilham kepada pihak lain untuk dikembangkan kreativiti tersebut. Oleh itu idea tidak dibazirkan begitu sahaja tetapi ia boleh menjadi pencetus kepada idea baru yang lain.

d)      Meningkatkan Kualiti Dan Produk.
Secara tidak langsung , kaedah ini dapat melahirkan pemikiran kreatif dan akan menghasilkan suatu penghasilan yang inovatif. Setiap organisasi memerlukan kualiti dan produk yang baru bagi menjamin kelangsungan organisasi tersebut. Sebagai contoh di dalam bidang pekerjaan yang saya lakukan sekarang iaitu berkaitan dengan perladangan sawit, jika tiada buah fikiran yang baru pasti buah sawit hanya dapat mengeluarkan minyak masak sahaja. Tetapi pastinya dengan mengaplikasikan kaedah sumbangsaran ini, para pegawai yang terlibat dengan kajian dan pembangunan dapat menghasilkan ratusan produk baru daripada hasil sawit. Ini akhirnya akan memberi keuntungan kepada organisasi itu sendiri, pekerja dan seterusnya dapat membantu meningkatkan ekonomi negara.

            Kelemahan teknik sumbangsaran
              Jika sebelum ini kita telah melihat kepada kelebihan teknik sumbangsaran, ia juga tidak terlepas daripada beberapa kelemahan. Antara kelemahan yang dikenalpasti ialah :
a)      Menyekat Pengeluaran Idea-Idea.
Sememangnya seperti yang telah dibincangkan teknik sumbangsaran digunakan bagi menjana seberapa banyak idea yang diperlukan. Namun begitu dalam situasi tertentu semasa ahli-ahli dalam kumpulan menyuarakan idea-idea mereka mengikut giliran, kadang kala, idea yang telah timbul secara spontan mungkin secara tiba-tiba hilang semasa ahli sedang menunggu gilirannya untuk bercakap. Ini kerana manusia biasanya mempunyai memori jangka pendek.
Namun begitu ada cara yang berkesan untuk menangani masalah ini iaitu dengan cara ahli kumpulan yang terlibat  menulis dahulu segala idea yang terfikir di minda mereka sementara menunggu giliran. Oleh itu masalah sekatan idea ini tidak akan berlaku .

b)      Perbincangan Didominasi Oleh Sebahagian Ahli.
Pada masa-masa tertentu, ahli-ahli kumpulan mungkin merasakan yang idea-idea mereka tidak cukup baik dan merasa segan atau malu untuk menyatakan idea mereka kepada kumpulan. Oleh itu mereka berasa rendah diri untuk berkongsi idea.
Bagi mengatasi masalah-masalah ini, kaedah sumbangsaran kini boleh dibuat melalui penggunaan teknologi media terkini seperti emel ,mesej dengan aplikasi telefon pintar seperti Whats App atau We Chat. Oleh itu apabila seseorang mendapat sesuatu idea mereka boleh terus menghantar emel kepada majikan atau terus menghantar pesanan agar kehilangan idea tidak berlaku. Pada masa yang sama, identiti ahli-ahli kumpulan masih tidak diketahui. Oleh itu, ahli-ahli tidak akan malu atau tidak selesa apabila dibuat penilaian terhadap idea mereka

c)      Mengambil Masa yang lama
Apabila semua idea telah dibentangkan ia akan dibincangkan pula untuk memilih idea yang paling praktikal yang boleh digunakan mengikut kesesuaian dan keperluan sesebuah organisasi. Oleh itu akhirnya organisasi tersebut memerlukan masa  yang lebih lama untuk mencapai kesepakatan terhadap sesebuah idea. Perkara ini akan menghalang  kemampuan pengurusan untuk bertindak cepat pada masa ia  diperlukan.
Bagi menangani masalah ini, ketegasan daripada pihak atasan amat diperlukan supaya perbincangan berkaitan membuat sesuatu keputusan tidak terkeluar daripada skop perbincangan yang boleh menyebabkan ia berlarutan.
d)     Tekanan Untuk Sependapat.
Apabila semua idea dibentangkan untuk dipilih sebagai alternatif penyelesaian terbaik, pasti akan berlaku pertikaian untuk memilih idea yang paling sesuai. Oleh itu kemungkinan akan berlaku perselisihan pendapat terutama bagi mereka yang mendominasi perbincangan. Namun begitu dalam hal ini, ketua pasukan mesti bersikap adil dan bertoleransi dengan memfokuskan pemilihan idea terbaik mengikut spesifikasi yang diperlukan oleh sesebuah organisasi pada ketika itu. Maka di dalam hal sebegini, semua pihak hendaklah sentiasa berlapang dada dan bertolak ansur demi kepentingan organisasi, bukan untuk kepentingan sendiri.


Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, dalam menguruskan sesebuah organisasi atau pasukan, pasti tidak dapat lari daripada menghadapi situasi yang memerlukan keputusan dibuat secara tepat dan bijak. Jika secara individu, membuat keputusan mungkin menjadi lebih mudah. Tetapi apabila bekerja dalam sesebuah pasukan, proses membuat keputusan akan menjadi lebih mudah dan cepat jika seseorang menguasai tekniknya.
            Dalam membuat keputusan secara berkumpulan, kita boleh memilih tiga teknik yang telah dibincangkan iaitu Teknik Sumbangsaran , Teknik Kumpulan Nominal dan Teknik Delphi. Namun begitu saya telah memilih Teknik Sumbangsaran kerana ia merupakan kaedah yang sentiasa diaplikasi dalam pekerjaan saya sekarang dan ia mempunyai kaitan yang amat rapat dalam kehidupan seharian. Saya juga telah menerangkan beberapa kelebihan dan kekurangan teknik ini dengan mengambilkira penyelesaiannya sekali.
            Samada anda seorang majikan atau pekerja bawahan, teknik ini perlu dikuasai bagi menjamin kelestarian sesebuah organisasi bahkan untuk membawa sesebuah organisasi melangkah dengan lebih jauh. Ia hanya memerlukan komitmen pekerja yang rajin menjana idea baru dan segar serta kebijaksanaan barisan kepimpinan menerajui dan membuat keputusan terbaik memilih idea yang paling sesuai dengan kehendak organisasi. Tidak lupa juga semua pekerja mesti mempunyai sikap toleransi yang tinggi dan bersedia berlapang dada menerima pendapat dan idea orang lain.










Secebis Kenangan

Make your own slideshow with music at Animoto.